Monday, May 30, 2011

P.Ramlee, Rakan dan UMNO, jangan lari lagi..

Mengenang 38 tahun pemergian seniman terulung P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih pada 29 Mei 2011 mengingatkan kita pada satu masa ketika pernah berulang alik antara Jalan Ampang dengan Ulu Kelang. 
Walaupun kita tidak hidup di zaman beliau tetapi roh yang dibawa beliau benar -benar menyentuh semangat biarpun kita bukanlah karyawan sepenuh masa tetapi sekadar menyaksikan satu sisi dunia yang didiami oleh mereka yang mengejar glamor, kemewahan, kemasyuran, batu loncatan tetapi amat sedikit yang  menempatkan diri di bidang seni kerana minat semulajadi.
Walaupun ada juga pemain industri layar yang berjaya tetapi harus diingat mereka adalah orang yang sebenarnya berkebolehan dan mengabdikan diri kepada seni dan kerana kesungguhan dan wawasan masa depan telah membuatkan kelompok ini akhirnya menemui perniagaan dalam seni. Tetapi kelompok ini tidak benar- benar ikhlas dan menghambakan diri sebagaimana sifat sebenar seniman yang lahir dari Studio Jalan Ampas atau Studio Merdeka. Mereka yang hidup dengan hati yang tulus, tidak terlalu ingin ganjaran kekayaan akhirnya akan meninggalkan dunia seni atau mati sebagaimana mereka hadir.
Mengingatkan sekadar beberapa orang ayah dan bonda dalam industri filem akan membuatkan kita rasa mesra, lapang dan menghormati golongan ini walaupun mereka gagal mengumpul kekayaan. Kehidupan yang sederhana dan berdikari sangat- sangat membuat kita tersentuh hati. Mengenali pelakon dan pengarah Allahyarham M. Amin yang selalu berjalan -jalan di Ulu Kelang dengan berkaca mata hitam, bercakap dengan yakin, bersuara jelas dan kadangkala bertongkat membuatkan kita tidak janggal untuk berbual- bual dirumahnya yang sangat sederhana. mengimbau juga watak keibuan pelakon Noraini Hashim yang selalu membahasakan kita dengan panggilan 'wan' menjadikan kita segera rasa kebaikan hajah Wan Chik Daud sewaktu hayat suaminya M.rajoli yang banyak kisah suka duka bersama juga bersua sekejap dengan Datin Rosnani Jamil di rumahnya membuatkan pandangan kita kepada golongan ini amat bermakna, mereka tidak mewah tetapi kaya dengan budi bahasa. S. Samsuddin, Datuk Aziz Satar, Mahmud June juga ramai pelakon hebat yang kita berkesempatan untuk bersua. Paras seniwati Zaiton yang bijak berkata- kata dengan santun mengujakan kita bahawa begitu ramai manusia yang tulus dalam industri seni dan kita buat kesekian kalinya rasa bertuah kerana berkesempatan bertentang mata dan bersama bintang layar perak yang mengiringi zaman kanak- kanak kita.
Berbalik kepada seniman sepanjang zaman, Allahyarham P.Ramlee kita hanya boleh merasai semangat seni melalui menantu dan cucunya yang sempat kita bersama mereka sepanjang berada diibu kota.. seringkali juga kita diminta oleh ibunya untuk menguruskan pendaftaran ahli UMNO cucu P.Ramlee tetapi kerana ketika itu kita tidaklah ambil ingatan dan hari ini bila mendapat tahu bahawa Allahyarham P. Ramlee pernah menjadi ketua cawangan UMNO di Setapak juga Legenda negara itu pernah bertanding untuk merebut jawatan AJK UMNO Bahagian Jerai, kita jadi terbuka fikiran dan hati  lalu bertanya sendiri kenapalah agaknya manusia genius pun memilih UMNO sedangkan kita sebagai rakyat yang bersangka baik, sayangkan agama dan bangsa, tidak mengejar dunia, berazam membela negara bangsa ini harus lagi lari dan mencari lain dari UMNO, adakah kerana bencikan segelintir pemimpin kita jadi marah, dendam dan merajuk..

Wednesday, May 25, 2011

musim cuti sekolah untuk nikah kahwin..

