Hari ini saya menerima sms daripada rakan lama yang menegur sikap saya kerana tidak mengucapkan selamat hari guru kepadanya. Untuk menutup kelemahan itu saya beri alasan tidak 'wish' kerana dia tidak lagi menjadi guru walaupun masih berkhidmat di Kementerian yang sama. Tetapi jawapan yang menyentuh hati pula yang dibalas oleh kawan baik saya itu yang berbunyi "Aku ni kalau dah meninggal pun orang tetap panggil cikgu.." saya jadi terkelu dan terkedu sebentar, sebenarnya saya jenis orang yang tidak pedulikan tarikh- tarikh untuk diraikan dan saya mengakui bahawa hari jadi anak saya dan saya sendiri pun selalu terlepas jika tidak diingatkan oleh orang lain. mungkin ini adalah kesan daripada budaya keluarga saya yang tidak pernah meraikan hari- hari istimewa kecuali hari- hari perayaan dan hari penting yang berkait dengan amalan agama sahaja.
Begitu kuat dan besarnya pengaruh seorang guru dalam masyarakat, hampir tidak ada seorang pun rakyat di negara kita yang terlepas dari sentuhan jasa seorang guru. Pencetus kemerdekaan tanah air dan parti kebangaan orang melayu juga adalah diilhamkan oleh mereka yang bergelar guru. Penghulu, imam masjid dan individu yang disegani oleh masyarakat sebahagian besarnya adalah mereka yang lahir daripada profesion perguruan, anak kecil dan remaja lebih patuh dan menghormati teguran dan kata- kata oleh guru daripada ibu- bapa sendiri biarpun ibu bapa mereka juga seorang guru. Pelajar dan murid sekolah ramai yang menangis dan menitis air mata apabila diadakan majlis perpisahan guru tetapi mereka sukar untuk berasa sedih jika berpisah dengan rakan -rakan untuk ke sekolah lain. Seorang guru yang baik juga boleh menumpukan pengajaran dan kelas tambahan kepada murid mereka daripada menghadiri majlis bersama komuniti atau persatuan.
Dalam sekian banyak jasa guru itu, mungkin masyarakat sudah tidak memikirkan semangat tulen seorang guru di era sebelum ini. Hari ini kerjaya sebagai guru tidak lagi kerana ingin berbakti. Seorang graduan yang tidak berjaya dalam disiplin ilmu yang diidamkan akan patah semangat dan beralih kepada KPLI, seorang anak muda yang terdesak untuk mendapat pekerjaan akan memohon untuk menjadi seorang guru walaupun itu bukanlah kehendak sebenar. Keluarga yang memandang pekerjaan makan gaji tidak ragu- ragu menyuruh si anak mengisi borang menjadi guru kerana tidak rela melihat anaknya bertungkus lumus bekerja sendiri atau tangan anaknya menjadi kotor dalam mengasah bakat menjadi seorang tauke. Pendek kata kerjaya sebagai guru menyediakan ruang- ruang yang besar untuk mendapat kerja hingga menjadi ancaman kepada kerjaya yang mulia itu.
Mungkin hari ini sudah ramai ibu- bapa yang tidak- segan silu menjadi lawan dan bermusuh dengan guru jika anak mereka mengadu akan hal- hal yang dia sendiri tidak buat kepada anaknya, ibu bapa seperti saya akan cepat naik darah sekiranya diadukan kekasaran yang dilakukan oleh seorang guru kepada anaknya tetapi saya percaya tidak ramai ibu- bapa yang menyimpan kenangan manis seperti saya yang dapat rasa ditempeleng guru, berbilat badan dirotan guru, rambut gondol digunting guru hanya kerana dianggap bebal dalam kelas atau lawak mengalahkan badut, dan pengalaman nakal disekolah yang tidak diperolehi di rumah inilah yang membuat saya tak jadi nak serang guru di sekolah. Berapa keratkah lagi ibu bapa yang sanggup menyerah sepenuhnya asuhan anak mereka di bahu seorang guru tanpa campurtangan kecuali jika mendatangkan kecederaan atau mengancam keselamatan.
Pada pandangan saya yang tidak pernah menjadi seorang guru ini, kita suka sekali berkongsi sedikit tips kepada guru yang ingin menjadi guru yang baik dan memahami kehendak ibu bapa dan pelajar iaitu;
(1) Mengenali pemimpin setempat dan bergaul rapat dengan masyarakat tempat tinggal terutama tempat yang juga didiami oleh keluarga pelajarnya.
(2) Cuba memahami dan ambil tahu latar belakang dan kegiatan setiap murid dalam kelasnya. kalau boleh sentiasa semak tarikh hari lahir murid itu dan sekadar mengucapkan "Selamat hari jadi untuk.... " sudah cukup membuatkan murid rasa dihargai dan dekat di hati guru mereka.
Dan satu aktiviti penting yang dilihat sudah tidak menjadi perhatian para guru sedangkan aktiviti inilah yang menjadi medan mereka memartabatkan kalangan guru dan membina langskap pemerintahan negara.. iaitu mengikuti perkembangan politik dalam dan luar negara lebih mudah lagi sekiranya mereka bersama pihak kerajaan atas semangat membentuk dan membina apa yang baik dari dalam kerajaan, menambah baik apa yang sudah dibina oleh guru -guru terdahulu, jangan mencuba untuk memilih jalan sukar dengan menentang kerajaan kerana guru harus sedar bahawa sehingga hari ini merekalah sebenarnya yang memerintah negara.
No comments:
Post a Comment