Monday, February 28, 2011

Simpatilah nasib anggota Polis..

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Jajahan/Daerah (JKTJ/D) saya boleh membuat kesimpulan bahawa tindakan kerajaan pusat adalah jelas kerana pembangunan yang dibawa ke setiap jajahan atau daerah adalah penting dan diperlukan oleh rakyat, disiapkan mengikut perancangan atau kalau terlewat ia akan segera diselesaikan, aliran kewangan yang dibelanjakan pula diperincikan. Berbanding dengan langkah kerajaan negeri yang berkebetulan saya di mesyuarat negeri PR, bila melihat secara telus akan perkembangan projek kelolaan kerajaan negeri dapatlah di katakana kerajaan negeri cuba memenuhi tuntutan rakyat tetapi tindakannya lambat, memakan masa yang lama, perancangan tidak seimbang dengan peruntukan dan juga peruntukan yang disalur tidak jelas walaupun difahamkan sudah diluluskan.
Saya tidaklah hendak memperkatakan tentang suasana mesyuarat tetapi ingin sekali berkongsi luahan wakil PDRM diakhir mesyuarat, anggota polis tersebut mengatakan dia sudah tiga hari  atau 72 jam tidak tidur kerana arahan OC untuk bertugas, ini bukanlah kerana dipaksa tetapi kerana terpaksa memandangkan anggota polis di daerah itu malahan di seluruh negara berhadapan dengan masalah kekurangan anggota. Saya difahamkan anggota polis di daerah itu adalah seramai 170 orang yang bertanggungjawab menjaga lebih 100,000 orang penduduk sedangkan angka yang diperlukan adalah sekitar 400 anggota. Gambaran yang amat jelas dan menakutkan, bila difahamkan akan bebanan kerja polis.. saya yang pada awalnya selalu mengkritik pihak polis atas kes- kes yang sentiasa berlaku dan gagal ditanggani terutama kecuriaan dan penyalahgunaan dadah, rasa simpati saya turut bertambah bila dikatakan sesetengah pondok polis tidak dapat beroperasi 24 jam kerana anggotanya terpaksa di gerakkan untuk lain- lain tugasan. 
Pegawai polis tersebut juga mengingatkan bahawa ramai pelajar sekolah yang sering ponteng dan melibatkan diri dalam perbuatan maksiat, seterusnya mengandung dan buang bayi. Barangkali satu kelemahan untuk membanteras pelajar ponteng dan berpeleseran ini adalah kerana pihak polis tidak dapat bertindak tanpa kebenaran pejabat pelajaran daerah, pihak polis tidak mahu berhadapan dengan ibu- bapa yang menyalahkan mereka kerana bertindak tanpa restu pihak sekolah atau pejabat pelajaran situasi ini dirasakan member ruang yang terbuka kepada masalah sosial. Diakhir perbualan pihak polis menyeru agar ramai yang berminat untuk tampil menjadi anggota PDRM tidak kira apa bangsa dan agama. Saya juga terfikir mungkin anggota PDRM rasa tertekan dengan beban tugas sedangkan mereka juga ada keluarga yang perlu juga diberi perhatian dan akhirnya saya tidak menyalahkan polis yang terpaksa bertindak pantas dan tegas dalam menangani segelintir rakyat yang cuba menambah masalah dengan menyertai protes dan perhimpunan haram di seluruh negara.

Saturday, February 26, 2011

Awang Adek dan mimpi ditipu pengundi Bachok..

Sedang minum lemon tea di Jalan Ampang sambil memandang KLCC yang megah kita teringatkan suatu tempat yang cukup berpotensi di Pantai Timur.. untuk ke sana memerlukan sehari perjalanan yang boleh juga melalui bandar dan pelabuhan Kuantan.. pantai Balok, medan Petronas yang tidak pernah tidur, hinggalah pembangunan yang deras di daerah Besut dan tempiasnya ke sempadan Pasir Puteh, selepas mendaki jambatan Tok Bali kita akan memasuki Parlimen Bachok.. disini kita diimbau semula dengan cadangan Lebuhraya pantai, sebuah Universiti, hospital, pelabuhan antarabangsa, laluan paip petroleum dari Yan Kedah, hinggalah pantai pelancongan yang membuat ramai penduduk pesisir pantai mimpikan sebuah tempat kunjungan pelancong dalam dan luar negara seperti Langkawi..
Bachok yang sememangnya terkenal sebagai Virginia Malaysia kerana tanaman tembakaunya dilihat akan bangkit memandangkan kedudukan geografinya yang menghadap negara maju dan menjadi negara pasaran utama seperti Jepun, korea, Cina, Indo- China malahan lebih dekat dengan Amerika. Rakyat Bachok tidak mungkin dilupakan dengan usaha YB Awang Adek mencipta kejutan kepada rakyat Bachok apabila ribuan penanam tembakau telah di berikan kemudahan bantuan yang sangat besar dan semua yang terlibat dengan komuditi tersebut dilupuskan hutang lapuk yang membelenggu mereka selama ini begitu juga nelayan dan petani yang banyak diberi keistimewaan berbanding tempat lain di Malaysia, ditambah lagi kesanggupan YB Senator Awang Adek menjadikan Bachok sebagai parlimen yang paling banyak membina rumah PPRT dan rumah mesra rakyat di negara ini. Begitu juga dengan kemudahan kepada anak anak sekolah yang sebelum ini bagaikan satu mimpi hendak diadakan tetapi berjaya diusahakan oleh pemimpin yang bersemangat itu. Rakyat Bachok dan kelantan amnya sudah melangkah sebelah kakinya untuk merasai kemakmuran itu...
Tetapi PRU 12 telah mengendalakan semua usaha dan perancangan besar itu.. tokoh berwawasan seperti Dato Awang Adek telah ditumbangkan oleh pendatang baru yang hanya mengatur langkah dua minggu sahaja.. Nasharuddin Mat Isa berjaya menyekat agenda yang dikatakan pembangunan fiskal yang tidak diperlukan oleh rakyat Bachok. Kini setelah dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan YB Senator Awang Adek tidak lagi mencanangkan pembangunan mega sebagaimana dulu.. Beliau terpaksa menurut kehendak majoriti rakyat Bachok.. walaupun lebuhraya pantai tetap akan melalui pantai yang nyaman namun ia tidaklah serancak seperti yang dijanjikan, YB Senator Awang Adek sendiri tidak berminat untuk ambil tahu perkembangannya jadi tiada jaminan atas hasrat pengusaha chalet untuk menggamit pengunjung, jika hendak ke hospital terpaksa ke daerah lain, pelabuhan antarabangsa tidak menjadi kenyataan di Kuala Kemasin.. ianya terus berfungsi sebagai pelabuhan perikanan sahaja, Universiti tidak lagi menjadi keutamaan sungguhpun pembinaan tetap berjalan seperti siput dan tiada siapa peduli saluran paip minyak dari Yan..
Kini terserahlah kepada YB pilihan rakyat untuk membawa hala tuju pengundinya.. dan kita Yakin sebuah PUTIK PAS yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri Kelantan adalah satu- satunya projek besar yang berjaya dibina oleh PAS Kawasan Bachok.. mungkin YB Senator Awang Adek sangat kecewa atas layanan penduduk Bachok yang tidak tahu mengenang budi.. lantas membuat kita rasa lemon tea yang harum lembut bertukar pahit seperti kopi..

