Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Kali ini.. Mampukah kita bertangguh lagi

Bulan Ramadhan Al- Mubarak adalah bulan paling banyak keberkatan, kelebihan penghulu bulan ini adalah pada malam hari yang mana terdapat malam Lailatul qadar yang kelebihannya mengatasi seribu bulan yang bermakna lebih 83 tahun umur manusia hanya untuk menyamai satu malam yang teramat istimewa itu. Malam yang tersembunyi itu terdapat pada sepuluh malam terakhir yang dikatakan berada pada malam ganjil sama ada 21, 23, 25, 27, atau 29 tetapi malam 27 Ramadhan sangat diberi perhatian oleh orang yang memburu kelebihan yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada umat Rasulullah s.a.w. Selain daripada malam yang dirahsiakan itu, sepanjang bulan siang dan malam di bulan Ramadhan tidak kurang besar fadhilat dan ganjaran yang hanya Allah sahaja yang berhak memberi ganjaran kepada hambanya antaranya adalah kelebihan solat sunat tarawih pada setiap malam iaitu ;


Malam ke 1 – Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Malam ke 2 – Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa- dosa kedua ibu bapanya.
Malam ke 3 – Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malarnmalam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Malam ke 4 -Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam ke 5 – Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam ke 6 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
Malam ke 7 – Seoalah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
Malam ke 8 – Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam ke 9 – Allah S.W.T akan mengumiakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.
Malam ke 10 – Allah SWT mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Malam ke 11 – la meninggal dunia didalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Malam ke 12 – la akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
Malam ke 13 – la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
Malam ke 14 – Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
Malam ke 15 – Semua malaikat yang memikul Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam ke 16 – Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam ke 17 – Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam ke 18 – Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
Malam ke 19 – Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.
Malam ke 20 – Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Malam ke 21 – Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
Malam ke 22 – la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
Malam ke 23 – Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
Malam ke 24 – Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
Malam ke 25 – Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
Malam ke 26 – Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
Malam ke 27 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
Malam ke 28 – Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
Malam ke 29 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
Malam ke 30 – Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumiah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama Al-Kautsar.
Dengan perkongsian secebis daripada 1001 kelebihan yang maha banyak di bulan Ramadhan. Kita bersyukur  sebab kali ini Allah s.w.t. masih memberi peluang kepada kita untuk benafas dan merebut keistimewaan Ramadhan, semoga saya dan saudara seIslam seluruh dunia tidak bertangguh lagi kerana Ramadhan tahun hadapan belum tentu akan kita bertemu lagi.

Monday, July 25, 2011

Tragedi Oslo dan rekod kita..

Media tempatan Norway menamakan pelaku yang dikatakan menyebabkan malapetaka dahsyat di Oslo sebagai Anders Behring Breivik 32 tahun. Lelaki yang dikatakan ingin melancarkan revolusi di negara itu yang juga mengakui sebagai seorang anti- Islam melepaskan tembakan selama 30 minit membunuh 85 orang belia yang menyertai perkhemahan anjuran Parti Buruh manakala bom yang diletupkannya di depan pejabat perdana menteri pula membunuh 7 orang dan menyebabkan kerosakan yang teruk dengan menyaksikan dokumen serta perkakas pejabat Perdana Menteri Jens Stoltenberg bertaburan di jalan raya. Tindakan nekad dan terancang oleh penyerang solo itu melegakan masyarakat Islam seluruh dunia yang kemungkinan akan dikaitkan dengan pelampau Islam sekiranya tangkapan suspek melibatkan penganut Islam. Tragedi yang mengejutkan dunia itu juga menyebabkan Norway yang selama ini terkenal dengan negara paling aman dan dipilih sebagai negara mendapat undian tinggi sebagai tempat untuk didiamai di dunia merosot teruk.
Malaysia pula telah melonjak ke tangga 19 dalam Indeks Keamanan Global 2011, laporan yang dikeluarkan oleh sebuah badan antarabangsa berpangkalan di Sydney, Australia itu pada tahun 2007 Malaysia di senaraikan di tangga ke 37 manakala pada 2008 di tangga ke 38. Pengiktirafan yang tidak begitu digemari oleh pengacau negara juga mengakui Malaysia sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-4 di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Matlamat Malaysia untuk berada bersama 10 negara paling selamat dalam tempoh beberapa tahun lagi dijangka akan menjadi kenyataan dengan sokongan dan kerjasama semua rakyat.
Usaha untuk mejadi negara aman untuk didiami dan tumpuan pengunjung banyak terletak kepada kejayaan pasukan polis membanteras jenayah dan kekacauan. Pihak berkuasa tempatan, rukun tetangga juga peranan belia adalah antara pihak yang paling besar mempengaruhi statistik keamanan negara,  tetapi kunci kepada keseluruhan kejayaan mutlak adalah politik dan parti politik di Malaysia. Tangga ke 19 daripada 158 buah negara di dunia mungkin berubah lebih baik sekiranya peristiwa di Norway di ambil kira, kemungkinan juga Malaysia boleh jatuh ke tangga sedikit ke bawah jika perhimpunan yang melumpuhkan Kuala Lumpur mempengaruhi atau dikira dalam rekod keamanan global yang lalu. Pihak yang berhajat untuk membuat kacau atau teringin menjayakan reformasi, demonstrasi juga revolusi di seluruh negara mestilah insaf dengan impak yang sangat tidak baik untuk semua. 
Utamakan negara daripada kepentingan kumpulan sendiri, Janganlah mengorbankan pandangan dunia hanya untuk mengganti pemerintahan negara gunalah pendekatan yang disediakan dalam pilihanraya sekiranya merasa ada orang lain lebih baik daripada pihak sekarang tetapi sebelum membuat perubahan yang penting. Jangan pula lupa akan pepatah rakyat yang mengatakan “yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran” atau pepatah Melayu yang kerap terjadi iaitu “Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan”. Fikir untuk jemaah, fikir fardu kifayah kerana kata pujangga fikiran itu pelita hati.

