Tuesday, June 28, 2011

Raja Mendeliar bersama BERSIH 2.0.. Pendekar Melayu bersilat.

Seni pertahanan diri orang Melayu sejak berzaman iaitu silat sememangnya tidak dapat dinafikan menjadi benteng menjaga maruah  agama, kedaulatan raja dan kerajaan yang paling setia, kumpulan ini menjadi pilihan terakhir dan muncul bila dirasakan agama dan bangsa terancam, kebiasaannya pesilat akhirnya akan memberi jawapan untuk kemenangan mutlak atau tewas dengan bermaruah.
Sebut sahaja setiap pejuang bangsa Melayu bermula dari Hang Tuah lima bersaudara di zaman Melaka hinggalah kepada penjaga maruah seperti Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said Penghulu Naning, Mat kilau, Abdul Rahman Limbung hinggalah Mat Salleh di Sabah mereka semuanya adalah pengamal ilmu persilatan yang punya karamah dan keistimewaan tersirat.
Sebagai orang Melayu yang pernah bersama merasai kehidupan sebagai pesilat, kita percaya kumpulan ini mempunyai sifat kesabaran yang tinggi, boleh menguasai rahsia bawah sedar, tidak mempunyai agenda individu, tahu menjaga susila, tidak mudah melatah tetapi kumpulan underground ini menjadi sangat berani hingga rela bergadai nyawa sekiranya ia berkenaan dengan pencabulan kepada kesultanan melayu, agama dan Tanah air.
Dakwaan Mahaguru Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) Tan Sri Omardin Mauju yang sanggup berada di barisan hadapan bersama ahlinya walaupun kini berkerusi roda telah memperlihatkan semangat pesilat yang dibangkitkan oleh  Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH). BERSIH yang berkeras akan tetap  membuat perhimpunan haram menyebabkan Mahaguru PSSLM beranggapan Datuk Ambiga Srinavasan sudah mencabar undang- undang Negara, mengancam negara raja berperlembagaan dan memusnahkan keharmonian orang Melayu. Ambiga telah menjadi pengacau bangsa Melayu, memecahkan perpaduan ditambah pula tindak- tanduk pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj yang terang terangan memperjuangkan Komunisme itu menyentak kemarahan yang jika tidak disekat akan menjatuhkan ke dalam sifat dayus bagi pesilat Melayu.
Timbul persoalan berasaskah apa yang dirasai oleh pemimpin silat yang mempunyai sejuta ahli di Malaysia itu.. sekiranya ia berasas kita bolehlah mengatakan bahawa bangsa Melayu sekali lagi berada di hujung perhitungan. Peristiwa raja Mendeliar mengkhianati empayar Melaka berulang kembali, tetapi perhitungan kali ini boleh menyebabkan pergaduhan yang bukan pergaduhan mempertahankan bangsa tetapi pergaduhan antara kerajaan majmuk diterajui oleh orang Melayu dengan kumpulan majmuk ultra-sekular yang ingin berkuasa dengan cara kekerasan.
Amaran pemimpin tertinggi PSSLM agar BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun pada 9 Julai mestilah di ambil perhatian kerana Mahaguru tersebut sudah terlanjur bersuara bahawa beliau akan menentang dengan kekerasan atas kepercayaannya bahawa BERSIH juga ditaja oleh tiga NGO dari luar Negara yang ada kaitan dengan dakwah Kristian.
Perlu juga diambil kira walaupun Tan Sri Omardin hanya bercakap mewakili PSSLM tetapi sebagai rumpun silat yang mempunyai pertalian erat sesama mereka, tidak keterlaluan pertubuhan silat lain seperti gayung juga akan ikut membantu atas nama bangsa yang disokong kuat oleh Pemuda UMNO dan Perkasa. Sekiranya ditakdirkan malapetaka pada hari tersebut seluruh penyokong BERSIH harus dipersalahkan kalau Askar Melayu terpaksa campur tangan.
Mungkin telahan dan amaran oleh berbagai pihak itu dirasakan keterlaluan, tetapi pemimpin politik pembangkang  Melayu mestilah akur, bertindak bijak dengan menarik diri dari terlibat dengan perhimpunan tersebut mereka tetap diberi peluang  yang adil dalam setiap pilihanraya. Mereka mesti menjadi parti yang lebih baik daripada UMNO untuk mendapat keredhaan Allah. Berpeganglah kepada kepercayaan dan redha sekiranya tewas dalam pilihanraya, setiap rakyat mesti taat kepada  Ulil Amri yang sudah dipilih oleh Allah swt sebagai bayangannya di bumi ini. 