Thursday, February 24, 2011

Raja segala singa Afrika terjerat..

Kolonel Muammar Al Gaddafi mendakwa dia adalah raja segala singa di Afrika, sentiasa  berkeyakinan untuk menyatukan seluruh benua itu sebagaimana terbentuknya Amerika Syarikat tetapi mutakhir ini segala harapan besar itu hampir lebur, pemimpin negara yang kental ini dijangka tidak akan bertahan lama di tampuk pemerintahan. Apa yang tidak kena dengan presiden Libya ini, selama ini dunia digambarkan pemimpin yang berkuasa 41 tahun  di Afrika utara ini amat kebal dan disayangi rakyat sebagaimana hebatnya Ayatullah khomeini di Iran. Libya adalah sebuah negara mempunyai rezab minyak terbesar di Afrika dan no 9 di dunia. Dengan mempunyai keupayaannya sendiri Libya dapat berdikari dan menyediakan peluang kerja kepada lebih 130,000 buruh kasar dari Bangladesh, Filipina, Thailand dan India biarpun negaranya dikenakan sekatan antarabangsa selepas penglibatan rakyatnya dalam peristiwa letupan pesawat Pan Am di ruang udara Lockerbie pada 1988 yang mengorbankan 259 di udara dan 11 orang di bumi. 
Bermula dari peristiwa di Scotland itu Libya sentiasa dicurigai oleh negara barat namun dipandang hebat oleh kebanyakan negara yang tidak sebulu dengan konco- konco Uncle Sam. Muammar Gadaffi berjaya membina Gaddafilia di negaranya, ia disenaraikan sebagai pemimpin Islam berpendirian teguh dan tidak mudah tunduk kepada kehendak antarabangsa, dia juga memiliki rakyat yang setia dan sanggup mati bersama- sama sebagaimana juga yang diperlihatkan oleh Saddam Hussin di Iraq. Muammar Gaddafi menjadi perhatian dan kebanggan rakyat Libya bukan sahaja kerana membawa 40 pengawal peribadi wanita muda perawan setiap kali ke luar negara, tetapi ucapannya boleh mengundang perhatian pemimpin- pemimpin besar dunia. 
Tetapi kali ini Muammaf Gaddafi bagaikan orang yang berbeza dia terpaksa diheret oleh rakyat atas semangat kejayaan jiran mereka Tunisia dan Mesir menurunkan pemimpin yang liat menyerahkan kuasa secara baik. Mungkin Muammar Gaddafi sendiri tidak menyangka betapa cepatnya kesetiaan rakyatnya berubah daripada seorang rakyat yang dipasung dan mengangguk setiap apa yang disuapkan oleh pidatonya boleh bertukar menjadi begitu berani membuat bantahan dan mencabar kekuasaanya. 
Satu kesilapan besar telah dilakukan oleh Muammar Gaddafi adalah merosakkan reputasinya sendiri apabila dia melawan kebangkitan rakyatnya dengan kekerasan, langkah menggunakan tentera untuk melawan protes bolehlah diumpamakan marahkan tikus rumah dibakar, Dalam keadaan menteri, diplomat dan pembesar negara mula menjauhi kepimpinannya Muammar Gaddafi mengarahkan serangan keatas negaranya sendiri menggunakan senjata berat dan Jet pejuang. 
Mungkin jawapan yang mudah kepada tindakan rakyat Libya ini adalah penyatuan pemikiran rakyat atau setmind kepada isu yang sama iaitu muak, jemu dan rimas dengan  ketua yang sama sejak lebih empat dekad, rakyat ingin merasa corak pentadbiran yang berbeza, disebabkan keinginan bersama itu ia telah mengatasi kewibawaan peribadi Muammar Gaddafi sendiri. Muammar Gaddafi tidak cukup untuk membendung kehendak rakyat di masa yang tepat, dia berada dalam keadaan yang tidak menyebelahinya sekiranya dia dapat mengatasi asakan yang teruk ini beliau akan mampu menjadi presiden sepanjang hidup.

Tuesday, February 22, 2011

"Big Thing" untuk pemain politik kita

Sekiranya anda ingin mengenali dunia politik atau ingin menjadi ahli politik yang baik, anda cubalah untuk menonton 'Big Thing' sebuah paparan ikhlas dan telus, dan mungkin penulis skripnya adalah seorang yang berada dalam kerjaya berkaitan... Elok benar kiranya pemain politik negara kita dapat mengutip sesuatu yang berguna daripada drama bersiri korea ini.
Big Thing' yang baru sahaja tamat siarannya di Astro One HD 393 adalah sebuah kisah tentang kejayaan rakyat biasa Soe Hye Rim yang menjadi balu selepas suaminya dijadikan tebusan dan dibunuh oleh militan di Asia Barat. Bermula dengan azam yang kuat untuk melihat pembelaan kepada rakyat, Soe Hye Rim membawa suara penduduk Namhae-do yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan. Soe Hye Rim akhirnya berjaya memenangi pilihanraya dan berada dalam parti memerintah. Sebagai seorang bekas pengacara TV yang sentiasa mementingkan suara rakyat Soe Hye Rim tidak pernah terikat dengan protokol sebagai seorang ahli politik, dia menjalani kehidupannya seperti biasa dan masih mengunjungi tempat- tempat awam Soe Hye Rim juga rela melepaskan jawatan sekirannya tindakan kerajaan tidak mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya.