Saturday, July 23, 2011

Bertemu Mr Ng..

Duduk di lobi hotel disebuah bandar tepi laut, saya terpandang seorang guru bahasa Inggris yang mengajar di sekolah saya 19 tahun lalu. Guru itu memang sukup dikenali di kalangan pelajar- pelajar sekolah kami kerana keakraban dan caknanya dengan pelajar. Guru lelaki berbangsa Cina itu memang sangat diingati.. walaupun dia tidak pernah mengajar kelas saya tetapi sikap mesra semulajadinya terus disenangi dan diingati oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Dengan berselur tiga suku dan baju- T lusuh saya tanpa ragu- ragu menyapa Mr Ng. Dengan penuh ramah Mr Ng menghampiri dan saya perkenalkan diri. Melalui perbualan kami saya dimaklumkan oleh Mr Ng bahawa dia sekarang mengajar di SMJK(C) Chung Hwa, Kota Bharu. Saya sebenarnya tidak pernah menjejak ke rumah guru itu, namun saya percaya dengan cerita rakan- rakan yang bertandang dan kadang kala tidur di rumah guru itu mengakui bahawa Mr Ng seorang yang tahu mengambil hati setiap pelajarnya walaupun berlainan bangsa dan agama. Mr Ng tidak mencampur aduk antara agama dan sentimen kaum, setiap pelajarnya dianggap sebagai rakan dan adik- adik. Pada percutian kali ini Mr Ng mengatakan dia hanya datang seorang diri.. tidak mengajak pelajar- pelajarnya seperti biasa, Mr Ng mengatakan dia hendak memenuhi percutian kali ini dengan berseorangan di tepi pantai dan berjalan- jalan di pasar dengan bebas.
Sebelum Mr Ng minta diri untuk masuk ke bilik kerana ais- krim yang baru dibelinya sedang mencair dan mesti disimpan dalam ice-box saya sempat bertanya akan status terkininya.. Mr Ng mengaku bahawa dia masih bujang, dia juga bergurau agar saya perkenalkanlah wanita yang sesuai untuknya sambil ketawa.. Sebelum guru 1 malaysia itu masuk lif dia mengatakan dengan penampilan saya ketika itu dia menjangkakan saya mengahwini seorang anak orang kaya dan menghabiskan masa dengan lepak di hotel dan memandu kereta mewah.. Saya tersengih dan menjawab "Oh malangnya saya tidak seberuntung itu Sir"... haa.. haa kami ketawa bersama.

Tuesday, July 19, 2011

Wanita India paling tertekan di dunia.


