Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala berkata menjelang 2020 sekurang-kurangnya 50% penduduk Kuala Lumpur mesti menggunakan pengangkutan awam. Dakwaan bekas CEO MAS itu bolehlah dianggap sebagai menyokong pembentangan bajet Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (2011-2015) oleh YAB Perdana Menteri.
Sebagai rakyat biasa yang tidak dipengaruhi oleh graf dan perangkaan, kita rasa terpedaya dengan apa yang diyakini oleh Datuk Idris Jala tambahan pula sewaktu menerajui MAS beliau tidak dapat mengejar populariti dan prestasi Air Asia jauh sekali untuk mengurangkan penumpang "Every One Can Fly" begitu juga MasWing yang masih bergelut dengan pemain baru Firefly.
Unjuran Datuk Idris Jala boleh juga dimaksudkan membodek bos kerana beliau sebenarnya memberi gambaran yang tidak tepat disamping menutup lompang pembentangan PM untuk membina MRT yang bernilai RM36.6 Billion yang akan menghubungkan kawasan kuala Lumpur dan dijangka siap pada 2020.
Sebagai seorang rakyat beragama yang patuh kepada perancangan dan wawasan pemerintah yang dipilih oleh jemaah yang terbesar kita tidak menentang apa yang dimaksudkan dengan merealisasikan satu daripada enam bidang keberhasilan utama negara (NKRA) iaitu memperbaiki pengangkutan awam.
Mungkin ramai yang lupa atau sengaja tidak mengambil ikhtibar apa yang terjadi pada rancangan Malaysia Ke Enam pada tahun 2000 yang mana dikatakan 50% pengguna pengangkutan awam akan menggunakan kemudahan LRT.
Dengan nisbah 20 juta kereta untuk penduduk 28 juta mustahil MRT mampu atasi kesesakan, Kerajaan mungkin mengimpikan sebuah bandaraya yang diatur oleh trem dan rel sebagaimana Hong Kong dan bandaraya lain yang cekap mengatur pergerakan warganya ke destinasi akhir.
untuk menggerakkan penghuni bandaraya agar menggunakan pengangkutan awam, kerajaan seharusnya berjaya memberi tanggapan bahawa pengangkutan awam lebih pantas dan selesa daripada kenderaan peribadi.
Apa yang diperhatikan adalah pembangunan kawasan penempatan masih menjauhi stesen rel dan trem, pengguna dipaksa menggunakan kemudahan lain seperti bas, teksi atau kenderaan sendiri yang terpaksa pula membayar parking seharian sebelum dapat menggunakan trem, cara ini akan memakan masa dan perbelanjaan yang lebih dan keadaan lebih teruk lagi jika stesen trem itu adalah dikawasan yang sesak menjadikan keadaan ini memberi kelebihan kepada penggunaan kenderaan persendirian.
Sistem sokongan pengangkutan awam juga masih tidak mampu menepati kehendak pengguna apabila lorong bas atau teksi masih belum bebas dari kekangan trafik.
bandaraya KL masih belum mencapai apa yang disebut anjakan paradigma dimana pejalan kaki diutamakan daripada kenderaan peribadi, pergerakan secara kumpulan pula tidak ada keistimewaan berbanding pergerakan individu.
Penyelesaian kesesakan dengan mengadakan pengangkutan rel juga sukar diselesaikan seandainya pembangunan tanah masih lagi rancak di jajaran jalanraya yang akan menyebabkan lokasi pusat aktiviti masyarakat dan urusan tugas harian tidak dapat dilangsaikan kerana jauh daripada stesen transit.
No comments:
Post a Comment