Kisah ini juga menyelitkan harapan perdamaian di semenanjung Korea selain tidak melupakan rencah  cinta seorang pendakwaraya yang terpaksa menunggu Soe Hye Rim yang tidak mahu kasih sayangnya kepada rakyat tergugat dan mereka menangguhkan perkahwinan. Sebagai ahli politik yang serba mentah Soe hye Rim sentiasa mendapat bimbingan dan semangat dari ahli politik yang dihormati dan dikagumi Kang Tae San disamping tidak membelakangkan buah fikiran Presiden di Rumah Biru. Biarpun di puncak plot penonton di hidangkan persaingan hebat antara Kang Tae San dan Soe Hye Rim untuk menduduki kerusi Presiden  watak Kang Tae San akhirnya digambarkan sebagai ahli politik yang berpendirian, tidak menyalahguna kuasa  dia juga sering membantah dan tidak menyenangi sikap bapa mertuanya yang menjadi kaya raya dengan cara mempengaruhi ahli politik untuk mendapat setiap urusniaga dengan kerajaan tetapi sikap semulajadi Soe Hye Rim lebih dimahukan oleh rakyat dan diangkat sebagai Presiden wanita pertama Korea.
Dalam drama bersiri ini juga penonton didedahkan dengan pelbagai ragam dan perancangan teratur ahli politik yang akan berbuat apa sahaja untuk kemenangan parti tetapi akhirnya keikhlasan pemimpin yang akan  memenangi hati rakyat. Pemimpin yang lama dan berpengalaman akan tewas dengan hina sekiranya kekuatan mereka digerakkan dengan kuasa rasuah, korupsi dan dikelilingi penasihat yang berkepentingan.

Monday, February 21, 2011

NKRA....MRT akan ulangi lompang LRT di Kuala Lumpur...

        Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala berkata menjelang 2020 sekurang-kurangnya 50% penduduk Kuala Lumpur mesti menggunakan pengangkutan awam. Dakwaan bekas CEO MAS itu bolehlah dianggap sebagai menyokong pembentangan bajet Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (2011-2015) oleh YAB Perdana Menteri.
        Sebagai rakyat biasa yang tidak dipengaruhi oleh graf dan perangkaan, kita rasa terpedaya dengan apa yang diyakini oleh Datuk Idris Jala tambahan pula sewaktu menerajui MAS beliau tidak dapat mengejar populariti dan prestasi Air Asia jauh sekali untuk mengurangkan penumpang "Every One Can Fly" begitu juga MasWing yang masih bergelut dengan pemain baru Firefly.
         Unjuran Datuk Idris Jala boleh juga dimaksudkan membodek bos kerana beliau sebenarnya memberi gambaran yang tidak tepat disamping menutup lompang pembentangan PM untuk membina MRT yang bernilai RM36.6 Billion yang akan menghubungkan kawasan kuala Lumpur dan dijangka siap pada 2020.
      Sebagai seorang rakyat beragama yang patuh kepada perancangan dan wawasan pemerintah yang dipilih oleh jemaah yang terbesar kita tidak menentang apa yang dimaksudkan dengan merealisasikan satu daripada enam  bidang keberhasilan utama negara (NKRA) iaitu memperbaiki pengangkutan awam.
Mungkin ramai yang lupa atau sengaja tidak mengambil ikhtibar apa yang terjadi pada rancangan Malaysia  Ke Enam pada tahun 2000 yang mana dikatakan 50% pengguna pengangkutan awam akan menggunakan kemudahan LRT.
        Dengan nisbah 20 juta kereta untuk penduduk 28 juta mustahil MRT mampu atasi kesesakan, Kerajaan mungkin mengimpikan sebuah bandaraya yang diatur oleh trem dan rel sebagaimana Hong Kong dan bandaraya lain yang cekap mengatur pergerakan warganya ke destinasi akhir.
    untuk menggerakkan penghuni bandaraya agar menggunakan pengangkutan awam, kerajaan seharusnya berjaya memberi tanggapan bahawa pengangkutan awam lebih pantas dan selesa daripada kenderaan peribadi.
Apa yang diperhatikan adalah pembangunan kawasan penempatan masih menjauhi stesen rel dan trem, pengguna dipaksa menggunakan kemudahan lain seperti bas, teksi atau kenderaan sendiri yang terpaksa pula membayar parking seharian sebelum dapat menggunakan trem, cara ini akan memakan masa dan perbelanjaan yang lebih dan keadaan lebih teruk lagi jika stesen trem itu adalah dikawasan yang sesak menjadikan keadaan ini memberi kelebihan kepada penggunaan kenderaan persendirian.
       Sistem sokongan pengangkutan awam juga masih tidak mampu menepati kehendak pengguna apabila lorong bas atau teksi masih belum bebas dari kekangan trafik.
bandaraya KL masih belum mencapai apa yang disebut anjakan paradigma dimana pejalan kaki diutamakan daripada kenderaan peribadi, pergerakan secara kumpulan pula tidak ada keistimewaan berbanding pergerakan individu.
     Penyelesaian kesesakan dengan mengadakan pengangkutan rel juga sukar diselesaikan seandainya pembangunan tanah masih lagi rancak di jajaran jalanraya yang akan menyebabkan lokasi pusat aktiviti masyarakat dan urusan tugas harian tidak dapat dilangsaikan kerana jauh daripada stesen transit. 

Sunday, February 20, 2011

Kelantan tetap membangun dibawah PAS..

Berhentilah bercakap tentang pembangunan di Kelantan.. Orang Kelantan tidak sama dengan Sabah atau Sarawak. Anak Kelantan ada di mana- mana, mereka ada di Putrajaya, Jabatan, Kementerian malahan pentas antarabangsa, mereka tahu apa yang sebenarnya rakyat Kelantan dapat dan apa risiko yang diterima sekiranya melawan arus, mereka tak mudah dipesongkan kepercayaan. Sungguhpun PAS bukan pentadbir yang cekap tetapi orang Kelantan tetap memilih PAS hanya harapan untuk seimbangkan pembangunan dengan apa yang dipercayai boleh membawa pembangunan insan. Biarpun PAS sudah diberi mandat untuk mempraktikkan penerapan keislaman dalam pentadbiran negeri, meneutralkan hal keduniaan tetapi sejak kebelakangan ini rakyat Kelantan semakin yakin PAS tidak berupaya juga membawa harapan rakyatnya. 

