Friday, January 15, 2021

Surat Terbuka Untuk Anwar Ibrahim

 


Assalamualaikum YB Dato' Seri Anwar Ibrahim,

Diharap YB Dato' Seri berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan dalam menghadapi hari hari yang mencabar dan menuntut pengorbanan dalam perjuangan politik yang didokong oleh YB Dato' Seri.

Surat terbuka ini adalah untuk direnungi dan difikirkan oleh YB Dato' Seri selaku presiden Parti Keadilan Rakyat, surat ini juga untuk diperbincangkan bersama YB Dato Seri Dr Wan Azizah yang menjadi tulang belakang kekuatan YB Dato Seri, surat ini sebaiknya diperhalusi oleh ahli keluarga terutama YB Nurul Izzah, hasrat yang terkandung dalam surat terbuka ini boleh diperbincangkan oleh pendokong dan penyokong tegar YB Dato' Seri yang tak jemu jemu bersama YB Dato' Seri sejak zaman reformasi 1998.

YB Dato' Seri, 

Menoleh apa yang telah berlaku dalam rentetan pengorbanan kental dan masa yang panjang dilalui oleh YB Dato' Seri dalam cita- cita untuk menerajui negara Malaysia. Adalah dijangkakan bahawa peluang dan ruang untuk YB Dato' Seri berada diposisi terbaik untuk menjadi Perdana Menteri telah berlalu dan ianya adalah amat sukar untuk mendapatkan kembali momentum serta sokongan sebagaimana diperolehi oleh PKR pada pilihanraya ke 14 yang lalu. Memandangkan faktor masa untuk sesuatu penggal pilihanraya adalah selama 5 tahun, ia sangat menuntut tindakan yang pantas serta peluang untuk menyaingi usia dan kepintaran yang semakin terhakis dan mencemburui sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim.

YB Dato' Seri

Sebagaimana yang mungkin YB Dato' Seri pernah ditanya atau dipelawa sebelum ini, sekali lagi kita menegaskan bahawa YB Dato' Seri sangat perlu melakukan pengorbanan semula dan kembali ke landasan asal perjuangan YB Dato' Seri dalam politik iaitu kembali menyertai UMNO secara individu manakala PKR boleh menjadi sebahagian komponen BN sekiranya tidak perlu dibubarkan.

YB Dato' Seri,

Sebahagian besar rakyat tidak rela UMNO dipinggirkan, tambahan pula kekuatan parti UMNO tidak boleh dilenyapkan kerana ia sudah menjadi perkara yang kedua penting dalam jiwa orang Melayu / Bumiputra selepas agama Islam. Parti politik dan wadah perjuangan parti lain masih tidak dapat menempatkan diri di tahap ini, hanya UMNO dan keduanya PAS manakala parti yang lain masih menjadi sebuah perjuangan mencari ruang dan peluang sahaja.

YB Dato' Seri,

Sejarah politik membuktikan bahawa YB Dato' Seri tidak pernah mahu keluar dari parti UMNO tetapi YB Dato' Seri dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO dengan desakan oleh Presiden UMNO pada waktu itu YAB Dato' Seri Dr Mahathir. PKR pula ditubuhkan oleh pengikut YB Dato' Seri sebagai platfom politik baru dan YB Dato Seri bukanya presiden parti sehinggalah kejatuhan BN pada 2018. Sebelum Tun Dr Mahathir merosakkan PKR dan menggunakan peluang yang diberi oleh PH, perjuangan PKR sejak penubuhanya adalah untuk menjatuhkan pemerintahan rejim Dr Mahathir selari dengan laungan REFORMASI.

Ahli UMNO menyedari bahawa mereka sudah semakin ketandusan pemimpin yang mempunyai kekentalan, dinamik serta mampu memimpin organisasi dengan cara dan gaya meyakinkan. Suasana ini menyedarkan kebanyakan ahli UMNO bahawa YB Dato' Seri adalah mangsa penganiayaan oleh Tun Dr Mahathir. Jika diberi pilihan antara Mahathir dan anwar sudah pasti Anwar akan dimaafkan oleh ahli UMNO berbanding Tun Mahathir. Penolakan sebahagian ahli UMNO kepada YB Dato' Seri yang paling utama adalah kerana isu moral yang dimainkan secara besar besaran oleh Dr Mahathir. Orang UMNO tidak mahukan Anwar Ibrahim bukanlah semata- mata kerana menjadi lawan kepada parti UMNO. Namun sekiranya benar isu moral tidak disukai oleh orang UMNO, penerimaan YB Azmin Ali dalam kabinet PN tidak ditentang walaupun ia juga mempunyai tuduhan dan bukti lebih nyata ini memberi gambaran bahawa kes seperti itu mudah untuk dimaafkan. UMNO dapat memaafkan dan melupakan sengketa lebih 60 tahun dengan parti PAS yang lebih dahsyat tuduhan melibatkan agama dan pertumpahan darah antara mereka. Satu hal yang lebih mudah sekiranya YB Dato' Seri hendak bertaut semula dengan UMNO.

YB Dato' Seri,

Sehubungan dengan itu adalah satu tindakan yang tepat sekiranya YB Dato' Seri mengambil peluang ini. Sekiranya YB Dato' Seri menolak ruang yang ada bersama UMNO. Ia tidaklah menjadi satu kemusnahan kepada UMNO. UMNO sebuah parti yang bergerak bukan kerana kekuatan pemimpin tetapi kekuatan cawangan dan akar umbi, tanpa pemimpin yang baik UMNO tidak mati dan mampu bergerak ke hadapan dalam mencari kekuatan serta melahirkan semula kepimpinan baru. Tapi Anwar Ibrahim sangat sukar mencapai apa yang diperjuangkan jika tidak bersama atau meminggirkan UMNO.


Sekian ikhlas dari..

Rakyat