Tuesday, June 21, 2011

Kerajaan Mesti Pecahkan Monopoli Astro

Tahniah kepada beberapa orang ahli parlimen BN terutama YB Sri Gading yang lantang meminta kerajaan mengambil langkah memecahkan monopoli Astro sebagaimana langkah yang dibuat kepada perkhidmatan telefon mudah alih yang impaknya akan menyebabkan pengendali berlumba- limba mengenakan langganan termurah untuk menarik pengguna. Astro sebagai stesen penyiaran berbayar tunggal negara mengenakan langganan minimun RM37.90 sebulan, saluran ini pula termasuk siaran percuma rangkaian Prima (rtm, tv3, tv7,tv9, radio..). Akhir -akhir ini pula pihak Astro akan meningkatkan Saluran HD menjadikan saluran biasa tidak lagi memuaskan yang secara halusnya menggalakkan pengguna beralih kepada HD dan dikenakan caj tambahan RM20.00 sebulan dan tambahan tax kerajaan sebanyak rm 3.48 lagi. Jika di campur semua caj- caj itu seseorang pelanggan Astro kena sediakan rm 61.45 untuk menerima siaran Astro yang memuaskan setiap bulan. Tidak hairanlah kenapa pengendali Astro melalui Binariang iaitu Ananda Krisnan muncul sebagai individu kedua terkaya di Malaysia dengan tidak perlu membayar cukai kerajaan sebanyak rm 3.48 setiap langganan kerana pengguna sudah membayar bagi pihak beliau.
Di negara kita pengguna Astro boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan. Pertama : Pelanggan yang mampu  mendapatkan saluran tambahan, kumpulan ini tidaklah mempersoalkan apa jua caj dan yuran bulanan yang di kenakan kerana mereka sentiasa mengejar kemodenan dan kepuasan, mereka ini tidak menghadapi masalah  kewangan, tidak perlu merungut tentang bayaran. Kedua : Kumpulan rakyat yang sederhana, mereka ini inginkan peningkatan diri dalam mencari ilmu dengan menonton rangkaian tertentu seperti saluran sukan atau berita yang tidak dapat didapati di saluran percuma, kumpulan ini adakalanya menghadapi masalah dalam membayar caj perkhidmatan dan kadangkala tertunggak hingga ada yang menamatkan perkhidmatan tetapi syarat denda bulanan sehingga setahun walaupun tidak menerima perkhidmatan adalah suatu yang membebankan kumpulan ini, Astro menekan dan bertindak seperti pihak bank yang sudah mengambil balik kemudahan tetapi peminjam masih perlu menjelaskan bayaran bulanan walau tidak dapat manfaat atas bayarannya. Pihak pengguna terbesar ini sentiasa dalam tekanan dan tidak puas hati. Ketiga :
Kumpulan yang terpaksa melanggan Astro kerana semata- mata saluran percuma tidak dapat menerima saluran memuaskan kecuali melalui Astro, kumpulan ini paling teraniaya, mereka ini sudahlah tidak dapat mengikuti saluran percuma yang memuaskan malahan semakin hari saluran percuma semakin terganggu. Mereka adalah kumpulan yang tinggal di pedalaman dan sempadan negara jiran. Bila mengingatkan kumpulan ini kita mengakui bahawa usul pemuda UMNO Gua Musang bahawa Astro sebenarnya bukan pilihan penduduk luar bandar tetapi mereka dipaksa melanggan untuk siaran yang lebih memuaskan.
Sesuatu yang pelik dan seperti sengaja di lakukan adalah walaupun negara semakin maju tetapi komunikasi semakin teruk, timbul juga persoalan dan kehairanan kepada kita kenapakan menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyerahkan dekoder Astro secara percuma kepada penduduk di Ranau Sabah untuk mendapatkan siaran dengan jelas tetapi yang dikatakan percuma itu pula adalah terhad untuk setahun sahaja. Satu pertanyaan yang barangkali tidak mahu dijawab adalah benarkah tuduhan bahawa kerajaan sengaja tidak meningkatkan keupayaan siaran komunikasi radio dan televisyen adalah disebabkan ingin pihak ASTRO terus memainkan peranan monopoli peniaran atas kepentingan bersama.

Sunday, June 19, 2011

Tiga.. lapar dan dahaga, Rela berpayahan setianya ayah....

