Wednesday, August 17, 2011

Inspirasi dari Yaman..

Mendapat berita bahawa Presiden Ali Abdullah Salleh akan kembali ke Yaman membuatkan kita tak dapat menjangka adakah keadaan negara Yaman akan lebih bergolak atau Presiden yang baru mendapat rawatan di Arab Saudi itu akan berjaya mengawal semula desakan oleh rakyat agar beliau melepaskan jawatan. 
Mungkin pada saya apa- apa sahaja yang berkaitan dengan 'Yaman' cepat membuat saya tertarik bukan sahaja ia ada kaitan dengan nama saya tetapi juga wilayah selatan tanah Arab itu mempunyai banyak kesan -kesan tamadun manusia yang dikagumi. Selain daripada kemashyuran ratu Balqis di Saba, Yaman juga mempunyai kisah yang lebih awal daripada itu, iaitu kisah kaum Ad' yang banyak diceritakan oleh Al-Quran antaranya di dalam Surah Hud dan juga Surah As Syuara.
Apa yang menjadi kekaguman pada kaum yang dilenyapkan oleh Allah itu adalah pembinaan yang digelar Atlantis padang pasir atau apa yang dikenali oleh barat sebagai bandar Uber manakala di dalam Al Quran ia dipanggil Iram. Penemuan bandar yang selama ini hanya menjadi cerita mulut kaum Badwi menjadi kenyataan atas usaha arkeologi amatur bernama Nicholas Clapp yang mendapat ilham daripada usaha awal Felix melalui tulisannya dalam buku Arabian Felix iaitu kisah yang dikumpul daripada cerita lisan kaum Badwi yang mendiami padang pasir. Bandar yang pada mulanya dianggap kisah dongeng akhirnya mencelik mata dunia bahawa kebenaran Al Quran adalah nyata apabila satelit NASA telah berjaya mengesan laluan lama ke bandar kaum Ad' dan usaha penggalian sedalam 12 meter di padang pasir menemukan menara- menara tinggi dan bangunan- bangunan dengan senibina unik berpadanan dengan apa yang diceritakan di dalam Al Quran.
Di dalam Surah Al Haqqah kaum Ad dikatakan dimusnahkan oleh ribut pasir selama tujuh malam lapan hari, ribut pasir yang didatangkan akibat keingkaran seruan nabi Hud a.s kepada kaumnya itu telah merubah secara total bandar Iram daripada sebuah wilayah yang subur dengan empangan, tali air, ladang yang luas dan kediaman menjadi padang pasir yang menguburkan seluruh penduduk dan kisah kaumnya di dalam bumi bersama keangkuhan selama beribu tahun tanpa terusik.
Didalam kisah- kisah pemusnahan kaum, Al Quran sentiasa menyatakan punca kehancuran mereka adalah akibat mengingkari seruan utusan Allah swt yang mengajak kepada kebaikan dan menyembah Allah swt . Begitu juga seruan nabi Hud as kepada kaumnya yang juga bersikap kejam dan zalim dalam kehidupan mereka walaupun pelbagai nikmat kemewahan yang Allah swt anugerahkan sebagaimana diceritakan juga oleh penulis- penulis klasik Yunani seperti Pliny dan Strabo yang menggambarkan penduduk Uber mempunyai keupayaan membina bangunan dan kuil yang cantik mereka turut menghiasi Istana- Istana dengan perhiasan yang mewah dan cantik. 
Catatan Yunani juga mengakui bahawa penduduk Uber adalah penduduk yang paling kaya di dunia. Kekayaan penduduknya adalah kerana kejayaan mereka menanam pokok narwastu yang paling berharga waktu itu. Pokok narwastu iaitu mungkin sejenis pokok gaharu yang terbaik menjadi tanaman yang meluas dan dikatakan penanamannya adalah lebih banyak daripada yang ada pada hari ini.
Seperti juga Iraq saya sentiasa mengharapkan tamadun- tamadun bumi Anbia akan bangkit kembali sebagaimana di zaman silam yang mana ketika itu Amerika Syarikat tidak wujud dan tiada penghuni, Eropah pula suatu tempat asing yang gelap dengan kehidupan seperti haiwan tetapi di Jazirah Arab bangsanya telah maju dan dalam sesetengah pencapaian ia lebih maju daripada kita hari ini. Tetapi mengulangi masalah yang berterusan dari zaman ke zaman iaitu kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab kepada rakyat antara halangan bangsa Arab. 

No comments:

Post a Comment