Bagi masyarakat yang tinggal di daerah Gunong atau spesifiknya simpang empat Gunong, Bachok nama Cik Melah atau nama sebenarnya Wee Yean Yean tidak asing lagi . Bukan sahaja Cik Melah tetapi semua peruncit bangsa cina di pekan Gunong sangat rapat dan akrab dengan penduduk sekitar, istimewanya di Kelantan ini orang cina sebahagian besarnya diberi nama Melayu.
Cik Melah menjadi tumpuan pada catatan saya kerana, dia lebih dekat dengan keluarga saya walaupun boleh dikatakan keluarga kami sangat berhubung rapat dengan kebanyakan keluarga cina di pekan Gunong dan Bukit Hanyut mereka biasanya lebih mengenali ayah saya Poksu Mat serta Ibu saya Moksu Semah.
Cik Melah yang saya ingati adalah perempuan cina yang rumahnya sentiasa terbuka untuk kami berkunjung, Cik Melah yang berniaga barang runcit, pakaian serta barang binaan. Sentiasa juga Cik Melah memberikan mainan kepada saya serta kakak bila ibu membawa kami ke rumahnya.Di tahun tahun 80an kedai Cik Melah menjadi tumpuan untuk ibu bapa membawa anak anak membeli pakaian dan kelengkapan sekolah. Ketika itu Cik Melah belum berumahtangga dan dia sangat suka dengan kanak- kanak, tidak hairanlah rupanya hari ini saya dapat tahu bahawa bukan sahaja saya, kakak atau kami sahaja yang rapat dengan Cik Melah ada yang mendakwa mereka anak angkat Cik Melah, mereka sayang dan rindu dengan Cik Melah, jadi keluarga kami adalah antara keluarga- keluarga Melayu di daerah Gunung yang berhubung rapat atau menjadi sahabat Cik Melah.
Kelebihan Cik Melah walau masih tidak diberi hidayah oleh Allah berbanding lain lain masyarakat cina di Gunung adalah kerana Cik Melah diberi keistimewaan sering menyebut "Insya Allah" "Bismillah" dan beberapa kalimah Islam yang lain dalam pertuturan dengan pelangganya kadangkala istifar dan menyebut kalimah Allah dalam perlakuannya. Ini yang menyenangkan orang Islam yang masuk ke kedainya. Cik Melah juga menjadi tempat orang yang kesempitan wang untuk meminjam dan dia sangat ringan tangan untuk membantu dengan syarat menepati janji bayar pada masa yang diperetujui tepati janji sangat penting kepada peniaga. Kerana sikap terpujinya itu Cik Melah begitu disenangi biarpun berbeza agama dan bangsa
Setelah tular keberadaan Cik Melah di sebuah rumah jagaan di bandar Kota Bharu saya tergerak hati untuk melawatnya. Mungkin Cik Melah dalam kesusahan atau memencilkan diri memandangkan sudah lama saya tidak melihat rumah kedai Cik Melah beroperasi. Rumah kedainya tertutup dan nampak suram, saya juga sudah lama tidak melihat adiknya Cik Asing di sekitar Kg Gunong. Jadi saya bertanya kepada rakan saya Chia Chee Ming atau nama Melayunya Ameng iaitu jiran Cik Melah di mana Cik Melah sekarang.
Carlis Care nama rumah jagaan tempat Cik Melah tinggal. Kebetulah sewktu saya sampai anak perempuannya yang tinggal di Perth ada bersama. Winnie yang dulunya saya lihat hanya anak anak kecil tapi sekarang sudah berkeluarga. Seorang lagi anak Cik Melah adalah Cik Poh yang bekerja di KL. Winnie yang mulanya saya anggap bukanlah semesra atau fasih berbahasa Melayu seperti Cik Melah ternyata silap. Winnie seperti juga ibunya sangat mesra berbual dalam bahasa Melayu Kelantan yang lancar serta melayan saya dan isteri dengan ramah sekali. Winnie sangat berterima kasih kerana kunjungan kami melawat ibunya. Satu satunya yang Winnie rasa terkurang adalah kerana dia tiada nama Melayu, sejak kecil dia hanya di panggil nama asal sahaja.
Cik Melah bukan diabaikan keluarga, Cik Melah ada adik beradik di sekitar Kelantan yang selalu mereka kunjung mengunjung. Anaknya Winnie selalu pulang dan berkata faktor usia dan kecerdasan ingatan ibunya yang semakin berkurang membuatkan Cik Melah tidak dibawa bersama ke Australia. Tambahan pula Cik Melah masih sekali sekala pulang ke Gunong membuka kedainya jika perlu. Cik Melah sndiri mengakui dia hanya tinggal di Carlis Care untuk berkenal kenalan dengan penghuni di situ dan dia masih lagi bergerak ke mana- mana yang dia suka. Cik Melah juga adalah ahli kelab Golf Kelantan dan dia sering berkunjung ke rumah kelab yang tidak jauh dari rumah jagaan Carlis Care.
No comments:
Post a Comment