Untuk mendapatkan sejarah bermulanya hari bapa yang serba lengkap anda bolehlah membaca artikelnya di blog ini
Ayah, Abah, Papa, Apa, Baba, Daddy, Father dan seumpamanya yang kita ketahui merujuk kepada lelaki yang berkongsi hidup bersama ibu, menjaga kita bersama adik- beradik sebagai anaknya adalah orang yang kedua perlu dihormati dan disayangi seiring dengan kasih- sayang seorang anak terhadap ibunya.
Bertuahlah seorang anak yang mempunyai seorang bapa yang bertanggungjawab, seorang bapa yang tidak menyakiti  ibu sianak, seorang bapa yang bekerja keras untuk keluarga, seorang bapa yang sentiasa ada bila keluarga menghadapi kesusahan, seorang bapa yang meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki dan paling manis adalah seorang bapa yang akhirnya menitis air mata bila melihat kejayaan anaknya.
Beruntungnya anak- anak dan keluarga mereka yang masih dapat menghadapi hari- hari bersama bapa yang masih sihat, boleh berbual bersama, saling membantu antara ayah dan anak dalam perkara berkaitan pekerjaan dan pelajaran, bapa yang mengamalkan cara hidup sihat  kebiasaannya diberikan kekuatan yang tidak akan membebankan anak mereka hingga ke akhir hayatnya.
Masih ada ruang dan peluang untuk seorang anak yang selama ini menghantar bapa ke rumah kebajikan, masih boleh diperbetulkan jika selama ini anak yang berjaya dalam hidup tinggal di mahligai indah dikota besar bersama isteri bergaya untuk pulang ke kampong dan memikirkan pula nasib ayah yang hanya dijaga oleh adik- beradik yang dulunya berkorban masa dan peluang semata- mata memberi keutamaan kepada kita dalam pelajaran.
Seandainya ada bapa yang masih lagi tidak meninggalkan tabiat yang memalukan, berfikirlah bahawa kita adalah bapa yang masih punya pertimbangan untuk memberi nafkah yang halal kepada anak- anak, kita tidak mahu menjadi seorang bapa yang menyumbang kepada statistik rompak.. cabul.. dadah dan seumpamanya.
Seorang bapa tetap menjadi kebangaan seorang anak selagi bapa menjaga keluarga dengan baik, menunjukkan teladan dan sempadan dalam hidup seperti senikata lagu Aris Ariwatan..
Tiga.. lapar dan dahaga, Rela berpayahan setianya ayah....
Ayah menghantar ke sekolah bergunalah ilmu bila dewasaa..
Sempena hari bapa ini, temuilah bapa kita.. bawalah bapa berjalan- jalan sambil berbual- bual. Lebih bermakna lagi jika dapat meluahkan penghargaan yang khusus kepada bapa ataupun belilah sehelai baju batik yang boleh membuat bapa rasa bangga bila dipakai ke pejabat atau berjumpa rakan di kedai kopi. Hargailah bapa sementara masih ada peluang kerana kita tidak  tahu adakah tahun depan kita akan sambut hari bapa sekali lagi..

Thursday, June 16, 2011

Datuk S. Ambiga mencucuk hidung atau kambing hitam pembangkang..

Sekali lagi kita masih perkatakan tentang demonstrasi aman Bersih yang dijadualkan pada 9 / 7 / 11 yang turut melibatkan penganjuran di Sabah dan Sarawak. Melihat pada kesungguhan penganjuran itu tahulah kita bahawa demonstrasi tersebut bukanlah kerana bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya tetapi terangan- terangan adalah untuk menyatakan kepada dunia bahawa kerajaan sekarang ditolak oleh rakyat yang tidak sanggup menunggu pilihanraya kali keseterusnya, rakyat mahu kerajaan ditukar melalui demonstrasi atau kekerasan. 