Cuti penggal sekolah menjelang lagi.. murid- murid sekolah keriangan menanti hari akhir sekolah, mereka dah ada perancangan sendiri, ada yang akan menghabiskan minggu cuti dengan bermain dengan kawan- kawan sekampung, ada yang akan melancong bersama keluarga, ada yang hanya mengisi waktu yang panjang itu hanya duduk dirumah, ada yang melekat sahaja depan televisyen menonton rancangan kesukaan, ada yang masih terpaksa ke kelas tambahan seperti biasa, ada yang pulang ke kampung berjumpa atuk dan nenek dan pelbagai lagi aktiviti bagi mengisi kebiasaan hari persekolahan.
Kalau diingatkan pasal cuti sekolah ramai yang irihati dengan kerjaya sebagai guru yang mempunyai banyak kelapangan walaupun tidak dinafikan cikgu masih perlu membuat kerja- kerja yang berkaitan dengan persekolahan ketika musim cuti, pun begitu seorang guru tetap boleh berbangga kerana mempunyai hari cuti mengatasi kerjaya lain.
Musim cuti persekolahan juga sentiasa dinanti oleh mereka yang tidak bekerja sebagai guru kerana musim inilah yang menadi pilihan untuk membuat kerja kahwin atau boleh juga dipanggil musim kenduri. Ramailah kaum keluarga dan ipar duai yang bertandang untuk membantu menguruskan kerja besar ini. Bermula dengan menjenguk bakal pengantin hinggalah aktiviti sembang, bergosip dan memperaga penampilan diri.
Keluarga dan bakal pengantin masing- masing tak kalah dalam urusan menyempurnakan majlis, duit simpanan mengalir keluar seperti air, habis duit simpanan saham amanah pula dikorek jika masih tidak cukup juga terpaksa pula berhutang kerana tidak mahu malu depan bakal mertua dan ipar. Saudara mara pula jenuh dengan pelbagai cerita yang juga tidak mahu kalah dalam soal pendapatan, rumah besar dan kereta baru, jadilah musim cuti sekolah juga sebagai musim membanggakan diri dan keluarga.
Kerja kenduri kahwin boleh ditemui di mana saja, penunjuk arah bukan lagi ditanda bunga manggar di simpang jalan tetapi dalam zaman ini banting, banner dan sepanduk menjadi pelengkap dalam hebahan seiring dengan undangan melalui rangkaian sosial di internet.
Dalam zaman duit mudah dicari ini, keluarga pengantin tidak terfikir untuk mengadakan majlis kecil – kecilan dan sederhana, tiada lagi kedengaran buat majlis ringkas dan cukup syarat, inilah masanya untuk mengedar seberapa banyak kad undangan kahwin hingga kepada orang yang tak kenal batang hidung pun diberi kad undangan, ada pula terpaksalah tebal muka mengajak jiran sekampung yang selama ini tidak dijenguk dan tidak bertegur sapa.
Masih ramai yang tak nak fikirkan pasal kesusahan yang bakal ditanggung oleh si suami bila selesai majlis perkahwinan, sudahlah wajib menanggung nafkah isteri, terpaksa pula memikirkan pembayaran yang pelbagai untuk menyempurnakan majlis mereka. Ditambah lagi episod pengenalan peribadi adik beradik dan keluarga mertua yang sudak mula bercakap tentang keluarga baru mereka, jika keluarga baru itu bukanlah orang senang tersipu- sipulah jadinya, tambah sedih jika saudara- mara palingkan muka kerana takut kena bantu meringankan beban pengantin baru.
Kita bukanlah berniat untuk mengajar bakal pengantin dan keluarga mereka yang sedang ghairah menyediakan hari bersejarah dalam hidup itu tetapi dalam negara yang mewah ini apalah kiranya kita kembali kepada saranan agama yang sebenar.. majlis mulia yang bakal diadakan akan lebih bermakna dan membawa kita kembali menginsafi diri jika kerja kahwin itu dilakukan dengan bersederhana, hindarkan daripada majlis yang menyebabkan timbul perasaan riak dan bangga diri, hebahan akan lebih mudah sekiranya mengundang masyarakat setempat dan orang- orang yang dekat dengan kita sahaja, usahlah risau takut rakan jauh kecil hati kerana mereka sebenarnya sudah berkira- kira tentang undangan yang banyak dan bertindih lagi pula bukan semua majlis hari itu majlis kesyukuran, sebahagian wang gaji tentu hilang.
Walaupun banyak ruang untuk anak- anak di musim cuti sekolah seeloknya biarlah cuti ini memberi kesempatan untuk diisi dengan benda yang bermanfaat, memberi  tauladan kepada anak- anak sekolah Dan bagi mereka yang memanfaatkan cuti untuk mengadakan kenduri kahwin pula mungkin ada benarnya kata jenaka “kalau kahwin satu dunia hendak diheboh kalau......... hendak disorok” apa pun semoga majlis kerja kahwin cuti sekolah ini akan diberkati Allah dan tidak mencampakkan kita ke dalam kerja- kerja yang membawa kepada ‘bidaah’

