Sunday, March 6, 2011

"Senjakala" telah tiada di N28 Kerdau..

Kalau tidak kerana pilihanraya kecil N28 Kerdau, tak mungkin kita menjejakkan kaki ke daerah yang begitu terkesan di hati setiap orang yang membaca Novel berjudul 'Senjakala' hasil dari penulis Baharuddin Kahar yang pernah memenangi hadiah karya sastera 1976, sayembara cerpen Esso-Gapena 1982 dan penerima "Zamalah Sastera"1985.
Ketika berada di Kg Batu Sawar berhampiran Gunung Senyum kita tertanya sendiri dimanakah ruang penceritaan 'Senjakala' yang kita kira satu tempat berkisar kisah kegigihan kinto, seorang pemburu tua yang turun berburu selama lebih seratus hari kerana ingin mendapatkan daging rusa untuk anak gadisnya Dasima yang sedang sakit. Dalam novel ini dilukiskan kecekalan hati seorang manusia yang tidak mahu menerima kekalahan, tentang harga diri dan kasih sayang. ia juga mencakup hubungan manusia dengan tuhannya, alam dan sesama manusia. Di atas segala- galanya tersimpan falsafah tentang proses pencarian diri, tentang kewujudan kita yang perlu menerima erti kekalahan bersandarkan kesedaran pada keagungan tuhan. Cinta yang patah dengan segala macam kompleksitinya, rendah diri seorang lelaki dengan rindu dan cintanya yang tak sampai. 
Kemanakah menghilangnya landskap perlukisan dalam novel itu, di manakah belantara luas  hingga menghampiri kota Gelanggi dan Jerantut, apa yang melegakan sedikit adalah pengisahannya juga dimasukkan tentang pembukaan tanah yang tak terhalang dan ia direalisasikan dengan terbentangnya tanah ladang kelapa sawit oleh FELDA, sedarlah kita bahawa lokasi novel 'Senjakala' tetap disitu, ianya menjadi rekod yang mungkin boleh dibuat rujukan oleh penduduk daerah Kuala Krau.
Dalam masa sesingkat berada di daerah antara paling pedalaman di Semenanjung ini, kita tertanya- tanya masih adakah binatang buruan seperti dalam novel indah itu... segalanya terjawab apabila seorang peneroka yang mengusahakan sawit menunjukkan gambar kancil dan pelanduk di skrin telefonnya yang baru ditembak cuma dia mengakui amat sukar untuk menemui rusa sebagaimana sukarnya perburuan oleh Kinto.
Barangkali novel Senjakala juga bolehlah membawa mesej kepada parti politik yang bertanding bahawa menang dan kalah adalah lumrah hidup... dan kekalahan lebih memeritkan bagi parti yang ego dan taksub untuk mendapat kemenangan... dihari terakhir kita dapat melihat Gunung Senyum yang di dalam novel adalah sentiasa berkabus dan tidak selalunya dapat dilihat dengan jelas tetapi kini di tepi jalanraya berhampiran stesyen minyak Petronas Gunung Senyum dapat dilihat oleh sesiapa sahaja dengan jelas sekali.... hingga ada rakan yang berkata gunung ini tidak senyum lagi tetapi lebih dilihat sedang ternganga atau meraung......

2 comments:

  1. Emm....novel Senjakala mmg best. Saya masih membacanya sekali sekala...wpun dah hampir 20 thn slps baca kali pertama ketika ambil subjek Kesusateraan Melayu utk SPM 1992...byk pengajaran yang diperolehi...Kita adalah hamba Allah yang patut syukur atas segala nikmat kuniaanNya.

    ReplyDelete
  2. Betul.. novel yang patut dibaca oleh tiap orang.

    ReplyDelete