Penganjuran yang disokong sepenuhnya oleh parti pembangkang ini tidak perlu lagi kita beri pelbagai alasan kerana alasan yang tepat dan sebenar adalah PR sudah hilang keupayaan untuk menewaskan BN melalui sistem pilihanraya, mereka perlu berfikir dan mencari cara lain untuk menguasai Putrajaya. Rakyat mesti sedar bahawa Datuk S. Ambiga Sreenavasan  adalah peguam yang membela kehendak pembangkang ini, dialah yang menjadi dalang jika bukan kambing hitam.. tidak salah juga untuk mengesyaki bahawa mungkin kerana beliau berminat untuk mencari peluang dalam politik, tidak ada asas sama sekali bahawa penganjuran itu adalah untuk mencari kebenaran, kebenaran yang nyata adalah menggunakan rakyat dan ahli untuk pemimpin tertentu dalam Pakatan Rakyat.
Keyakinan Ambiga bahawa perhimpunan akan tetap diteruskan walaupun tidak mendapat kebenaran polis adalah sudah dijangka, tambahan pula perhimpunan yang ingin diadakan itu semestinya memasukkan satu daripada matlamat himpunan iaitu para pendemonstrasi perlu menetapkan agar ditangkap oleh polis untuk memberi gambaran bahawa kerajaan telah bertindak zalim. Satu matlamat sudah tercapai tinggal lagi terus memberi galakan agar penyokong tetap keluar pada hari tersebut.
Dari pengalaman Bersih 2007 kita berani untuk berkata bahawa sambutan juga tidak akan menepati sasaran walau nampak ramai, itulah yang berlaku pada demonstrasi pertama dahulu, biarpun digambarkan mendapat sambutan yang amat berjaya tetapi percayalah melalui gambar dan sudut kamera bilangan sedikit boleh nampak ramai hakikatnya hanya beberapa ribu sahaja yang berarak dijalanraya, terlalu jauh dari angka 100 ribu yang diperkatakan. Satu persoalan lagi yang perlu ditanya dan di jadikan ukuran adalah mengapa Anwar Ibrahim yang pernah mengumpul rakyat dijalanan selepas pemecatannya dulu pun tidak berjaya ? 
Usul bantahan perhimpunan bersih di Parlimen yang dibawa oleh konsesi bebas Zahrin Hashim ( YB Bebas Bayan Baru) yang ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar seharusnya membuka pemikiran AP Pembangkang bahawa walaupun TYDP Dewan itu juga wakil rakyat BN tetapi bila bertindak sebagai pengadil beliau berada ditengah dalam membuat keputusan mengikut pandangannya sendiri, pendirian ini wajar dipuji oleh pembangkang apabila mereka tidak dihalang oleh Dewan Rakyat.
Dengan itu kita berpendapat PR boleh teruskanlah hajat untuk Bersih 2.0 tetapi rakyat yang menyokong perlu menerima risiko kemerosotan pelancong asing, gangguan minat pelabur luar untuk beroperasi di negara ini, pertembungan dua pihak penyokong yang mungkin membawa kepada pergaduhan, demonstrasi lain yang akan diadakan oleh penyokong kerajaan dan berbagai tindakan rakyat hingga akan ada ke mahkamah. Atas pandangan ringkas ini kita menyeru rakyat menilai sendiri siapa yang layak dan ikhlas menjadi pemimpin rakyat. 