Rakyat Kelantan tidak perlu memikirkan pembangunan kerana dalam keadaan apa sekalipun kerajaan pusat tetap memberi perhatian dalam pembangunan fizikal kepada negeri dengan adil biarpun bukan menyokong BN tetapi yang perlu difikirkan adalah penggal tambahan bagi menjayakan agenda keislaman yang dimomokkan memerlukan masa yang lama. Hakikat ini semua rakyat Kelantan tahu dan orang UMNO juga tahu. Atas kepercayaan bahawa PAS itu membawa agenda Islam walaupun UMNO juga tidak meminggirkan Islam tetapi sebagai sebuah negeri yang majoriti adalah Melayu Islam, rakyat Kelantan inginkan Islam yang lebih diberi penekanan dengan kata lain ekstrem berbanding lain- lain negeri di Malaysia. PAS berjaya meyakinkan rakyat Kelantan dalam hal ini dan UMNO mendapat tugas yang sukar untuk menghakis kepercayaan rakyat yang sudah lama ditanamkan dalam pemikiran orang ramai. 
Sebagai menambahkan lagi bebanan BN negeri Kelantan, pemimpin UMNO sendiri yang mengundang bebanan kepada parti, dalam hal ini kerajaan pusat tidak boleh dipersalahkan kerana mereka juga digambarkan oleh pemimpin UMNO sendiri bahawa orang Kelantan mahukan pembangunan sebagai tukaran kepada undi BN. Apa yang tidak dapat ditahan dan bersabar adalah kehendak  orang UMNO sendiri.
penduduk lima buah kampung di Dun cempaka mendesak ADUN mereka yang juga menteri Besar kelantan agar menyelesaikan masalah kerosakan jalan di kawasan mereka.

Sebagai orang politik yang bergerak dengan peruntukan melalui projek kerajaan pusat kehadiran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) amatlah dialukan bukan kerana keupayaannya menyelaraskan saluran kerajaan pusat tetapi ia memberi pelbagai peluang pembangunan dengan keutamaan kepada pemilik lesen yang dipersetujui oleh penyelaras Parlimen dan Dun yang juga pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan Negeri. Orang UMNO memang dikenali sebagai golongan peniaga dan pemilik lesen kontraktor pelbagai kelas. Kontraktor kelas F terlalu ramai memperalatkan UMNO, mereka ada dalam setiap peringkat Bahagian, mereka akan marah jika tiada projek dan ramai pula yang bersedia melupakan perjuangan sekiranya tidak mendapat projek begitu juga dengan pemimpin UMNO sendiri yang tidak akan menyusahkan diri untuk turun ke bawah sekirannya tiada apa- apa sumbangan atau komisen dari pihak kontraktor. Walaupun ini mungkin dikatakan sebagai tuduhan semata tetapi perkara ini juga berlaku kepada semua parti yang memerintah termasuklah kerajaan PAS sendiri namun mereka ada kelebihan menipu dengan bertopengkan 'Membangun Bersama Islam'.
Untuk mendapat kesan yang jelas dan membezakan sumbangan kerajaan pusat dan tanggungjawab negeri, rakyat Kelantan seharusnya dibuka mata. Kerajaan pusat jangan lagi ghairah menaik taraf jalan kampung dan jalan negeri, biarlah jalan itu hanya tinggal sisa kesan jasa kerajaan BN yang dulu. Pemimpin UMNO tidak perlu menggesa pembinaan jambatan, bangunan baru atau menambah jaringan jalan bagi menghindar kesesakan jalan raya. Pentadbir di Putrajaya masih boleh membuat pembangunan tetapi mestilah untuk kepentingan persekutuan sahaja kecuali kemudahan wajib seperti pelajaran dan membantu golongan miskin. 

Tuesday, February 15, 2011

Di Bumi Yaman..

     Yaman.. sebuah lagi negara arab yang terjebak dalam protes rakyat yang menggesa presiden Ali Abdullah Salleh meletak jawatan. Yaman adalah antara negara yang paling awal membina tamadun, mengenali Yaman yang juga kebetulan terkait dengan asal usul fmy agak menyukarkan untuk memahami gambaran sebenar sebuah negara yang berjiran dengan Arab Saudi dan Oman ini malahan lebih senang memahami dan mengagumi Yaman melalui cerita- cerita epik dan mengasyikkan yang menjadi cerita turun temurun dunia sebelah timur terutama atas angin. Selain terangkum dalam cerita Dalilah Wa Dimnah, Hikayat Umar Umaiyah dan 1001 malam, yaman juga turut diceritakan dalam Al Quran. Paling tidak dapat dilupakan adalah tentang Ratu Balqis yang memiliki singgahsana dan kerajaan yang tiada tandingan di zaman nabi Sulaiman namun akhirnya menjadi isteri kepada raja seluruh isi dunia. Al Quran juga menceritakan kesungguhan Raja Abrahah membina Kaabah di Yaman dan keangkuhannya membawa tentera bergajah menyerang Mekah.
     Tidak lengkap mencari Yaman jika belum melihat kesan runtuhan kehebatan kerajaan Himyar, Tadmur, Maarib dan San'a. Penyatuan semula negara Yaman Utara yang bandarnya Aden bersama kerajaan komunis Yaman Selatan yang ibu negaranya San'a dan kini Yaman bersatu mengiktiraf San'a sebagai ibu negara Republik Demokratik Rakyat Yaman. Tidak lah terlampau sekiranya dikatakan bahawa ibu kota Yaman ini telah terperangkap dalam masa selama beribu- ribu tahun kerana itulah San'a masih boleh diimpikan sebagai kota yang masih seperti keadaan di zaman lampau, pengunjung masih boleh mengandaikan mereka sedang berada di zaman Ratu Balqis. Bermulanya kemerosotan imej Yaman apabila rakyat mula meninggalkan kampung halaman setelah tragedi empangan Maarib pecah, menyebabkan kegiatan pertanian dan perniagaan runtuh.
     Mampukah kuasa rakyat Yaman menggerakkan kegemilangan Yaman atau bolehkan Yaman memiliki kecerdikan Ratu Balkis, Kehebatan Raja Abrahah atau setidaknya membina semula empangan Maarib untuk rakyat. Sekiranya suara rakyat hanya terikut- ikut dengan kejayaan di Tunisia dan Mesir menggulingkan pemerintah tanpa mendapat kembali semangat silam yang hilang kita percaya Yaman tetap menjadi antara episod kejayaan silam sahaja.

Biarkan Maulud Nabi..