Monday, May 16, 2011

16 Mei... Cikgu jangan tidur yea..

Hari ini saya menerima sms daripada rakan lama yang menegur sikap saya kerana tidak mengucapkan selamat hari guru kepadanya. Untuk menutup kelemahan itu saya beri alasan tidak 'wish' kerana dia tidak lagi menjadi guru walaupun masih berkhidmat di Kementerian yang sama. Tetapi jawapan yang menyentuh hati pula yang dibalas oleh kawan baik saya itu yang berbunyi "Aku ni kalau dah meninggal pun orang tetap panggil cikgu.." saya jadi terkelu dan terkedu sebentar, sebenarnya saya jenis orang yang tidak pedulikan tarikh- tarikh untuk diraikan dan saya mengakui bahawa hari jadi anak saya dan saya sendiri pun selalu terlepas jika tidak diingatkan oleh orang lain. mungkin ini adalah kesan daripada budaya keluarga saya yang tidak pernah meraikan hari- hari istimewa kecuali hari- hari perayaan dan hari penting yang berkait dengan amalan agama sahaja.
Begitu kuat dan besarnya pengaruh seorang guru dalam masyarakat, hampir tidak ada seorang pun rakyat di negara kita yang terlepas dari sentuhan jasa seorang guru. Pencetus kemerdekaan tanah air dan parti kebangaan orang melayu juga adalah diilhamkan oleh mereka yang bergelar guru. Penghulu, imam masjid dan individu yang disegani oleh masyarakat sebahagian besarnya adalah mereka yang lahir daripada profesion perguruan, anak kecil dan remaja lebih patuh dan menghormati teguran dan kata- kata oleh guru daripada ibu- bapa sendiri biarpun ibu bapa mereka juga seorang guru. Pelajar dan murid sekolah ramai yang menangis dan menitis air mata apabila diadakan majlis perpisahan guru tetapi mereka sukar untuk berasa sedih jika berpisah dengan rakan -rakan untuk ke sekolah lain. Seorang guru yang baik juga boleh menumpukan pengajaran dan kelas tambahan kepada murid mereka daripada menghadiri majlis bersama komuniti atau persatuan. 
Dalam sekian banyak jasa guru itu, mungkin masyarakat sudah tidak memikirkan semangat tulen seorang guru di era sebelum ini. Hari ini kerjaya sebagai guru tidak lagi kerana ingin berbakti. Seorang graduan yang tidak berjaya dalam disiplin ilmu yang diidamkan akan patah semangat dan beralih kepada KPLI, seorang anak muda yang terdesak untuk mendapat pekerjaan akan memohon untuk menjadi seorang guru walaupun itu bukanlah kehendak sebenar. Keluarga yang memandang pekerjaan makan gaji tidak ragu- ragu menyuruh si anak mengisi borang menjadi guru kerana tidak rela melihat anaknya bertungkus lumus bekerja sendiri atau tangan anaknya menjadi kotor dalam mengasah bakat menjadi seorang tauke. Pendek kata kerjaya sebagai guru menyediakan ruang- ruang yang besar untuk mendapat kerja hingga menjadi ancaman kepada kerjaya yang mulia itu.
Mungkin hari ini sudah ramai ibu- bapa yang tidak- segan silu menjadi lawan dan bermusuh dengan guru jika anak mereka mengadu akan hal- hal yang dia sendiri tidak buat kepada anaknya, ibu bapa seperti saya akan cepat naik darah sekiranya diadukan kekasaran yang dilakukan oleh seorang guru kepada anaknya tetapi saya percaya tidak ramai ibu- bapa yang menyimpan kenangan manis seperti saya yang dapat rasa ditempeleng guru, berbilat badan dirotan guru, rambut gondol digunting guru hanya kerana dianggap bebal dalam kelas atau lawak mengalahkan badut, dan pengalaman nakal disekolah yang tidak diperolehi di rumah inilah yang membuat saya tak jadi nak serang guru di sekolah. Berapa keratkah lagi ibu bapa yang sanggup menyerah sepenuhnya asuhan anak mereka di bahu seorang guru tanpa campurtangan kecuali jika mendatangkan kecederaan atau mengancam keselamatan.
Pada pandangan saya yang tidak pernah menjadi seorang guru ini, kita suka sekali berkongsi sedikit tips kepada guru yang ingin menjadi guru yang baik dan memahami kehendak ibu bapa dan pelajar iaitu;
(1) Mengenali pemimpin setempat dan bergaul rapat dengan masyarakat tempat tinggal terutama tempat yang juga didiami oleh keluarga pelajarnya.
(2) Cuba memahami dan ambil tahu latar belakang dan kegiatan setiap murid dalam kelasnya. kalau boleh  sentiasa semak tarikh hari lahir murid itu dan sekadar mengucapkan "Selamat hari jadi untuk.... " sudah cukup membuatkan murid rasa dihargai dan dekat di hati guru mereka.
Dan satu aktiviti penting yang dilihat sudah tidak menjadi perhatian para guru sedangkan aktiviti inilah yang menjadi medan mereka memartabatkan kalangan guru dan membina langskap pemerintahan negara.. iaitu mengikuti perkembangan politik dalam dan luar negara lebih mudah lagi sekiranya mereka bersama pihak kerajaan atas semangat membentuk dan membina apa yang baik dari dalam kerajaan, menambah baik apa yang sudah dibina oleh guru -guru terdahulu, jangan mencuba untuk memilih jalan sukar dengan menentang kerajaan kerana guru harus sedar bahawa sehingga hari ini merekalah sebenarnya yang memerintah negara.