Wednesday, June 15, 2011

Jangan bekukan mentaliti rakyat dengan "negara kebajikan"


PAS ditubuhkan pada 1951 oleh Hj Ahmad Fuad bin Hassan setelah gagal memenangi Presiden UMNO di tangan Tungku Abdul Rahman. Ahmad Fuad yang mewakili sayap agama dalam UMNO waktu itu mempunyai azam yang lebih besar lantas membawa PAS dengan perjuangan yang terpisah dari UMNO iaitu menubuhkan negara Islam dengan mengikut perundangan Islam sepenuhnya. Walaupun akhirnya Ahmad Fuad meninggalkan PAS untuk bersama Onn Jaafar di dalam Parti Negara tetapi PAS tetap hidup dan bertambah subur dengan kesedaran keislaman dan cita- cita merealisasikan sebuah negara Islam.
Setelah mengalami berbagai keadaan dan pengalaman dalam 12 kali pilihanraya umum akhirnya presiden PAS kini iaitu Abdul Hadi Awang kembali merelisasikan apa yang diusaha dan dicita- citakan dulu oleh Mohd Asri Hj Muda yang akhirnya menyebabkan presiden PAS kontroversi itu tidak mendapat sokongan ahli parti dan akhirnya beliau terbuang dari arus kepimpinan PAS waktu itu.
Selepas tsunami 2008 yang tidak disangka oleh semua parti bertanding, akhirnya Hadi Awang terpaksa akur bahawa tagline negara Islam yang dipertahankan tidak lagi sesuai untuk PAS kini. PAS harus berubah kepada PAS untuk semua dan untuk menghadapi pilihanraya ke 13, PAS mestilah mencuri seberapa banyak undi demi mencapai matlamat menguasai kerajaan pusat.
PAS-DAP-PKR membuat pakatan, mereka yakin pilihanya ke seterusnya menjadi noktah akhir untuk Barisan Nasional menjadi memimpin negara. PAS sudah mula berfikir dan mencari kesempatan untuk meraih  undi bukan sahaja Melayu tetapi PAS percaya kaum lain di Malaysia akan memberi sokongan jika kena pada tawaran dan memberi kelebihan kepada mereka melebihi apa yang disediakan oleh BN selama ini
Untuk menyertai Pakatan itu tanpa wasangka rakannya PAS mesti mencari sesuatu yang bukan sahaja tidak merugikan mereka tetapi juga boleh menarik sokongan semua penganut agama dan kaum yang pelbagai di Malaysia.
Sebelum kemenangan pemimpin baru PAS, Hadi Awang awal- awal lagi telah membuat ucapan perasmian dengan panjang lebar selama sejam setengah yang mana ucapan itu terang- terangan meghentam parti UMNO, Haji Hadi sudah menetapkan matlamat pilihanraya untuk PAS . Maka lahirlah slogan baru, slogan yang mengimbangi Malaysian Malaysia (DAP) Negara bebas dan adil sosialis-sekular (PKR) . PAS mengambil jalan tengah dengan mendakwa negara Islam tidak dinyatakan dalam Al Quran sebaliknya ciri- ciri negara Islam ada menyatakan sebuah negara yang memberi kebajikan kepada rakyatnya. Lantas tidak segan silu PAS mengistiharkan matlamat 'negara kebajikan' menggantikan cita- cita menubuhkan 'negara Islam' yang di perjuangkan sejak awal penubuhannya.
Tidak susah untuk memahami tujuan bernegara dan berpersekutuan, dimana - mana bahagian dunia yang menubuhkan sebuah negara sudah tentu inginkan kebaikan untuk rakyatnya, kerana itulah kebajikan mesti diberi kepada rakyat yang layak bahkan negara komunislah yang mempunyai cita- cita terbesar untuk memberi hak sama rata kepada rakyat, setiap kekayaan tidak boleh menjadi hak persendirian tetapi mesti diserahkan kepada negara untuk diagihkan sama rata kepada semua warganya termasuklah juga negara yang dikatakan sekular malahan negara keji Israel sekalipun berusaha untuk membuat kebajikan kepada rakyatnya itulah yang menjadi tugas utama seorang ketua negara ianya tidak perlu lagi di suarakan seolah rakyat malaysia tidak kenal dan belum merasai menerima kebajikan oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa apa yang baik itu sememangnya di tuntut oleh agama.. bukan sahaja oleh agama Islam malahan semua agama yang diamalkan di dunia menyeru kepada tolong menolong dan menjaga orang yang berada dibawah iulah yang didendangkan oleh PAS 'negara berkebajikan'.
Sekali lagi mentaliti rakyat Malaysia hendak dibekukan oleh PAS terutamanya orang Melayu Islam. sebelum memulakan usaha negara berkebajikan rasanya tidak salah jika kita dapat menilai negeri kebajikan yang di tadbir oleh Menteri Besar di Kedah, Kelantan dan beberapa bulan di Perak. Lima soalan sahaja yang perlu diajukan dan mencari penyelesaian jika PAS benar- benar tidak hipokrit dan meracau dalam perjuangannya.
i ) Selesaikan masalah bekalan air bersih yang berlarutan.
ii) Membina dan menjaga kebersihan masjid dan tempat awam.
iii)Menyediakan kemudahan jalanraya dan jalan kampung yang sempurna.
iv)menyediakan peluang kerja yang mencukupi
v)Meningkatkan sumbangan kerajaan negeri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang hanya dalam 15 peratus dari keseluruhan peruntukan oleh pusat kepada JKM sedangkan jabatan itu dikuasai 50-50 antara negeri dan pusat. 
Bagi majoriti rakyat yang tidak cenderung menjadi pemain parti tertentu mereka bukannya menerima seratus peratus apa yang disogokkan oleh Barisan Nasional tetapi mereka boleh memilih untuk menangguhkan kemenangan PAS atas langkah parti itu menukar konsep perjuangan untuk bersama Pakatan Rakyat tambahan pula sekiranya kepercayaan dan harapan rakyat yang diterjemahkan untuk lima negeri pada PRU 12 hanyalah janji kosong dan tidak mampu menjadi lebih baik daripada kerajaan yang sedia ada. 