Maulidur Rasul adalah hari keputeraan nabi Muhammad saw. Dalam membicarakan tentang hukum menyambut hari tersebut pihak yang menyokong dan menolak majlis sambutan mempunyai hujah- hujah sendiri berserta dengan hadis dan dalil- dalil yang sukar diketepikan. Bagi yang menolaknya jangan pula menghukum dan pihak yang menyokong pula perlu berwaspada takut tersasar daripada kehendak sambutan yang dituntut.
Dalam kalangan 193 negara merdeka di dunia termasuk negara Islam sendiri, hari kelahiran junjungan besar tidak dimasukkan ke dalam kalendar cuti umum kecuali beberapa negara sahaja seperti Algeria, Brunei, Bosnia, Indonesia, Oman dan Sri Lanka. Di negara kita semua negeri dalam persekutuan Malaysia sepakat untuk dijadikan hari cuti umum biarpun di negeri yang majoriti rakyatnya bukan Islam seperti Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Sungguhpun sambutan yang dikenali hari ini tidak diamalkan di zaman sahabat tetapi ia bukanlah satu amalan yang ditegah malahan ia semakin diberi perhatian selepas 1200 tahun kewafatan nabi akhir zaman. Dengan tujuan mengambil semangat dan roh Islam yang dibawa oleh manusia paling berpengaruh di muka bumi, umat Islam melakukan pelbagai acara seperti perarakan sambil memuji- muji, ceramah agama, membaca sirah dan berbagai cara dengan tujuan untuk meningkatkan kecintaan dan seterusnya menggerakkan zahir dan batin ke arah seruan ajaran Islam.
Di zaman serba pantas, materialistik dan berkepentingan diri yang berlaku dan tetap berlaku setiap hari, anak- anak kita juga perlu diceritakan tentang kelahiran manusia pilihan di Kota Mekah yang mana dihari kelahirannya menyebabkan api suci di Istana Kisra, Farsi terpadam, dinding- dinding retak dan beberapa menaranya runtuh, kisah ketabahan dan kesedihan membesar sebagai anak yatim piatu yang sentiasa bertukar penjaganya daripada pengasuh, datuk dan bapa saudara. Selama 13 tahun susah payah dalam berdakwah kepada kaum jahiliah hanya sekitar 300 orang yang beriman, kekasih Allah juga telah menzahirkan pelbagai mukjizat yang jelas membuktikan kebenaran ajaran yang dibawanya namun masih tidak dapat melawan hati yang gelap kaumnya menyebabkan nabi ulul azmi itu diwahyu untuk berhijrah ke Madinah. Di Madinah baginda membina kerajaan Islam dan menjadi tapak pertama sebagai pusat penyebaran Islam ke seluruh dunia. Sebagai seorang manusia yang merubah terus corak pemikiran, pentadbiran dan seluruh kehidupan manusia, nabi penutup zaman ini tidak sunyi daripada ancaman sejak dari kanak- kanak sehinggalah jasad baginda hampir dimalukan oleh orang Yahudi yang menceroboh makamnya melalui terowong sebelum digagalkan oleh Raja Nuruddin yang warak dari Mosul.
Setiap ciri dan perlakuan nabi Muhammad saw mestilah menjadi idola setiap orang Islam, kecintaan dan kekaguman kepada penghulu kita hendaklah sentiasa dipupuk dengan cara mematuhi setiap suruhan dan larangan dengan bersungguh- sungguh. Semoga sambutan maulidur rasul sentiasa dilandasan yang benar, memberi kebaikan kepada orang Islam mudah- mudahan sambutan maulidur rasul kini dan selamanya tidak mengundang Bidaah... Wallahuallam.. 

Saturday, February 12, 2011

Mencari Mesir..

Mesir @ Egypt adalah negara terawal mencipta tamadun, sungai Nil yang merentangi negara padang pasir ini telah banyak menyaksikan pelbagai kisah dari seorang hamba menguasai negara hinggalah seorang manusia yang mendakwa sebagai tuhan, aliran sungainya juga pernah disembah oleh manusia hinggalah airnya dijadikan sebagai air wuduk, sungai ini jugalah yang berperanan sebagai sumber kehidupan hingga menjadi tempat peperangan kuasa dunia. Disinilah bermulanya tamadun manusia, bangsa Mesir terlebih dulu bertamadun dan menguasai teknologi mengatasi lain- lain pencapaian bangsa di ceruk dunia lain dan dalam sesetengah pencapaian, Mesir masih tidak dapat ditandingi oleh mana- mana negara pun. Sebagai sebuah negara yang sepanjang zaman dikenali, Mesir menjadi tumpuan manusia dari segenap pelosok dunia , Mesir adalah tanah yang diceritakan dalam semua kitab agama Samawi ia menjadi tempat yang pernah dituju oleh para nabi dan rasul, Selain kehebatan kerajaan silamnya Mesir adalah tempat pusat menimba ilmu dan paling dikenli adalah sebagai lubuk ilmu - ilmu Islam, terlalu banyak untuk diceritakan tentang Mesir tapi cukuplah  sekadar menyebut nama Al-Azhar sebagai Universiti  tertua di Dunia. Mesir ada segalanya dari tarian gelek hingga ke kuliah agama, pendek kata ada yang mengamalkan budaya barat dan ada yang zuhud. Mesir tetap Mesir yang bergaya, Kisah turun naik pemerintah adalah hanya episod dalam perjalanan sejarah, dari tempoh zaman firaun purba sebelum 3000 SM  hingga ke penghujung Dinasti Ptolemaik, apabila Mesir menjadi jajahan Empayar Rom di bawah pemerintahan Augustus Caesar pada 30 SM selepas itu pemerintahan Mesir diteruskan dengan diperintah oleh dinasti Sultan dan Raja yang panjang hinggalah Raja terakhir, Fuad 2. Pada 1953 Mesir mengamalkan sistem Presiden dan Muhammad Naquid sebagai Presiden selama setahun  sebelum diambil alih Gamal Abdel Nasir pada 1954 hingga 1970 ia bertukar tangan kepada Anwar Sadat sebelum diganti oleh Hosni Mubarak selepas peristiwa pembunuhan presiden yang menggemparkan dunia barat dan Israel pada 1981. Hosni Mubarak yang bermula sebagai wira bangsa Arab akhirnya terpaksa berdepan dengan bantahan rakyatnya sendiri, Hosni dianggap sudah terlalu lama memerintah, beliau sudah beransur hilang jati diri membela orang Arab. Dalam banyak perkara Hosni hanya melihat dan menyediakan meja rundingan di pantai Sham El Sheikh kepada pemimpin AS dan Israel untuk mematikan langkah Palestin dan rakan Arab yang lain. Hosni kembali kepada zaman firaun yang hanya mengumpulkan kekayaan dan bersenang lenang di Istananya dan mengabaikan tuntutan rakyat. Dalam menggambarkan pemerintahan dan rakyat Mesir bolehlah disimpulkan rakyat Mesir adalah rakyat yang taat kepada pemerintah sejak berzaman, sanggup mengabdikan diri untuk seorang ketua, dan pemerintah Mesir pula masih memperalatkan rakyat untuk keagungan diri, penentangan rakyat adalah tradisi yang sering gagal dan sekiranya ia terjadi  bermakna ada kesalahan besar yang sukar dimaafkan.