Sunday, May 15, 2011

Syabas harga gula diapung.. Kemenangan untuk rakyat.

Satu keputusan yang betul dan sepatutnya dah lama dibuat oleh kerajaan. Pujian yang besar seharusnya diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna kerana berjaya mengapungkan harga gula sebagaimana yang berlaku kepada minyak Ron 97. Dalam menyelami manfaat kepada rakyat, sebenarnya tidak ramai orang yang menyedari bahawa selama ini kerajaan begitu banyak membantu pengeluar gula hingga mengatasi subsidi yang dinikmati oleh rakyat. 
Kerajaan telah membayar subsidi kepada pengeluar gula berdasarkan jumlah yang dikeluarkan dan dijangka akan dihantar kepada pembeli seluruh Malaysia, jika jumlah pembeli berdasarkan nisbah 1 kilo untuk setiap rakyat maka pengeluar perlu menyediakan hampir 30 juta kilo gula yang jika mengikut harga semasa  pengeluar tidak perlu untuk memikirkan di mana nak dapatkan pendahuluan 20 sen setiap kilo dan jika di darab jumlah jutaan kilo gula yang diedarkan satu angka jutawan akan diperolehi.
Kerajaan juga telah meningkatkan taraf kesihatan rakyat bila berjaya mengurangkan pengambilan bahan kencing manis tersebut atas alasan kenaikan harga gula. Apalah sangatnya jika harga gula naik beberapa sen tetapi ia memberi kebaikan kepada rakyat. Suri rumah sudah boleh tersenyum kerana suami sudah kurang makan atau minum di kedai kopi, pihak hospital dapat kurangkan kes- kes kencing manis terutama di negeri Kelantan yang terkenal dengan amalan manis yang keterlaluan. Pihak sekolah pula beransur melihat murid yang obesiti menyusut. Selari dengan kehendak agama, bersederhana dalam amalan harian juga dituntut dalam segala hal termasuk soal pengambilan gula, barangkali juga dengan meningkatnya harga gula akan mempengaruhi harga gula- gula dipasaran dan kesan baik ini adalah mengurangkan masalah kerosakan gigi dikalangan kanak- kanak.
Bagi yang mensensasi dan seolah marah dengan kerajaan atas langkah menarik balik subsidi gula ini mereka sepatutnya berhenti sekejap dan menimbang antara kebaikan yang akan diperolehi rakyat. Dan rakyat juga mestilah percaya bahawa setiap kerajaan yang menguasai sesebuah negara memang mengutamakan rakyat, mereka sebolehnya sentiasa mencari jalan untuk manfaat rakyat dan mengurangkan keuntungan hanya kepada satu pihak sahaja. Sekiranya masih ada rakyat yang menuduh kerajaan itu zalim, mereka mestilah sedar bahawa orang terkaya di Malaysia adalah Robert Kuok iaitu seorang yang memonopoli pasaran gula yang mempunyai ladang tebu, kilang gula dan pelbagai kegiatan sokongan pasaran gula di Malaysia dan beliau menjadi amat kaya kerana peranan kerajaan juga.. kini tibalah masanya raja gula itu dibebaskan daripada sumbangan subsidi oleh kerajaan dan biar rakyat menentukan jumlah gula untuk kegunaan mereka sendiri.

Saturday, May 14, 2011

Simbah asid : mat rempit kena bertindak..

