Tuesday, April 12, 2011

Musim durian datang lagi..

Digelar raja buah.. durian memang layak mendapat gelaran sebegitu, sejenis buah tropika yang besar, aroma yang tidak dapat diselindung, isi yang kebiasaannya kuning raja, dan mempunyai duri yang tajam. durian juga sering diungkapkan dalam 'umpama mentimun dengan durian' digelek hancur mengelek kalah.. 
Di kampung- kampung terutama negeri Perak buah durian menjadi pendapatan tetap setiap tahun kepada tuan punya kebun durian. Buah durian amat murah jika musim buah menjadi dan berlambak di pasaran tetapi harga melambung hingga puluhan ringgit per kilo sekiranya buah berkurang. Antara tempat yang menjadi sebutan sebagai lokasi  durian kampung yang popular adalah Batu Kurau, Perak.
Musim durian menjadi alasan kepada ibu- bapa untuk memujuk anak cucu pulang ke kampung, musim durian menyaksikan tanah kebun dibersihkan, tupai kera dan lotong dihalau, ceruk hutan kebun menjadi rumah kedua kepada tuan punya dusun dan anak- anak sungai berhampiran dikunjungi anak cucu untuk bermain dan menangguk anak ikan sementara menunggu buah durian gugur.
Dengan usia pokok durian yang boleh mencapai umur 100 tahun, dapatlah kita imbau kembali dan sedekahkan al- fatihah kepada datuk nenek dahulu yang membuat bakti bercucuk tanam untuk anak cucu. Berpegang kepada harta peninggalan untuk generasi akan datang, moyang kita dahulu memang menyedari bahawa menanam pokok durian adalah kerja yang tidak dapat dikutip hasil dalam jangka pendek tetapi kerana wawasan merekalah kita dapat menikmati keenakan buah durian sebagaimana mereka juga menuai hasil disebabkan kerajinan orang yang terdahulu. Kelangsungan jasa bakti itulah yang akhirnya dapat kepada kita hari ini. 
Disamping mengziarahi orang tua dan membantu menebas semak dan belukar di pangkal pokok durian ada baiknya kita turut menanam sepohon dua anak durian dan lebih manisnya kalau anak- anak juga ada bersama disamping boleh menyemai kenangan itu apabila ia mengeluarkan hasil dapatlah juga kita mengumpul pahala yang berterusan selagi pokok itu memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Penangan durian bukan sahaja dapat mempereratkan ikatan kekeluargaan tetapi ada juga yang bergaduh dan tidak bertegur sesama saudara hanya kerana berebutkan hasi pokok durian tinggalan orang tua. Biarpun durian boleh didapati dalam pelbagai produk seperti kek. biskut mahupun dibungkus cantik sebagaimana yang dijadikan buah tangan kepada pelawat ke Bengkalis, Riau.. tetapi durian kampung terasa amat sedap jika ia dikutip sendiri di dusun dan menikmati dengan percuma ketika tangkai dikatakan orang masih panas. bagi yang alah kepada kandungan isi durian sebaiknya orang yang ada simpton kencing manis, darah tinggi juga jantung, haruslah menghadkan pengambilan buah durian disamping mengamalkan petua minum air yang dituang ke kulit durian untuk menghilangkan 'mabuk durian'.
Musim durian juga kebiasaannya serentak dengan buah- buahan lain seperti manggis, langsat, dokong dan rambutan menyebabkan lambakan buah akan berlaku, ada yang jatuh dan busuk di bawah pokok hendak dijual harga terlalu murah dan hendak dimakan anak cucu dah mengalah. molek juga dikesempatan itu anak menantu mencuba resepi asli untuk mengawet buah- buahan sama ada dijadikan jem atau lempuk, sudah tentu buah tangan dari kampung itu dapat mengukir senyum rakan sepejabat atau bos yang merungut kerana ada kerja yang tertangguh akibat kita yang pulang ke kampung menyahut lambaian desa..

1 comment:

  1. wohaaaa.. nak durian!
    masih tercari-cari lagi nih..

    *merindui durian kat kampung gajah perak! hahha

    ReplyDelete