Seni pertahanan diri orang Melayu sejak berzaman iaitu silat sememangnya tidak dapat dinafikan menjadi benteng menjaga maruah agama, kedaulatan raja dan kerajaan yang paling setia, kumpulan ini menjadi pilihan terakhir dan muncul bila dirasakan agama dan bangsa terancam, kebiasaannya pesilat akhirnya akan memberi jawapan untuk kemenangan mutlak atau tewas dengan bermaruah.
Sebut sahaja setiap pejuang bangsa Melayu bermula dari Hang Tuah lima bersaudara di zaman Melaka hinggalah kepada penjaga maruah seperti Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said Penghulu Naning, Mat kilau, Abdul Rahman Limbung hinggalah Mat Salleh di Sabah mereka semuanya adalah pengamal ilmu persilatan yang punya karamah dan keistimewaan tersirat.
Sebagai orang Melayu yang pernah bersama merasai kehidupan sebagai pesilat, kita percaya kumpulan ini mempunyai sifat kesabaran yang tinggi, boleh menguasai rahsia bawah sedar, tidak mempunyai agenda individu, tahu menjaga susila, tidak mudah melatah tetapi kumpulan underground ini menjadi sangat berani hingga rela bergadai nyawa sekiranya ia berkenaan dengan pencabulan kepada kesultanan melayu, agama dan Tanah air.
Dakwaan Mahaguru Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) Tan Sri Omardin Mauju yang sanggup berada di barisan hadapan bersama ahlinya walaupun kini berkerusi roda telah memperlihatkan semangat pesilat yang dibangkitkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH). BERSIH yang berkeras akan tetap membuat perhimpunan haram menyebabkan Mahaguru PSSLM beranggapan Datuk Ambiga Srinavasan sudah mencabar undang- undang Negara, mengancam negara raja berperlembagaan dan memusnahkan keharmonian orang Melayu. Ambiga telah menjadi pengacau bangsa Melayu, memecahkan perpaduan ditambah pula tindak- tanduk pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj yang terang terangan memperjuangkan Komunisme itu menyentak kemarahan yang jika tidak disekat akan menjatuhkan ke dalam sifat dayus bagi pesilat Melayu.
Timbul persoalan berasaskah apa yang dirasai oleh pemimpin silat yang mempunyai sejuta ahli di Malaysia itu.. sekiranya ia berasas kita bolehlah mengatakan bahawa bangsa Melayu sekali lagi berada di hujung perhitungan. Peristiwa raja Mendeliar mengkhianati empayar Melaka berulang kembali, tetapi perhitungan kali ini boleh menyebabkan pergaduhan yang bukan pergaduhan mempertahankan bangsa tetapi pergaduhan antara kerajaan majmuk diterajui oleh orang Melayu dengan kumpulan majmuk ultra-sekular yang ingin berkuasa dengan cara kekerasan.
Amaran pemimpin tertinggi PSSLM agar BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun pada 9 Julai mestilah di ambil perhatian kerana Mahaguru tersebut sudah terlanjur bersuara bahawa beliau akan menentang dengan kekerasan atas kepercayaannya bahawa BERSIH juga ditaja oleh tiga NGO dari luar Negara yang ada kaitan dengan dakwah Kristian.
Perlu juga diambil kira walaupun Tan Sri Omardin hanya bercakap mewakili PSSLM tetapi sebagai rumpun silat yang mempunyai pertalian erat sesama mereka, tidak keterlaluan pertubuhan silat lain seperti gayung juga akan ikut membantu atas nama bangsa yang disokong kuat oleh Pemuda UMNO dan Perkasa. Sekiranya ditakdirkan malapetaka pada hari tersebut seluruh penyokong BERSIH harus dipersalahkan kalau Askar Melayu terpaksa campur tangan.
Mungkin telahan dan amaran oleh berbagai pihak itu dirasakan keterlaluan, tetapi pemimpin politik pembangkang Melayu mestilah akur, bertindak bijak dengan menarik diri dari terlibat dengan perhimpunan tersebut mereka tetap diberi peluang yang adil dalam setiap pilihanraya. Mereka mesti menjadi parti yang lebih baik daripada UMNO untuk mendapat keredhaan Allah. Berpeganglah kepada kepercayaan dan redha sekiranya tewas dalam pilihanraya, setiap rakyat mesti taat kepada Ulil Amri yang sudah dipilih oleh Allah swt sebagai bayangannya di bumi ini.
No comments:
Post a Comment