Baru baru ini heboh diperkatakan tentang trend baru balik beraya menggunakan helikopter. Syarikat pengendali kenderaan udara berkenaan memberi gambaran dan laporan bahawa penduduk pantai timur khasnya Kelantan adalah penyewa / pengguna terbanyak untuk perkhidmata mereka. Dengan tambang sehingga RM16,000.00 sejam atau RM30,000.00 sekali penghantaran yang mengambil masa 3 jam ke Kota Bharu, pengguna masih mampu dan sanggup.
Dulu.. Helifax Mofaz Air Bukit Lanjan, Damansara, sewa helikopter untuk ke Terengganu.
Siapa pengguna ini..? inilah yang perlu diberi perhatian dan mengubah persepsi sebenar yang selama ini sering diberi gambaran yang tidak adil. Pengguna helikopter tersebut adalah orang Melayu Islam yang menyewa utuk balik berhari raya di kampung halaman, mereka adalah komuniti berjaya dalam pelbagai bidang dan ruang ekonomi dalam dan luar negara. Cakap- cakap berbaur politik selama ini sering memberi gambaran sukar dan menyedihkan kepada rakyat Kelantan sememangnya perlu ditolak, kemiskinan ada di mana- mana selagi ada manusia, daripada Kota New York yang terbesar hingga ke Kota Makkah yang suci kemiskinan tetap berlaku kerana itu adalah lumrah, kunjungilah Kelantan dan lihatlah sendiri rumah- rumah besar, kereta- kereta mewah, perniagaan dimiliki orang Melayu, barang- barang kemas yang dipakai oleh wanita Kelantan, pegawai- pegawai tinggi Kerajaan pusat hinggakan orang- orang cina di Melayukan hanya terserlah di Kelantan.
Dalam kajian akademik, orang- orang Kelantan diakui sebagai genetik Melayu asal yang tertua berbanding lain- lain genetik Melayu di Malaysia, mereka jugalah berada di tempat pertama dalam kategori wanita cantik di Malaysia dan sebagai seorang lelaki saya juga percaya jika dibuat perbandingan orang- orang lelakinya juga akan muncul sebagai juara lelaki paling kacak di negara ini. Itu gambaran umum fizikal orang- orang Melayu Kelantan yang mungkin dicemburui
Sebelum kejatuhan khalifah umat Islam di Turki atau lebih sesuainya selepas kekalahan orang- orang kristian dalam perang salib terakhir. orang- orang Eropah barat tertekan, mereka sangat kecewa, mengelakkan pertembungan dengan orang Islam dan mencari dunia baru, mereka membawa slogan GOLD, GLORY, GOSPEL dalam setiap misi penjelajahan mereka. Orang -orang Kelantan juga memiliki semangat 3G tersebut yang meletakkan mereka sebagaimana hari ini.
GOLD / Kekayaan
Orang- orang Kelantan sangat peka dan cepat dalam usaha mencari wang, mereka pantas merebut peluang hingga dikatakan bercawat kote dan adakalanya kelihatan rakus atau kerlong dalam dialek Kelantan. Orang Kelantan boleh ditemui di mana sahaja cabang perniagaan atau ekonomi, dari gerai kecil hingga ke restoran mewah, dari projek kecil mencuci longkang hingga projek mega pecakar langit akan ditemui senarai usahawan asal Kelantan. Pernah saya terbaca satu kenyataan bahawa ekonomi negara yang tertumpu di Ibu negara sememangnya dikuasai oleh orang Cina tetapi baki kek ekonomi yang dikuasai bumiputera itu 70% adalah dimiliki oleh orang orang Melayu dari Kelantan atau setidaknya berkaitan dengan orang Kelantan, walaupun merasakan kenyataan ini berlebih lebihan tetapi ke mana saja saya pergi dalam atau luar negara, saya masih boleh menggunakan dialek Kelantan terutama di restoran atau kedai kedai yang membawa lambang Malaysia Melayu Islam.