NEW YORK 18 Julai — Wanita India mendahului senarai golongan paling tertekan di dunia manakala wanita Malaysia berada pada kedudukan ke-16, menurut satu kaji selidik baru-baru ini mengenai tahap tekanan perasaan yang dihadapi wanita.

Wanita di India hidup dan bekerja dalam suasana penuh tekanan, menurut kaji selidik terbaru yang disediakan oleh syarikat media dan maklumat Nielsen. Kajian itu menyelidiki corak membeli dan tingkah laku sosial wanita-wanita di seluruh dunia.

Kaji selidik yang dijalankan di 20 negara membangun dan ekonomi yang baru muncul di dunia, mendedahkan bahawa wanita di seluruh dunia berasa tertekan dengan wanita di negara-negara yang dikatakan baru muncul berdepan dengan tekanan yang hebat berbanding wanita di negara-negara maju.

Wanita India adalah golongan paling tertekan (87 peratus), diikuti oleh Mexico (74 peratus) dan wanita Rusia (69 peratus). Di negara-negara maju, tahap tekanan perasaan tertinggi dihadapi wanita Sepanyol (66 peratus), Perancis (65 peratus) dan Itali (64 peratus).

Wanita Malaysia (44 peratus) berada pada kedudukan ke-16 dengan wanita di Thailand (45 peratus) berada pada tempat ke-15 dengan Korea Selatan (45 peratus). Wanita Asia lain iaitu Jepun (52 peratus) berada pada kedudukan ke-12 dan wanita di tanah besar China (51 peratus) pada kedudukan ke-13. - Bernama
Fakta kajian diatas seperti tidak dapat ditolak.. walaupun kajian dalam bentuk dan apa cara sekalipun masih boleh diperdebatkan namun bila dinyatakan India menduduki senarai teratas ia adalah munasabah. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup bersama kaum India kita tidak asing dengan tingkah dan cara hidup mereka tambahan pula filem dari Bollywood yang selalunya  memaparkan tekanan dan penderitaan kaum wanita di India lebih- lebih lagi jika ia berada di kelompok kasta yang rendah. Kita juga tidak berasa pelik bila sesebuah filem dari India mengisahkan penganiayaan dan pembunuhan di kalangan wanita kampung dan gelandangan. 
Di dalam berita luar negara juga kita sering didedahkan dengan kes penderaan wanita di wilayah kurang maju dalam pembelaan kepada wanita seperti Uttar Pradesh. Biarpun India menduduki tempat pertama dalam kes tekanan perasaan wanita, barangkali negara lain di Afrika juga mengalami hal yang sama begitu juga dengan negara Islam seperti Afghanistan, Pakistan juga Bangladesh kita masih mendengar kes- kes pembunuhan maruah seperti membunuh ahli keluarga yang dianggap mencemar maruah atau berkahwin dengan orang yang tidak direstui keluarga.
Di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain tekanan kepada kaum wanita tidak banyak berbeza ia biasanya berkaitan dengan hal yang hampir sama seperti peluang pekerjaan, tangga gaji, layanan di tempat kerja, pandangan masyarakat, kebebasan bersosial dan berbagai lagi yang berkaitan dengan tradisi dan agama kerana itulah kedudukan Malaysia adalah di tangga ke 16 manakala Thailand ke 15 diantara 20 buah negara yang dibanci oleh Nielsen. Satu persoalan yang bolehlahlah dikatakan kekaguman adalah tentang satu nama yang menggegarkan politik dan persepsi kepada negara adalah Ambiga, beliau seorang yang berbangsa India yang bangkit membuat bantahan tentang tidak puas hatinya kepada sistem pilihanraya negara. Adakah kita boleh simpulkan beliau juga adalah wanita yang mengalami tekanan perasaan seperti kaum kerabatnya yang lain di tanah besar India.