Thursday, February 10, 2011

Cinta Kueh Bakul

Chin.. hanya satu satunya orang cina yang ada di kampung Melayu, Judin pula adalah jiran Chin, sebagai jiran Judin selalu menceroboh ke halaman rumah Chin, ayah Judin yang bakal menjadi penghulu kampung tersebut bernama Aziz, dia sentiasa menanamkan rasa benci kepada orang kafir. Aziz tidak marahkan judin jika Chin mengadu kepadanya tentang babinya yang cedera dilastik, Aziz buat endah tak endah bila Chin menangis mengadu tentang Judin yang merosakkan tanaman betiknya. Aziz akan menyalahkan kawan Judin bila diberitahu kepadanya yang Judin merosakkan periuk belanga Chin di dapur rumahnya. Judin tahu ayahnya tidak marah kerana Judin diingatkan agar jangan makan betik yang dibubuh baja tahi babi, Judin juga tahu bahawa babi itu binatang haram disisi agamanya dan Judin jadi marah bila tahu Chin memasak makanan dan diberi kepada budak- budak yang lalu depan rumahnya..


Kini Judin telah ada anak, dia telah bekerja dan tahun ini Judin balik ke kampung sempena menyambut tahun baru cina. Ayah Judin, Aziz sudah tua.. tetapi masih menjadi ketua kampung, ketika Judin sampai dia disambut oleh Chin ditangga rumahnya, Chin datang ke rumah Aziz membawa juadah tahun baru, Judin tak tahu nama kueh yang dibuat dengan tepung beras, Judin tak kenal apa nama kueh yang dibungkus daun pisang, yang Judin kenal hanyalah kueh bakul sahaja. Judin mengelak untuk bersalam dengan Chin sebaliknya anaknya  menyambut dan mencium tangan Chin yang juga menghulur angpow kepada anak Judin, begitu juga isteri Judin yang berasal dari bandar, dia tidak kekok mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada Chin. Ayah judin mempersilakan Judin ke meja dan mempelawa Judin makan juadah yang dibawa Chin tadi, anak dan isteri judin hendak mencuba kueh itu tetapi ditepis tangan dua beranak itu oleh Judin.. Aziz nampak dan berkata kepada Judin. "..makanlah, halal tu bukan macam 20 tahun dulu..." Aziz hiris kueh bakul dan dihulurkan kepada Judin. Anak Judin melihat ayahnya dan berkata  "...makanlah ayah kan kita ni 1 Malaysia.." Judin memerlukan kepastian dan bertanya sekali lagi kepada ayahnya  "...boleh ke ayah ?" ayahnya memandang Judin, dan berkata ".kueh Chin ni lebih sedap daripada kueh orang Melayu.."

Sunday, February 6, 2011

Sesat Dalam Masjid..

Binaan pertama oleh nabi Muhamad saw selepas hijrah ke Madinah adalah masjid nabawi, penyebaran Islam ke negeri China oleh Saad Ibn Waqqas dimulai dengan pembinaan masjid, penaklukan Islam hingga ke Sepanyol menjadikan Cordova pernah memiliki masjid yang terbesar di dunia sebelum tiga kali pembesaran masjidil haram di Mekah begitu juga sultan Malikul Salleh menjadikan Istananya di Pasai sebagai masjid pertama kerajaan Melayu begitulah penting dan mulianya tempat ibadat Islam itu yang juga berperanan sebagai rumah Allah di muka bumi. 
Menyedari kepentingan masjid dan manfaat yang banyak sesebuah negara Islam amat berbangga dengan pembinaan masjd yang indah di negara mereka malahan masjidil haram sentiasa memperindah dan menambah baik dengan pelbagai kecanggihan yang mengkagumkan. Sebagai monumen memperakui kewujudan agama Allah masjid dipertahankan hingga berlaku pertumpahan darah seperti yang belaku di Babri India.
Cerita pelik dari sebuah negeri yang menolak parti bernama Kebangsaan dan memilih parti bernama Islam amatlah tak masuk di akal kerana sejak 20 tahun menguasai dan mendabik dada sebagai pembela Islam mereka hanya berjaya menyiapkan sebuah masjid pelancongan seumpama masjid negara China di awal dakwah oleh mubaligh Islam di zaman khalifah dan jika diukur keupayaan pimpinan kumpulan taliban ini bolehlah dikatakan mereka memerlukan satu abad untuk menyediakan 5 buah masjid kepada lebih 2 juta rakyatnya, memang ada benarnya alasan bahawa masjid yang dibina oleh pentadbir sebelumnya  sudah mencukupi untuk digunakan oleh rakyat, kita menolak alasan itu tetapi tidakkah terfikir bahawa dari segi pahala dan manfaat penggunaan masjid yang berterusan oleh rakyat adalah juga memberi pahala yang berterusan kepada orang yang membinanya, adakah pahala ini bukan tujuan sebenar yang dicari, kalaupun tidak berupaya membina yang baru cukuplah menambah baik atau menjaga penyelenggaraannya, satu amalan yang juga mendapat ganjaran berterusan. Tetapi pada masa yang sama pentadbir negeri itu tidak pula merasa gusar, bersalah atau malu dengan berdirinya tokong, salib dan patung lembu yang dulunya amat asing bagi masyarakat disitu. Sudahlah tiada perkembangan, semakin hari jemaah semakin tidak suka ke masjid disebabkan ada sahaja masjid yang bertukar wajah menjadi markaz tempat menyebarkan risalah membenci, tempat berkumpul dan mencari ulah untuk mengalahkn lawan, untuk menambah kehebatan dan menggambarkan mereka yang memonopoli masjid itu adalah Islam sebenar, masjid pun dihijau lumutkan dan diserikan dengan wajah serban sedang menangis.
Bagi kaum perempuan pula, mereka menolak pahala yang lebih jika sembahyang bersendirian di rumah sebaliknya sentiasa menunggu azan dari masjid untuk berjumpa kaum ibu sambil menayangkan perhiasan, telekung dari Mesir, bergosip tentang jiran yang liat ke masjid dan membicarakan pasal kejayaan anak- anak membeli harta dan beli kereta baru.
Bagi tok siak atau bilal pula barangkali tidak peka kepada adab bermasyarakat apatah lagi jika ada komuniti beragama selain Islam janganlah pula memasang pembesar suara seolah- olah menghina masyarakat setempat dengan memasang kaset atau CD ceramah tokoh -tokoh kebanggaan hingga binggit dan menganggu ketenangan jiran tetangga dan anak- anak kecil, cukuplah memainkan bacaan Al-Quran secara sederhana dan sedap didengar.
Kepada yang membina masjid janganlah bercakap pasal kejayaan membina masjid untuk rakyat sebaliknya bersama mengisi saf- saf yang masih terluang, biarkanlah lawan menjadi Imam solat jika itu kelebihannya semoga dengan seimbangnya dua puak di masjid akan meneutralkan rumah Allah, sama- sama menjaga tertib dan bermuswarahlah untuk kebaikan bersama........... Insyaallah..  

