Hari Ibu yang disambut di negara seluruh dunia adalah berbeza dan berubah- ubah pada setiap tahun. Bagi negara kita Malaysia, hari ibu disambut pada hari ahad minggu kedua dalam bulan Mei.. pada tahun ini hari ibu jatuh pada tarikh 8 Mei 2011.
Betapa tingginya status seorang ibu hinggakan dalam agama Islam taraf seorang anak itu serendah tapak kaki para ibu, taraf tinggi seorang ibu yang bersabung nyawa mengandung dan melahirkan anak adalah umpama nyawa dihujung tanduk, biarpun selepas bersalin, sang anak diabai dan diserah kepada penjagaan orang lain namun syurga anak itu masih dibawah kaki seorang ibu.
Berita tentang anak derhaka, mengugut mencedera dan melukakan hati seorang ibu tidak dapat diterima oleh mereka yang menganggap diri mereka manusia. Banyak kisah tentang bencana yang ditimpakan kepada manusia angkara airmata seorang ibu, kisah Si Tanggang dan Batu belah batu bertangkup adalah contoh mitos yang menyanjung tinggi kedudukan seorang ibu.
Bertuahnya seorang anak yang berpeluang merasai dan membesar dengan kasih seorang ibu, seorang ibu berupaya merangkap tugas seorang bapa tetapi amat payah untuk mendapat seorang bapa yang menjadi ibu kepada anaknya. sebagai seorang anak yang tidak diuji Allah untuk menjadi yatim atau terasing dari belaian seorang ibu, hargailah dan bersyukurlah dengan anugerah tuhan yang amat besar itu.. berbakti dan jagalah hati mereka sebelum kita hanya meratap di batu nesan mereka.
Hari ini ramai ibu yang berjaya membesar dan menghantar anak ke menara gading hingga menjawat jawatan yang disegani tetapi amat sedikit seorang anak yang telah berjaya yang sanggup korbankan sedikit masa mereka untuk bersama ibu di kampung, seorang ibu yang telah tua dan nyanyuk sebolehnya ingin disembunyikan di kampung apa lagi jika ibu tua itu tidak mempunyai harta untuk diwariskan. Anak menantu boleh menjadi penawar dan racun kepada si ibu, ada isteri atau suami yang berjaya mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak tetapi tidak kurang juga ada menantu yang memupuk rasa jijik anak kepada ibunya.
Lupakan tentang kerenah ibu yang dirasakan tidak adil kepada anak- anak, usahlah merajuk hingga tidak menjenguk ibu yang sebatang kara, janganlah jadi sombong dengan membiarkan adik - beradik yang tidak berkerjaya yang kita perlekeh untuk mengasuh ibu tua sementalah mereka ada di kampung.
Lihatlah wajah anak kita yang comel dan bayangkan jika kita telah tua anak yang kita tatang itu suatu hari nanti akan menghantar kita ke rumah orang tua atau membiarkan kita terbiar kesunyian sedangkan anak yang kita banggakan sibuk di luar negara atau tiada masa bermesra bersama kita. Orang tua pernah berkata seorang ibu dapat membesar dan menjaga sepuluh orang anaknya tetapi sepuluh orang anaknya belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Sebagai meresapi rasa sayang kepada ibu kita dengarkan lagu menusuk kalbu nyanyian lagenda P.Ramlee dan hayati seni kata lagu http://www.youtube.com/watch?v=uAKDGL1Go48 ini.
Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu
Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu
Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyniari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu
Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu
No comments:
Post a Comment