Tuesday, February 15, 2011

Biarkan Maulud Nabi..

Maulidur Rasul adalah hari keputeraan nabi Muhammad saw. Dalam membicarakan tentang hukum menyambut hari tersebut pihak yang menyokong dan menolak majlis sambutan mempunyai hujah- hujah sendiri berserta dengan hadis dan dalil- dalil yang sukar diketepikan. Bagi yang menolaknya jangan pula menghukum dan pihak yang menyokong pula perlu berwaspada takut tersasar daripada kehendak sambutan yang dituntut.
Dalam kalangan 193 negara merdeka di dunia termasuk negara Islam sendiri, hari kelahiran junjungan besar tidak dimasukkan ke dalam kalendar cuti umum kecuali beberapa negara sahaja seperti Algeria, Brunei, Bosnia, Indonesia, Oman dan Sri Lanka. Di negara kita semua negeri dalam persekutuan Malaysia sepakat untuk dijadikan hari cuti umum biarpun di negeri yang majoriti rakyatnya bukan Islam seperti Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Sungguhpun sambutan yang dikenali hari ini tidak diamalkan di zaman sahabat tetapi ia bukanlah satu amalan yang ditegah malahan ia semakin diberi perhatian selepas 1200 tahun kewafatan nabi akhir zaman. Dengan tujuan mengambil semangat dan roh Islam yang dibawa oleh manusia paling berpengaruh di muka bumi, umat Islam melakukan pelbagai acara seperti perarakan sambil memuji- muji, ceramah agama, membaca sirah dan berbagai cara dengan tujuan untuk meningkatkan kecintaan dan seterusnya menggerakkan zahir dan batin ke arah seruan ajaran Islam.
Di zaman serba pantas, materialistik dan berkepentingan diri yang berlaku dan tetap berlaku setiap hari, anak- anak kita juga perlu diceritakan tentang kelahiran manusia pilihan di Kota Mekah yang mana dihari kelahirannya menyebabkan api suci di Istana Kisra, Farsi terpadam, dinding- dinding retak dan beberapa menaranya runtuh, kisah ketabahan dan kesedihan membesar sebagai anak yatim piatu yang sentiasa bertukar penjaganya daripada pengasuh, datuk dan bapa saudara. Selama 13 tahun susah payah dalam berdakwah kepada kaum jahiliah hanya sekitar 300 orang yang beriman, kekasih Allah juga telah menzahirkan pelbagai mukjizat yang jelas membuktikan kebenaran ajaran yang dibawanya namun masih tidak dapat melawan hati yang gelap kaumnya menyebabkan nabi ulul azmi itu diwahyu untuk berhijrah ke Madinah. Di Madinah baginda membina kerajaan Islam dan menjadi tapak pertama sebagai pusat penyebaran Islam ke seluruh dunia. Sebagai seorang manusia yang merubah terus corak pemikiran, pentadbiran dan seluruh kehidupan manusia, nabi penutup zaman ini tidak sunyi daripada ancaman sejak dari kanak- kanak sehinggalah jasad baginda hampir dimalukan oleh orang Yahudi yang menceroboh makamnya melalui terowong sebelum digagalkan oleh Raja Nuruddin yang warak dari Mosul.
Setiap ciri dan perlakuan nabi Muhammad saw mestilah menjadi idola setiap orang Islam, kecintaan dan kekaguman kepada penghulu kita hendaklah sentiasa dipupuk dengan cara mematuhi setiap suruhan dan larangan dengan bersungguh- sungguh. Semoga sambutan maulidur rasul sentiasa dilandasan yang benar, memberi kebaikan kepada orang Islam mudah- mudahan sambutan maulidur rasul kini dan selamanya tidak mengundang Bidaah... Wallahuallam.. 

No comments:

Post a Comment