Monday, July 18, 2011

Bertemu Pope : Najib mengatasi impian Nik Aziz

Vatican City adalah negara kota yang paling kecil didunia dengan keluasan 44 km persegi dan penduduk seramai 800 orang menjadikan negara merdeka ini begitu unik. Terletak di dalam kota Rom, dikelilingi tembok tinggi dengan sistem cctv dan kawalan keselamatan paling canggih di Itali membuatkan kota suci Kristian ini sangat aman, selamat dan dihormati. Diketuai oleh Pope, kota ini terlalu penting kepada panganut Kristian katolik iaitu mazhab paling ramai di dunia. Kata- kata Pope adalah kata- kata tuhan, begitulah kepercayaan pengikut mereka, sesiapa yang boleh berdamai atau mempengaruhi Pope mereka tidak akan diancam oleh kuasa- kuasa besar. Persahabatan dengan Vatican City mempunyai banyak manfaatnya.
YAB Dato Sri Najib Tun Razak berpandangan jauh, beliau tahu bahawa perhubungan dengan pemimpin agama akan banyak memberi gambaran baik kepada agama Islamnya, Pope dengan kekuatan kewangan dan pengaruh yang besar mampu merubah tanggapan dunia ke mana sahaja beliau memijakkan kakinya.. Bukan bermaksud mengagungkan musuh agama Allah itu dan bukan juga hendak mencela agama Kristian tetapi menghidar dan memusuhi Vatican City tidak akan memberi kelebihan kepada Islam.
Langkah Najib melawat Pope Benedict XVI di Vatican City sepatutnya tidak dipandang serong oleh rakyatnya yang beragama Islam, tidak ada mudarat mahupun menghakis pegangan sekiranya Najib bersama Pope. Dalam banyak hal Pope adalah seorang yang bersih pemikirannya, penumpuan kepada ketuhanan dan kesejahteraan manusia menjadikan Pope kadangkala tidak disenangi oleh Yahudi dan Israel. Peluang berjumpa Pope bukan senang tambahan pula jika tidak mempunyai jawatan besar dalam kerajaan.
Sedarkah kita mengapakah mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat begitu berminat membuat hubungan dengan pemimpin agama Buddha, Hindu dan Kristian di negerinya beliau menjemput dan memberi penghormatan kepada pemimpin pelbagai agama untuk bertemu dan beramah mesra di pejabatnya di Kota Darul Naim.

Friday, July 15, 2011

Pelabur emas fizikal 999.9 tiada ruang..

Peniaga dan penyimpan emas fizikal seperti Public Gold, PAMP, Bullion Kijang Mas, Dinar Kelantan, Dinar Perak, Poh Kong Bunga Raya dan seumpamanya, mereka sudah mula boleh memikirkan untuk menukar coin atau bar mereka kepada barangan emas lain. Ini kerana sudah banyak premis atau bank yang menyediakan perkhidmatan ar- Rahn sudah tidak menerima lagi gadaian berupa emas 999.9 bebentuk jongkong, syiling atau bar kecuali ia adalah barang kemas. Tidak dapat dipastikan kenapa bank- bank atau pajak gadai iri hati sangat dengan pelan pelaburan emas yang semakin mendapat perhatian. Logikal yang jelas adalah kerana penggadai barangan tersebut tidak berniat hendak meletakkan emas tulen mereka dalam waktu yang lama. Malahan penerima gadai juga akan berdepan dengan pinjaman demi pinjaman yang singkat tetapi tidak memerolehi upah dalam tempoh matang yang sepatutnya.
Langkah ar- rahn tidak cukup bijak malahan memalapkan semangat penggunaan dinar, bar atau jongkong sebagai penyimpan mutu emas yang paling tulen kesedaran pelaburan emas turut terjejas dengan apa yang dirasakan sebagai langkah menyusahkan pelanggan, tetapi semua itu ada penyelesaian, pengurusan Ar Rahn  tetap tidak dapat menghalang pelabur emas. Pelanggan yang ditegah menggadai emas 999.9 akan mengambil jalan menukar kepada barangan kemas pula. Ini kerana pelanggan tidak ada jalan lain walau menanggung rugi yang besar untuk mendapat tunai semula atau trade-in. Sungguhpun tahu akan risiko pelaburan emas adalah amat kecil dan hampir tiada tetapi pelanggan ada kalanya terpaksa menjual emas mereka dalam masa singkat disebabkan terpaksa membayar pinjaman atau menebus balik emas mereka yang telah digadai.
Satu ingatan kepada mereka yang berhajat untuk mendapat keuntungan emas dalam masa singkat sebenarnya ia sukar terjadi dan jika dalam masa lama sekalipun belum lagi tentu untuk mendapat untung, kepada sesiapa yang hendak mencuba membeli emas fizikal untuk melabur adalah dinasihati agar mereka tidak perlu berangan untuk mendapat untung memuaskan dalam masa kurang lima tahun.. siapa yang mampu ? sudah tentu orang yang sudah kaya atau yang tidak menghadapi masalah kos hidup sahaja yang boleh menceburkan diri dalam pelaburan emas fizikal tanpa mengikat perut dan berpuasa. 