Friday, February 4, 2011

Operasi Selamatkan Pelajar

          Diawal munculnya penentangan rakyat kepada kerajaan Mesir, banyak negara hanya bersikap tunggu dan lihat begitu juga para pelancong masih lagi mundar mandir di Syam-el Sheikh, Giza ataupun menikmati panorama menyusuri sungai Nil. Bila keadaan semakin hari semakin tidak terkawal keadaan mula menjadi panik dan pelawat segera meninggalkan negara firaun itu menjadikan hanya pelajar yang masih bertahan.
Rakyat Malaysia yang belajar di Mesir sebahagian besarnya adalah penuntut perubatan dan ilmu- ilmu Islam seperti di Universiti tertua dunia Al-Azhar. Dengan bilangan pelajar seramai lebih 11,000 orang sudah cukup membayangkan betapa besarnya bilangan yang jika dibandingkan ia menyamai bilangan pengundi dalam satu dun. Selepas  seminggu memerhatikan suasana kebangkitn rakyat di negara tertua dunia itu terdapat laporan pelajar kita terperangkap di kediaman dan segala aktiviti tersekat, Kerajaan menggerakkan usaha menyelamat yang dinamakan Ops Piramid. Operasi yang melibatkan dua pesawat pengangkut C130 milik TUDM dan mengarahkan kapal Bunga Mas yang beroperasi mengawasi lanun di teluk Aden belayar ke pelabuhan Adabiyah, Air Asia juga tidak ketinggalan menyertai misi dengan menghantar sebuah pesawat A320 ke Kaherah. Dengan keupayaan penerbangan yang memakan masa tiak kurang 8 jam dan dua hari pelayaran dari perairan Somalia ditambah pula dengan muatan yang mampu diangkut oleh pesawat adalah sebanyak 80-100 orang manakala hampir 500 orang melalui kapal laut, mengambil kira kesuntukan masa dan jarak antara Malaysia dan Mesir adalah 1/3 perjalanan mengelilingi dunia kerajaan memerlukan sebuah negara ketiga yang berhampiran. Arab Saudi menjadi pilihan, tambahan pula terdapat kompleks Tabung Haji di Jeddah yang boleh menguruskan penempatan sementara pelajar. Jika dibuat hitungan tiga kali penerbangan dengan 3 pesawat dari Kaherah ke Jeddah dan sekali pelayaran dari Adabiyah ke Jeddah bermakna dalam sehari pelajar yang diangkut adalah seramai 1200 orang bermakna memerlukan kerja tanpa henti selama 10 hari dan dalam tempoh tersebut tidak dapat dijangka apa akan belaku.
           Melihat kepada perkembangan terkini pihak tentera Mesir yang menjadi penentu kepada peralihan kuasa sudah mula bertindak mengekang protes anti Hosni Mubarak. Kemunculan kumpulan pro Hosni Mubarak pula menjadi benteng kepada kuasa presiden yang dilanik sebagai wakil presiden pada 1975 dan menjadi presiden penuh selepas pembunuhan presiden Anwar Sadat pada 1981 ini memberi kelegaan sedikit kepada beliau, Mesir mewajibkan setiap rakyat lelaki berumur 18-30 menjalani khidmat negara menjadikan setiap keluarga rakyat Mesir adalah tentera dan merekalah yang sedang berada di jalanan membuat protes. Sebagai presiden yang pernah menjadi Panglima tentera udara Hosni Mubarak sudah pasti memiliki semangat juang dan beliau menegaskan untuk mati di Mesir, Hosni Mubarak juga sudah membuat jaminan tidak akan mempertahankan jawatannya pada akhir tahun ini, pengumuman beliau itulah yang berjaya menarik sokongan tentera.
      Dalam banyak hal yang melibatkan sempadan dengan Gaza, tindakan Mesir yang sering menekan rakyat Palestin amatlah mengecewakan seluruh dunia Islam pun begitu Mesir tidak mudah melupakan kekalahannya kepada Israel dan perjanjian penyerahan semula Semenanjung Sinai kerana itulah Mesir terpaksa mengambil langkah menjaga kepentingannya walaupun dikecam oleh banyak negara Islam. Setiap negara di rantau yang bergolak tidak dapat lari daripada campurtangan Amerika Syarikat itulah langkah yang tidak dapat ditolak sekiranya mereka ingin stabil dan tidak disisih oleh dunia, Mesir mengambil jalan tengah dan makmur di mata dunia hinggalah krisis terbaru ini yang kuncinya adalah batang tubuh Hosni Mubarak sendiri dan hanya perletakan jawatannya sahaja yang boleh menjamin penyelesaian mudah tapi belum tentu Ahmad Albaradei boleh mengukuhkan dirinya dalam waktu yang singkat.
          Membicarakan Mesir sebagai negara Islam yang tidak menolak budaya sekular sebagaimana juga Turki  pihak pembangkang di Malaysia khususnya PAS dilihat tidak tetap pendiriannya, mereka mengecam pemerintah Mesir dan menyamakan UMNO seperti Hosni Mubarak yang dikatakan menolak Islam tetapi dalam masa yang sama mereka menghantar pelajar ke Mesir dan lulusan dari sanalah yang diangkat menjadi penggerak parti mereka.  Untuk menunjukkan rasa simpati kepada ibu bapa pelajar yang majoritinya penyokong PAS iaitu sekitar 1200 orang pelajar dari Kelantan, kerajaan negeri memberi bantuan kewangan Rm120,000 yang bermakna seorang mendapat Rm100.. sungguh kita hargai bantuan tersebut tetapi bantuan itu tidak perlulah diperbesarkan seolah-olah Kelantan sudah menghantar sebuah pesawat atau boleh saja dikatakan seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Begitu juga dengan kenyataan Naib Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa yang mempersoalkan langkah kerajaan menempatkan sementara pelajar Malaysia di negara ketiga sebelum dibawa pulang, ahli Parlimen Bachok ini agaknya  tidak begitu memahami tentang kesukaran dan masa yang suntuk yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat.

