Thursday, February 24, 2011

Raja segala singa Afrika terjerat..

Kolonel Muammar Al Gaddafi mendakwa dia adalah raja segala singa di Afrika, sentiasa  berkeyakinan untuk menyatukan seluruh benua itu sebagaimana terbentuknya Amerika Syarikat tetapi mutakhir ini segala harapan besar itu hampir lebur, pemimpin negara yang kental ini dijangka tidak akan bertahan lama di tampuk pemerintahan. Apa yang tidak kena dengan presiden Libya ini, selama ini dunia digambarkan pemimpin yang berkuasa 41 tahun  di Afrika utara ini amat kebal dan disayangi rakyat sebagaimana hebatnya Ayatullah khomeini di Iran. Libya adalah sebuah negara mempunyai rezab minyak terbesar di Afrika dan no 9 di dunia. Dengan mempunyai keupayaannya sendiri Libya dapat berdikari dan menyediakan peluang kerja kepada lebih 130,000 buruh kasar dari Bangladesh, Filipina, Thailand dan India biarpun negaranya dikenakan sekatan antarabangsa selepas penglibatan rakyatnya dalam peristiwa letupan pesawat Pan Am di ruang udara Lockerbie pada 1988 yang mengorbankan 259 di udara dan 11 orang di bumi. 
Bermula dari peristiwa di Scotland itu Libya sentiasa dicurigai oleh negara barat namun dipandang hebat oleh kebanyakan negara yang tidak sebulu dengan konco- konco Uncle Sam. Muammar Gadaffi berjaya membina Gaddafilia di negaranya, ia disenaraikan sebagai pemimpin Islam berpendirian teguh dan tidak mudah tunduk kepada kehendak antarabangsa, dia juga memiliki rakyat yang setia dan sanggup mati bersama- sama sebagaimana juga yang diperlihatkan oleh Saddam Hussin di Iraq. Muammar Gaddafi menjadi perhatian dan kebanggan rakyat Libya bukan sahaja kerana membawa 40 pengawal peribadi wanita muda perawan setiap kali ke luar negara, tetapi ucapannya boleh mengundang perhatian pemimpin- pemimpin besar dunia. 
Tetapi kali ini Muammaf Gaddafi bagaikan orang yang berbeza dia terpaksa diheret oleh rakyat atas semangat kejayaan jiran mereka Tunisia dan Mesir menurunkan pemimpin yang liat menyerahkan kuasa secara baik. Mungkin Muammar Gaddafi sendiri tidak menyangka betapa cepatnya kesetiaan rakyatnya berubah daripada seorang rakyat yang dipasung dan mengangguk setiap apa yang disuapkan oleh pidatonya boleh bertukar menjadi begitu berani membuat bantahan dan mencabar kekuasaanya. 
Satu kesilapan besar telah dilakukan oleh Muammar Gaddafi adalah merosakkan reputasinya sendiri apabila dia melawan kebangkitan rakyatnya dengan kekerasan, langkah menggunakan tentera untuk melawan protes bolehlah diumpamakan marahkan tikus rumah dibakar, Dalam keadaan menteri, diplomat dan pembesar negara mula menjauhi kepimpinannya Muammar Gaddafi mengarahkan serangan keatas negaranya sendiri menggunakan senjata berat dan Jet pejuang. 
Mungkin jawapan yang mudah kepada tindakan rakyat Libya ini adalah penyatuan pemikiran rakyat atau setmind kepada isu yang sama iaitu muak, jemu dan rimas dengan  ketua yang sama sejak lebih empat dekad, rakyat ingin merasa corak pentadbiran yang berbeza, disebabkan keinginan bersama itu ia telah mengatasi kewibawaan peribadi Muammar Gaddafi sendiri. Muammar Gaddafi tidak cukup untuk membendung kehendak rakyat di masa yang tepat, dia berada dalam keadaan yang tidak menyebelahinya sekiranya dia dapat mengatasi asakan yang teruk ini beliau akan mampu menjadi presiden sepanjang hidup.

No comments:

Post a Comment