GLORY / Kemasyhuran
Gilo bersohor atau memburu glamer kata orang muda. Walaupun perkataan gilo bersohor tidak disukai atau membuatkan orang yang digelar demikian tidak bersetuju dan marah tetapi dalam diri kebanyakan orang itulah antara matlamat yang dicari termasuk oleh orang yang menuturkan gilo bersohor itu sendiri. Bagi orang Kelantan kemashyuran itu sendiri menjadi gandingan sangat diperlukan untuk mencapai kejayaan dan kekayaan, oleh itu sesuatu perkara selalu dilakukan secara bedo'oh yang kadangkala membawa kepada keburukan. Lihatlah bagaimana kesan positif dalam penjualan jenama oleh usahawan atau tokoh dari Kelantan. Mereka dilihat fokus dan jitu dalam promosi jenama, tokoh tokoh akademik serta pemimpin politik lantang dalam hujahan mereka serta berani begitu juga rakyat bawahan berani, tidak malu menonjolkan diri yang kadangkalanya membuatkan masyarakat naik angin, orang Kelantan sukar untuk berada di posisi tengah atau sederhana, mereka akan membuat pilihan sama ada menjadi sangat baik atau terlebih nakal.. itulah sebabnya orang Kelantan juga tidak tercicir dalam aktiviti lorong gelap atau jenayah berat.
GOSPEL / Keagamaan
Inilah asas atau kekuatan utama orang- orang Kelantan, kerana unsur keagaman ini jugalah yang memberi jolokan sebagai serambi Mekah, dari kecil boleh dikatakan setiap orang anak- anak orang Melayu akan dihantar ke kelas mengaji Al-Quran, dan dikelas mengaji di surau dan madrasah ini anak- anak melayu dididik secara tradisional. walaupun budaya ini juga terdapat di negeri- negeri lain tetapi asuhan dan penyerahan ibu bapa kepada Tok Guru mengaji untuk mendidik anak anak mereka adalah begitu tinggi, penghormatan kepada ajaran dan individu bernama Tok Guru itu mengatasi Ibu Bapa. Anak- anak yang diajar ini mengenal dosa pahala dan baik buruk sejak kecil, bila dewasa mereka mungkin menjadi sejahat- jahat manusia tetapi bila bertembung dengan kehendak agama mereka sukar untuk membantah. Inilah juga yang memberi kejayaan kepada parti politik dan pemimpin yang membawa imej agama di Kelantan, orang Kelantan akan dahulukan apa yang dilihat lebih beragama, lebih berakhlak. Orang Kelantan tidak menolak sepenuhnya parti politik yang tidak dahulukan apa yang difahami kehendak agama dengan syarat tokoh politik mewakili parti perlu kerja keras dan menonjolkan kelebihan diri lebih daripada imej parti yang diwakilinnya, kerana itulah tokoh UMNO masih mempunyai tempat di Kelantan sekiranya mereka benar- benar berkualiti dan memahami budaya beragama di Kelantan. Orang- orang Kelantan menjadi mubaligh ke seluruh negara hingga jemaah mereka boleh ditemui di mana- mana, di Malaysia Timur malahan ke seluruh dunia, Ramai orang Kelantan tahu Syed Hussin Jamadil Kubra yang berpangkalan di Pasir Mas menjadi punca penyebaran agama Islam di Brunei ia juga bertanggungjawab mengirim wali Songo berdakwah di Jawa, sebagai orang yang fakir saya juga ada sedikit ingatan mengikuti usaha dakwah orang- orang Kelantan. Waktu masih bujang, ranggi dan rockers saya juga berpengalaman berpuasa seorang diri di bulan Ramadhan, solat waktu tidak berteman sewaktu di bidang hiburan dan penyiaran, saya tidak pasti adakah ini berlaku secara berkebetulan kerana saya orang Kelantan, pun begitu saya tidak lupa kepada beberapa orang yang selalu saya sebutkan iaitu aktor Eman Manan dari Terengganu yang meninggalkan set jika azan berkumandang serta arwah pelakon M. Rajoli asal Pasir Tumboh Kelantan yang pandai menyesuaikan kehendak agama dalam bidangnya.
3G tersebut adalah sebahagian daripada faktor- faktor yang memberi kejayaan dalam hidup di dunia dan InsyaAllah juga di akhirat, faktor Agama, ekonomi, politik dan sosial orang- orang Melayu Kelantan itulah yang memberi keupayaan dan talaki majoriti komuniti Melayu Kelantan.
No comments:
Post a Comment