Thursday, February 3, 2011

Kekuatan Bangsa


Semangat Kebangsaan memang dimiliki oleh setiap bangsa didunia dan berlaku dalam setiap kurun dan zaman. Seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran.. bermulanya hidup bersuku-suku dan berpuak adalah selepas peristiwa banjir besar di zaman nabi Nuh a.s.. Selepas air surut dan kapal tersadai di gunung Judi, Semenanjung sinai. Berjalanlah manusia mencari tanah dan tempat baru secara berpecah dan berkumpulan. Semangat berpuak ini dikesan di zaman Greek seperti diamalkan oleh negara kota Olimpia dan Sparta yang saling bermusuh begitu juga Kesiapsiagaan kerajaan Parsi yang sentiasa bertembung dengan Rom.. Sejarah juga merakamkan begitu bangganya Saddam Hussin yang mengakui mencintai bangsannya hingga menyamakan diri beliau seperti maharaja Hamurabbi yang memerintah Babylon.
Walaupun diketahui sesetengah bangsa itu menganuti fahaman yang sama tetapi apabila timbul persoalan bangsa seagama maka tidak dapat tidak satu golongan akan mementingkan semangat kebangsaan yang kebetulan pula adalah seagama dan perasaan inilah menyemarakkan semangat Hitler menjulang bangsa Aryan dalam perang dunia kedua dan kita tidak dapat menolak pengorbanan orang Scotland dan Ireland Utara dalam mempertahankan tanahairnya dari ditakluki oleh Inggris untuk membentuk Great Britain.. Semangat Kebangsaan jualah yang kerap membawa kejayaan dan mencipta zaman.. Didalam agama Islam kita tidak akan menolak bangsa Palestin begitu galak ditindas oleh Israel bukan semata-mata kerana mereka beragama Islam tetapi kerana sejarah perbalahan bangsa yang tidak pernah putus sejak manusia mengenal tamadun.. Sejarah nusantara dengan jelas menceritakan kejayaan bangsa Melayu dengan penemuan prasasti di Kedukan Bukit bertarikh 683m hinggalah merdekanya bangsa Melayu di Brunei pada 1984..
Jika dipelajari sejarah yang kerap berulang adalah satu pembohongan besar dan menipu diri sendiri jika dikatakan pemimpin PAS tidak mempunyai agenda bangsa, DAP terang terangan akan ketawa berdekah-dekah begitu juga MIC, MCA, dan parti Bumiputera di Borneo, kecenderungan kebangsaan ini bukanlah salah malahan sesuatu yang baik untuk mewakili setiap suara rakyat yang terpisah dari segi budaya dan geografi.. Lupakah kita kepada kejayaan PAP dengan agenda kecinaannya.. benarlah Islam mementingkan persaudaraan melalui agama tetapi dalam masa yang sama PAS memusuhi dan menepis salam persaudaraan oleh UMNO begitu juga semangat Assabiah yang begitu kuat dalam diri mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat yang sentiasa bermegah dengan keturunan sekaligus menjadi penasihat satu pertubuhan kerabat. Kita bukanlah mempertikaikan apa yang dilakukan beliau tetapi kita seharusnya tahu bahawa slogan yang mengaitkan agama Islam tidak lebih hanya bertujuan menghentam UMNO dan mendapat undi dalam pilihanraya....

Tuesday, February 1, 2011

Ada Peluang di Lobang Jepang...

Ramai peniaga dan penduduk di Kota Padang sudah tidak aman lagi mencari rezeki, setiap hari warganya hidup dalam kebimbangan kerana khuatir gempa bumi dan tsunami akan berulang, semua bangunan pejabat, kediaman, hotel malahan pasar dan kedai tidak dapat lari daripada kesan goncangan gempa bumi, sesiapa yang berkunjung ke Padang hari ini masih berpeluang melihat kesan dan kerja baik pulih di sana- sini sedang giat dijalankan. Sesampai saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau dan berada dalam teksi, supirnya sudah rancak bercerita tentang malapetaka itu dan dengan segera juga mencadangkan agar pelancong terus sahaja menginap di Bukit Tinggi kerana gegaran biasanya tidak sampai di Bukit Peranginan itu.

Perjalanan Bukit Tinggi dengan kereta sewa yang mengenakan tambang 300 rupiah pergi balik dan dikenakan caj menunggu untuk turun semula ke Kota Padang adalah mengikut jam. Panorama sawah padi luas terbentang dikelilingi bukit bukau dengan dihiasi bumbung tanduk kerbau begitu mempesona, aktiviti menternak ikan di kolam halaman rumah adalah pandangan biasa disamping aktiviti penduduknya mengerjakan pertanian, berniaga kecilan seperti menjuang jagung bakar, telur asin, barangan kraf dan pelbagai kerja am dengan bersemangat agar dapat memulihkan semula rumah kediaman yang retak, senget dan roboh di sepanjang jalan. Setelah dua jam setengah menghirup udara nyaman akhirnya sampailah ke destinasi, tempat pertama dituju adalah Lubang Jepun.
Melangkah masuk melalui 132 anak tangga iaitu hampir separuh anak tangga di Batu Caves. Menyusup masuk ke lubang yang dibina oleh buruh paksa dari pulau Jawa akan menerbitkan rasa kasihan membayangkan betapa sukar dan terseksanya pekerja yang membina lubang tikus beratus meter dibawah tanah hingga ada yang terkorban dan mayatnya dibuang melalui corong gelongsor hingga hanyut di sungai berdekatan.
Dalam menyusuri binaan manusia yang pernah dicadang sebagai 7 warisan dunia kita akan rasa kecewa dan sayang sedikit kerana kerja baik pulih telah mencacatkan keaslian hingga 70% binaan menyebabkan UNESCO menolak pencalonan warisan dunia dari Indonesia ini. Usaha pemuliharaan dan penyesuaian semula yang merosakkan keaslian ini juga terjadi pada batu kapal Malim Kundang di Pantai Manis, Padang.

Saya difahamkan pihak pemerintah mengalu- alukan kerjasama daripada pihak luar untuk memajukan pusat pelancongan ini terutama dalam menggerakkan ruang Amunisi (tayangan video) di dalam lubang bersejarah itu. Sungguh suatu kerja yang besar bagi yang sanggup memajukan kawasan pelancongan ini, namun cukup berbaloi  memajukan kawasan yang dingin, mempunyai ngarai umpama Grand Canyon di AS, hotel penginapan, kawasan pertanian, bazar membeli belah, struktur rumah tradisi yang menarik juga pelbagai tarikan lain, sekiranya benar pemerintah Indonesia mengalu- alukan kerjasama pengusaha dari Malaysia.. sungguh suatu kerja yang senang dan tidak memerlukan masa yang lama untuk mengalahkan Genting Hingland di Pahang.