Monday, June 13, 2011

Jangan Cemburukan 'BERSIH 2.0'

Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 ini yang dianjurkan oleh bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Srenavasan dan digembeleng kuat oleh Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu, tempat yang disediakan adalah Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor Jalan Kg Attap adalah perhimpunan yang benar- benar dirancang untuk meniru perhimpunan rakyat di negara Arab dan Afrika Utara. Teruja dengan kejayaan protes rakyat di negara tersebut membuatkan pihak pembangkang terikut- ikut dengan cara itu. Budaya orang kecewa ini sebenarnya bukanlah langkah yang betul untuk negara aman seperti Malaysia, tambahan pula jika dibandingkan dengan protes di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Bahrain juga Syria ternyata demonstrasi yang dianjurkan kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai bersih ini berbeza sama sekali dengan protes di negara padang pasir yang ingin dijadikan model. Ini kerana di Afrika Utara dan Tanah Arab kebangkitan rakyatnya adalah secara menyeluruh iaitu mahu menukar kerajaan yang diterajui oleh kerajaan yang tidak demokratik dan dikuasai oleh individu dalam masa yang terlalu lama. Walaupun Malaysia terus diperintah oleh Barisan Nasional tetapi Perdana Menteri Malaysia bukanlah orang yang sama tambahan lagi pemerintahan oleh BN adalah secara adil dan melalui pilihanraya, tiada sebab untuk parti pembangkang memilih jalan kekacauan hanya kerana kecewa setelah tidak berjaya memenangi majoriti undi pada setiap kali pilihanraya umum lantas mengilhamkan 'bersih' yang kononnya sebagai singkatan Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil. Mereka yang menganjurkan perhimpunan ini dilihat mengambil kesempatan diatas situasi negara Arab yang dulunya disanjung oleh PAS sebagai jalan pintas untuk menguasai PUTRAJAYA. 
Perhimpunan yang menyasarkan 300 ribu penyokong ini sudah berbulan diwawarkan dan menjadi button tag kepada penyokong mereka di dalam profil facebook, setiap hari mereka meniupkan seruan agar berdemonstrasi pada tarikh tersebut. Sungguhpun sentiasa menjadi sindiran,  tetapi mereka yang teruja dengan war- war perhimpunan tidak pula terfikir apakah perkataan 'bersih' itu benar- benar menepati cara protes jalanan yang boleh mengundang kekacauan tambahan pula pihak penganjur sendiri sebenarnya tidak dapat membersihkan diri mereka sendiri atas isu- isu yang lepas sama ada diri Ambiga ataupun Mat Sabu sendiri juga rata- rata yang akan menyertai perhimpunan bersih bukanlah kumpulan yang bersih daripada perlakuan yang melanggar perundangan negara dan tata susila rakyat seperti yang pernah ditunjukkan oleh HINDRAF.
Kepada penyokong kerajaan yang semakin gusar khasnya pemuda UMNO, PERKASA dan NGO pro- kerajaan mereka sebenarnya tidak perlu gelabah dan melenting dengan membuat berbagai ugutan dan jangkaan yang merisaukan. Mereka juga mpunyai peluang yang sama dan boleh berbuat demikian sekiranya benar- benar hendak menunjukkan kelebihan menghimpun penyokong masing- masing. Pemuda UMNO yang sentiasa disokong NGO seharusnya bertanya kepada diri sendiri tentang sejauh mana komitmen dan kejayaan mereka dalam penganjuran protes aman di pejabat kerajaan PR seperti perhimpunan gelombang merah di Kota Bharu baru- baru ini ataupun kumpulan ini sekadar ingin publisiti dan membodek pemimpin sedangkan mereka sebenarnya masih lemah dalam memimpin kumpulan anak muda yang benar- benar bersemangat. Sungguhpun PERKASA mungkin berupaya mengadakan perhimpunan yang besar tetapi mereka selalunya tergopoh gapah dan tidak merancang dalam waktu yang tepat yang mana gerakan mereka mestilah diberi masa yang mencukupi untuk membangkitkan semangat besar- besaran dari rakyat.
Sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa inginkan kesejahteraan rakyat, kita suka melihat sekiranya perhimpuana tersebut dikawal rapi, tidak perlu diharamkan terus tetpi rakyat harus bersama- sama memikirkan sejauh mana sambutan rakyat, sekiranya ia benar- benar suara rakyat maka bawalah suara itu ke peti undi PRU 13, dan sekiranya perhimpunan tersebut hanyalah sekadar pertemuan ahli parti dijalanan oleh mereka yang kecewa kita tak perlu ragu- ragu untuk memulau dan membirkan saja kumpulan itu dan berharap satu perhimpunan lagi oleh kumpulan berlawanan bolehlah mula digerakkan. Akhirnya jika kumpulan yang bernama bersih itu mengotorkan diri mereka dengan menganggu dan memusnahkan kemudahan awam rakyat Malaysia mestilah bijak dengan menghancurkan parti yang menyertai mereka juga dalam peti undi PRU 13.

Sunday, June 12, 2011

Musim kenduri melabuh tirai..

Setelah selesai musim nikah kahwin, anak menantu kembali semula ke bandar mencari rezeki meneruskan khidmat.. minggu ini selesailah satu babak kunjung mengunjung ke rumah kenalan dan jiran tetangga, lagu pengantin baru sudah semakin perlahan, anak- anak bersiap untuk kembali ke sekolah, ibu bapa sudah mencongak untung rugi kewangan selama dua minggu berada di kampung halaman.Emak, ibu, ayah, paklong, maklong, pak uda mak uda, mak cik, pak cik dan jiran terdekat sudah mula menyusun periuk belangga dan mencuci kawah gulai.. hilai tawa menantu beransur pergi, rumah ayah bonda kembali sepi semula..
Tahun depan mungkin anak menantu pulang medukung cucu comel dambaan nenek atau membawa perut yang membusung kiut dengan pipi tembam manja, tahun- tahun berikutnya akan bertambah besarlah keluarga, hanya satu pinta ayah bonda agar dijauhkan tuhan segala bencana yang mungkin menyebabkan anak pulang ke rumah orang tua berseorangan... janganlah runtuh rumah tangga yang penat diurus dan dikerja tiap hari.. berpenat lelah selama berbulan hanya untuk kerja sehari di hari persandingan..
Kepada yang baru berumah tangga, jika ada masa kerap- keraplah pulang berjumpa orang tua, tanpa mereka kenduri kita tidak semeriah seberkat ini... 

 Selamat pengantin baru. 

 Selamat berbahgia.
 Selamat ke anak cucu.
 Selamat sejahtera
Semoga berpanjangan. 
Semoga berkekalan.
Semoga satu tujuan.
Semoga aman.
Hidup mestilah rukun.
Sabar paling perlu..
Cinta setiap hari..
Senyum mesti selalu.
Oh oh oh oh..
       

Monday, June 6, 2011

Mat Sabu berjaya.. PAS dilema, UMNO tak untung..

