Hujan lebat pagi 17 Disember 2015 ini tidak diduga akan memberi perkhabaran suka dan duka dalam perjalanan hidup, kegembiraan dan kelegaan adalah bila berjumpa dan masih mampu bercerita dengan rakan dari Kementerian Pertahanan, rakan ini baru selesai menjalani pembedahan kecil di tengah dadanya, pada mulanya kerisauan bersarang kerana mengikut amalan dan kebiasaan tradisi apa yang dialami oleh rakan ATM ini boleh membawa maut jika salah rawatan. Alhamdulillah atas nasihat rakan dan kata perangsang akhirnya pagi ini kami bertemu lagi dan berkongsi sedikit cerita tentang pertahanan negara yang mana kata kunci dari perbualan kami adalah pertahanan negara tidak perlu diragui walaupun kita tidak boleh menyaingi kuasa besar dan selalu menjadi mangsa konflik dunia tetapi mana mana negara sangat mengagumi dan ingin mencontohi Malaysia dalam kecekapan sumber manusia atau keupayaan anggota. Melalui pengalaman langsungnya juga ia menggambarkan kita setiap masa mendahului Filipina dalam apa jua aspek ketenteraan cuma negara terpaksa memperlahankan tahap agresif di timur Sabah kerana adanya tentera US di sana.
Hujan lebat pagi ini juga membawa berita duka bila saya dan rakan- rakan dikejutkan dengan berita kematian rakan kami sejak darjah satu, rakan ini yang sentiasa riang dan bersemangat dalam menentukan hala tujunya akhirnya dipanggil mengadap Allah swt lebih dahulu, pemergian kepada kekasihnya diyakini sewaktu sedang tidur, tiada sakit yang serius cuma deman biasa yang tidak disangka akan meragut nyawa. Rakan ini sewaktu disekolah cukup saya ingati.. tanpa pengetahuan sesiapa saya tahu kami berdua mempunyai banyak pengalaman bersama, kami pernah berkongsi minat yang sama suatu ketika dulu iaitu penggemar WWF yang mana rakan ini selalu membuat penampilan dan gaya watak digemari berserta tali pinggang kejuaraan, sebenarnya pada suatu waktu kami sentiasa bertemu diwaktu malam dan berborak- borak diperkarangan rumahnya pada waktu malam tanpa pengetahuan sesiapa, dan beberapa kisah yang saya kira menjadi rahsia kami dan rakan itu berjaya membawa kisah kami ke hujung nyawanya. Sewaktu berada di sisi mayat arwah saya sangat terkesan dengan pemergiannya, saya juga melihat wajah bersih dan tenangnya saya juga dengan ikhlas dan redha memberi kucupan didahi sebagai salam perpisahan, jasadnya yang dingin akan hilang tapi saya yakin kami akan menjadi rakan semula seperti waktu yang dulu apabila saya juga tetap akan menyusul mengadap Ilahi.
No comments:
Post a Comment