Wednesday, July 6, 2011

Rakan Cina..

Semalam saya berkunjung ke rumah jiran berbangsa Cina yang sememangnya sudah dikenali, rakan itu juga adalah rakan arwah ayah. Jiran sekampung yang berlainan bangsa dan agama itu boleh berbincang apa saja walaupun kunjungan saya selepas maghrib yang tentunya berpelikat dan berkopiah namun ia tidak sedikitpun membuatkan tuan rumah berasa janggal begitu juga saya sendiri tak rasa kekok walaupun gambar buddha besar ada di dinding depan kami. 
Dalam perbualan itu bermacam perkara kami berbincang dari hal politik hinggallah kepada keluarga. Seperti juga  orang Melayu, orang Cina tetap punya perasaan dan keikhlasan memberi pendapat tentang pemimpin tempatan juga mengingatkan tentang bahaya daripada sebilangan kaum cina yang berpura- pura dalam memberi sokongan kepada pemimpin Melayu.
Sebelum minta diri untuk pulang saya bertanyakan perkembangan anak -anaknya. Rakan Cina yang saya panggil Pak Cik Lah itu dengan bangga berkata salah seorang anaknya yang dua tahun berada Riyadh, Arab Saudi bekerja sebagai jururawat di Hospital Raja Fahad akan pulang dan akan bekerja di tanah air. Apa yang membuat saya turut rasa lega adalah bila dikatakan bahawa anak perempuannya sudah melangsaikan hutang PTPTN, kereta dan membuat bayaran permulaan pembelian rumah. Sungguhpun begitu rakan yang kini sebagai pesara Pos Malaysia rasa bersyukur kerana anak perempuannya sudah melangsaikan hutang PTPTN, kereta dan membuat bayaran permulaan pembelian rumah. 
Sebelum masuk ke kereta saya sempat memuji rakan itu kerana mempunyai anak bertanggungjawab dan menyenangkan hidupnya diusia bersara, beliau juga menyatakan kesyukurannya kerana anaknya sanggup meninggalkan gaji tiga belas ribu sebulan di negara minyak dan memilih untuk kembali bekerja di Hospital dalam negara disamping menyatakan rasa selamat dan mesra kerana mempunyai jiran berlainan bangsa yang sudi bertanya khabar.

Sunday, July 3, 2011

Luahan Hati Warga Pendidik dan Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan

Selepas kehangatan kerusi Pengarah Pelajaran Kelantan diperkatakan diruangan ini, hari ini isu tersebut mungkin tidak tepat lagi memandangkan ada tanda- tanda Pengarah Pelajaran Negeri mungkin akan menghabiskan khidmatnya di JPN Kelantan. Dalam waktu itu kita membaca banyak komen dan pendapat yang di luahkan, memperlihatkan begitu perihatin dan banyak ruang kritikan yang dapat dilihat dikalangan warga pendidik, mereka meluahkan kepada sesiapa sahaja sama ada kakitangan JPN atau pihak sekolah sendiri.. Kepada pihak yang terkena sindiran dan kritikan yang tajam diharap dapat menerima dengan positif dan membaiki kelemahan demi kebaikan bersama. Diruangan terhad ini juga kita percaya dan mengalu- alukan pendapat yang membina daripada sesiapa saja kerana tulisan anda sedang diambil kira dan dinilai oleh pelbagai pihak...
(Artikel pada 3/7/2011 yang lalu) Sambutan 'Hari Guru' Peringkat Negeri Kelantan 2011 diadakan di SMK Bandar Machang, sambutan tahun ini lebih meriah dan tersusun daripada yang di adakan di sebuah sekolah di Tumpat pada tahun lepas. Guru yang sejak dari dahulu lagi diakui sebagai khalayak yang berdisiplin punya budaya keraian tersendiri, Pelbagai anugerah dan pengiktirafan diberikan kepada guru- guru seluruh negeri.
Sambutan hari guru kali ini disempurnakan oleh YB Senator Dato Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia. Jika dikira kesesuaian portfolio memanglah Dato Dr Awang Adek tidak berada di Kementerian Pelajaran tetapi atas dasar keutamaan untuk menaikkan imej politik UMNO Kelantan tokoh tersebut diterima tanpa soal selari dengan warna tema iaitu merah untuk semua guru dan kakitangan yang hadir pada hari tersebut iaitu warna 'gelombang merah' BN Kelantan.
Apa yang berlegar di pemikiran warga pendidik seluruh negeri Kelantan hari ini adalah kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Pengarah JPN Kelantan iaitu Hussin Awang yang akan meninggalkan pejabat di Kota Bharu untuk kenaikan pangkat JUSA di Putrajaya. Pada tahun ini Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan telah memangku pelbagai tugas sementara menunggu pengesahan Pengarah JPN Kelantan yang baru.
Berbeza dengan kenaikan pangkat dalam tentera atau polis yang kebiasaannya pertukaran pangkat pegawai boleh dibaca dan tiada perebutan atau melobi kerana sesiapa sahaja yang berada pada pangkat Timbalan akan dinaikkan pangkat kepada ketua pula tetapi dalam Jabatan Pelajaran perkara seperti itu tidak semestinya berlaku.
En Zahari Daud menjawat jawatan Timbalan Pengarah tanpa menafikan peluang orang di atasnya, jawatan itu diisi setelah Hj Ishak dikenakan tindakan tatatertib perkara yang sama tidak mungkin akan berulang lebih- lebih lagi Ketua Sektor Pengurusan Sekolah (KS) dikhabarkan turut berminat dengan jawatan Pengarah JPN Negeri, beliau yang dulunya sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Bachok hanya ada dua tahun sahaja lagi untuk bersara. Seperti diketahui jawatan Pengarah adalah dipengaruhi sepenuhnya oleh orang politik seperti YB Mustapha Mohamad dan YB Senator Awang Adek Hussin. KS adalah seorang AJK UMNO Bahagian yang dilantik oleh YB Senator Awang Adek, Ketua cawangan dan banyak membantu YB Awang Adek di Bachok, sekiranya KS Aziz Abdullah benar- benar mengidam jawatan Pengarah sudah tentu peluangnya lebih terbuka daripada Timbalan Pengarah JPN sekarang.
Timbalan Pengarah pula seharusnya tidak dipinggirkan oleh Kementerian, walaupun beliau tidak ada hubungan istimewa dengan orang politik tetapi beliau seorang yang ikhlas, humble pada jawatannya, beliau juga dikatakan sering membaca Al -Quran dipejabatnya jika ada kelapangan. Sebagai Timbalan Pengarah yang tidak glamer Zahari Daud juga penyokong kerajaan pusat yang tidak lalai, beliau juga seorang ketua cawangan dan ketua peti undi UMNO di Bahagian Pasir Mas jadi beliau termasuk seorang yang mengikuti perkembangan politik juga.
Perlu juga diketahui bahawa En Zahari hanya ada 8 bulan sahaja untuk bersara, apalah salahnya dan alangkah bagusnya jika Kementerian dan orang politik beri penghormatan untuk En Zahari bersara dengan jawatan Pengarah Pelajaran Negeri, jika itu berlaku sudah tentulah akan menjadi episod persaraan di kemuncak kerjaya dan sangat dibanggakan. Warga Jabatan Pelajaran juga tidak rugi dan masih boleh merasai sentuhan En Aziz Abdullah yang mengikut rekodnya sebagai pegawai pelajaran yang cemerlang walaupun sewaktu menjadi pengajar di sekolah En Aziz bukanlah seorang guru yang mendapat pujian atau idola daripada pelajar di sekolahnya. En Aziz sepatutnya tidak tergopoh, beliau boleh merencanakan kedudukannya sebagai Pengarah Pelajaran Negeri yang baru pada tahun hadapan iaitu selepas persaraan En Zahari Daud.
Walau sesiapa pun yang direncanakan akan menjadi pengarah negeri walau bukan En Aziz Abdullah sekalipun, pihak kementerian dan tokoh politik seharusnya memikir dan mengambil kira penghormatan, maruah juga masa terhad yang seharusnya diberikan kepada En Zahari Daud.