Dalam suhu pemilihan PAS pusat yang masih terasa, banyak suara positif dan negatif atas kemenangan Mohamad Sabu merebut kerusi Timbalan Presiden PAS. Pemilihan tersebut juga menabalkan semua naib presiden adalah golongan profesional dan kita dengan yakin mengatakan sekiranya jawatan Presiden juga dipertaruhkan sudah tentu Hj Hadi juga tersungkur seperti nasib ulama yang menjadi timbalannya, kini Presiden parti sudah tersepit dan berseorangan, setiap tindakannya tidak lagi berfungsi jika tidak mendapat persetujuan timbalan dan naib presiden parti. jadilah beliau hanya presiden simbolik sahaja. Itulah kuasa pemilihan.. 
Sebenarnya kepimpinan kumpulan ulama masih menjadi pilihan oleh perwakilan muktamar PAS 2011 yang lalu tetapi itulah yang dinamakan korban demokrasi, undi kem ulama adalah masih besar jika dicampur undi Nasaruddin (224) dan Tuan Ibrahim (399) menjadi 623 undi sedangkan undi Mohamad Sabu yang dikatakan kumpulan profesional adalah sebanyak 420 sahaja dan mengikut sifir mudah Mohamad Sabu memenangi dengan majoriti 21 undi mengatasi undi Tuan Ibrahim, bermakna tidak cukup untuk mengakui bahawa kumpulan profesional menjadi pilihan perwakilan PAS tetapi sebaliknya kumpulan ulama akan menang sekiranya hanya seorang yang menawarkan diri untuk jawatan tersebut dan calon yang terbaik adalah Tuan Ibrahim, itulah yang harus diterima oleh kumpulan ulama seperti situasi yang dikatakan dua ekor gajah beradu bermakna pelanduk yang untung. 
Jika diterjemah pula kedalam lingkungan dua parti politik Melayu yang sentiasa bertembung iaitu PAS dan UMNO, tidak susah untuk menggambarkan situasi yang sama akan terjadi sekiranya PAS dan UMNO memiliki kekuatan yang hampir sama, berkemungkinan besar parti ketiga akan mendapat kelebihan, parti ketiga adalah parti yang bertanding atas lambang bendera masing- masing iaitu PKR atau DAP dan bukannya komponen BN, hasilnya PAS dan UMNO akan berputih mata kerana kekuatan sendiri.
Berbalik kepada kemenangan Mohamad Sabu, PAS sebenarnya dalam proses mengabaikan penyokong tradisi, penyokong tradisi berkemungkinan akan meninggalkan perjuangan PAS untuk sementara waktu, mereka tidak akan menyertai PKR tetapi mereka akan menyokong UMNO dalam pilihanraya atau sekiranya mereka adalah penyokong tradisi yang berpegang kepada perjuangan PAS yang asal, mereka tidak akan teragak- agak untuk memulaukan pilihanraya. 
Di satu sisi lain pula kemenangan Mohamad Sabu akan menarik sokongan pengundi Melayu atas pagar dan penyokong UMNO yang merajuk, juga boleh menarik minat penyokong PKR yang keluar parti untuk terus bersama Pakatan Rakyat tetapi menyertai parti PAS.
Dalam dua keadaan tersebut seharusnya UMNO mesti merasai bahawa mereka mempunyai peratus yang kurang dalam peluang menarik penyokong atas kesan kemenangan Mohamad Sabu. UMNO mesti membina kekuatan yang lain.. kekuatan yang tidak memerlukan sokongan kerana kepimpinan dan dasar parti sahaja. UMNO mesti menggerakkan satu tarikan yang menyeluruh yang akan menambat hati bukan sahaja menyokong UMNO tetapi tetap memilih BN walaupun tidak tertarik dengan UMNO tegasnya komponen BN perlu mengambil kesempatan mendapat sokongan pengundi atas pagar dan bekas penyokong PKR dan DAP yang keluar parti, mereka tidak boleh bersikap melihat UMNO lemah tetapi tidak berusaha menguatkan BN kerana sikap itu bukan semangat setiakawan yang sebenarnya.
Bagi parti PAS pula mereka juga layak berasa gusar kerana tunjang perjuangan berasaskan slogan 'Bersama Kepimpinan Ulamak' tidak lagi tepat, PAS sudah berubah kepada PAS yang baru iaitu 'PAS Untuk Semua'. Ahli PAS yang benar- benar ingin berjuang atas dasar dakwah tidak perlu ragu- ragu lagi untuk meninggalkan perjuangan bersama parti itu, mereka usahlah mengharap pengaruh dewan ulama dalam PAS kerana dewan itu tidak dapat menyumbang kepada keputusan parti pun... sekiranya niat mereka benar- benar ikhlas untuk berdakwah dan bukan kerana nama politik, golongan serpihan ini mesti memilih menyertai YADIM bersama bekas pemimpin mereka Nakhaie Ahmad atau bersama kumpulan tabligh yang bergerak bebas tanpa halangan di seluruh negara malah melangkau ke seluruh dunia, kumpulan ini boleh ditemui di masjid Sri Petaling atau jika ahli yang meninggalkan PAS berada di Kelantan mereka bolehlah ke Kg Dusun Raja pada setiap malam jumaat.
Seluruh kepimpinan dan ahli PAS mesti memikirkan semula sokongan mereka kepada parti, mereka sudah berada di simpang tiga perjuangan, parti mereka terpaksa menempuh salah satu jalan sama ada;

(1) Benar benar menjadi parti politik tanpa mencampur aduk dengan agama dan bangsa seperti GERAKAN.
(2) Menyaingi dan cuba mengambil alih cara politik UMNO dan seterusnya menggantikan UMNO 
(3) Menjadi parti yang merudum dan tidak bermaya kerana kehilangan ahli sebagaimana PKR

Friday, June 3, 2011

Perwakilan Muktamar PAS mesti memilih...

Dalam menghadapi pemilihan Jawatankuasa PAS pusat 2011, kita tidak kedengaran atau membaca tulisan ahli- ahli PAS memperkatakan calon pilihan mereka. Tidak tahulah sama ada mereka yang begitu ghairah menempelak pemimpin BN khasnya UMNO di facebook dan blog benar- benar memahami organisasi PAS atau mereka bukan ahli PAS, boleh jadi mereka tidak dikalangan perwakilan yang terlibat dengan pemilihan, ada juga yang menegaskan bahawa mereka adalah penyokong parti yang tidak punya idea kerana hanya menunggu sahaja walau sesiapa pun pemimpin mereka asalkan berjuang dalam parti PAS mereka akan akur dan tak kurang juga yang berani mengatakan bahawa penyokong PAS malu untuk memperkatakan pasal pemilihan pemimpin kerana selama ini mereka begitu kuat mempersendakan pemilihan dalam parti UMNO.
Dalam memperjuangkan parti masing- masing memang diakui ramai yang mengambil langkah membisu tetapi sebagai penulis blog yang sebolehnya ingin berkongsi realiti kita tidak perlu terus diam sekiranya diam itu akan merosakkan masa depan parti. Pada kali ini kita menyeru agar penyokong PAS tetapkan pendirian dan pilihlah pemimpin yang dapat melawan UMNO dalam suasana perang politik dan bukan berlawan atas dasar kepartian semata. Pilihlah pemimpin PAS yang boleh membangkang untuk rakyat bukan untuk parti sahaja dan bersatulah kepada hal- hal yang menguntungkan semua tetapi jangan sampai merugikan parti sendiri. Kita percaya PAS boleh menjadi parti pengimbang yang baik tanpa perlu bergabung dengan mana- mana parti buat masa ini. Kita percaya kemerosotan sokongan kepada PAS sekarang ini bukanlah kerana kelemahan PAS tetapi kerana parti gabungan yang merosakkan pandangan rakyat kepada PAS. PAS perlu kembali kepada landasan yang sebenar iaitu landasan yang pernah menobatkan PAS menjadi ketua pembangkang. Sebenarnya orang Melayu tidak terancam sekiranya PAS memperolehi kerusi pembangkang mengatasi PKR dan DAP.
Dalam ucapan YB Nasaruddin Mat Isa yang merasmikan muktamar Dewan Pemuda kita tertarik dengan ucapannya yang cuba menelan pahit dan hipokrit dengan menegaskan bahawa PAS tetap dengan perjuangan asal.. barangkali beliau masih percaya kepada perjuangan asal PAS dan merayu agar semua penyokong PAS kembali kepada matlamat asal dan memberi sokongan sepenuhnya kepada kem ulamak yang sedang tergugat, beliau tidak senang dengan apa yang disebut puak Erdogan atau yang menerima pengaruh Anwar.. Sekiranya perwakilan PAS masih takut untuk berterus terang eloklah sekiranya mereka memilih YB Nasaruddin Mat Isa terus memegang jawatan Timbalan Presiden sekiranya ingin melihat beliau terus menjadi YB walaupun mungkin beliau tidak direstui untuk terus bertanding di Bachok, Perwakilan juga dapat melihat Husam Musa dihantar ke Parlimen sekiranya menang Naib Presiden, Perwakilan yang bijak sudah tentu boleh mengekalkan Salahuddin Ayub disamping memberi peluang seterusnya kepada Mahfuz Omar, Sekiranya perwakilan boleh berfikir mereka tentunya merasa hairan kenapa Idris Ahmad tidak memanfaatkan kedudukannya yang tak kurang penting sebagai Penerangan sebaliknya ingin di jawatan Naib Presiden, mungkin Hj Hadi ada jawapannya, peluang Nik Amar pula menampakkan sikap tidak sehaluan dengan Husam Musa yang boleh disifatkan perlawanan untuk menunjukkan pengaruh mereka kepada PAS Kelantan dan calon paling berpotensi akan menyusahkan kepimpinan PAS adalah Nizar Jamaluddin yang bermatlamat besar tetapi kurang sifat menghormati kawan dan lawan.
Apa pun yang perlu ditegaskan adalah satu keadaan yang senang untuk dilobi sekiranya ada calon yang benar- benar bernafsu kerana perwakilan PAS seramai lebih kurang 1600 orang sahaja berbanding dengan parti UMNO yang perwakilannya kini hampir mustahil dapat dilobi dengan senang kerana jumlahnya yang amat besar.