Ketakutan golongan wanita terutama di Lembah Kelang telah mengheret kerisauan kepada keluarga dan orang tersayang.. apa akan terjadi sekiranya muka yang cantik dan menjadi pujaan tiba- tiba terbakar dan lecur disimbah asid, bukan kerana dendam atau berlaku pertengkaran tetapi kerana kegilaan terbaru manusia yang tak ada akal yang setakat tulisan ini ditaip ia sudah menjadi 19 orang yang menerima nasib akibat permainan sial itu.
Saranan YB Shahrizat Ab Jalil agar penjualan asid diperketatkan amatlah kena tetapi jika si pelaku ingin mendapatkan bahan hakis itu sudah tentu mereka punya alasan dan cara untuk mempengaruhi penjual bahan tersebut, lebih berkesan lagi sekiranya setiap pembeli asid mesti menyerahkan kad pengenalan untuk didaftar pembeliannya dan jika boleh salinan kad pengenalan mesti diserahkan kepada penjual.
Satu langkah lagi yang tidak kurang keberkesanannya adalah dengan kerjasama satu daripada kelebihan atau dengan kata lain sisi positif mat rempit yang 24 jam berada di jalanraya. Selama ini mat rempit menjadi cemuhan dan makian warga kota setiap kali jentera beroda dua itu memecah sunyi, tetapi kali ini mat rempit amat diperlukan untuk memantau dan menangkap penyimbah asid. Mat rempit yang menjadi raja di jalanraya boleh membuat jasa dan bakti yang besar kepada warga kota. Kita tidak menolak kemungkinan bahawa si pelakunya juga dikalangan mat rempit sendiri. Sebenarnya masih ramai mat rempit yang smempunyai hati yang baik dan menyayangi keluarga, mat rempit tentu tidak sanggup melihat rakan keluarga atau keluarga sendiri menjadi mangsa simbahan asid.
Kita cadangkan kelompok mat rempit menjadi pengawal jalanraya kita ketika berlaku kesusahan seperti sekarang, menjaga keselamatan pejalan kaki agar selamat, mat rempit juga boleh mengambil langkah berada dalam kumpulan di tepi- tepi jalan selang satu kilometer dan bersedia untuk mengejar sipelaku bila dikejutkan dengan pekikan atau laungan orang yang disimbah asid. Mat rempit sebenarnya lebih berpengalaman dan memahami selok belok ibu kota, ini menjadi kelebihan dan sentiasa diakui oleh pihak berkuasa. Pihak berkuasa pula hendaklah membuat hubungan mesra disamping memberi nasihat kepada tindakan oleh mat rempit. Mat rempit juga mestilah menghormati harapan masyarakat kota, mat rempit juga diharap tidak bertindak melulu dan berfikir secara waras jika dapat menangkap penjahat asid itu.. manalah tau jika ada mat rempit yang tidak dapat mengawal kemarahan dan mencurah pula asid di wajah atau alat kelamin pelakunya pula....

Wednesday, May 11, 2011

Sambutan berbeza untuk tarikh penting 11,12,13 & 14 Mei..

11 Mei 1946 adalah hari tertubuhnya parti UMNO di Istana Besar Johor. Tarikh keramat ini menjadi hari penting seluruh pendukung parti yang berusia 65 tahun itu. Khabarnya pada tahun ini UMNO memperluaskan sambutan dengan majlis tahlil di surau dan masjid, satu amalan yang baik yang seharusnya menjadi tradisi sejak awal penubuhannya lagi. Tarikh ini juga sepatutnya diperhebatkan lagi dengan menetapkan setiap pejabat UMNO Bahagian diperindah dan mengibarkan bendera parti, boleh juga memainkan bacaan Al Quran di setiap negeri yang ditunjangi oleh UMNO. Khalayak pendukung parti juga lebih bermakna jika diistiharkan pada 11 Mei adalah hari cuti umum untuk kakitangan pejabat UMNO seluruh negara. 
Hari berikutnya adalah hari jururawat sedunia sempena hari jadi Florence Nightingale 12 Mei 1820 iaitu pengasas kerjaya sebagai jururawat atau nurse. Jasa besar jururawat amatlah dihargai, tidak keterlaluan jika dikatakan jasa mereka setanding dengan mereka yang berkhidmat sebagai guru. Jururawat sentiasa bekerja dalam suasana cemas dan memerlukan tindakan cepat, tepat, cermat dan penuh rasa kasih sayang tidak kira masa tetapi sayangnya hari jururawat tidak boleh dijadikan hari cuti kerana mereka akan menyumbangkan kenaikan carta kematian dan kecederaan sekiranya 12 mei diberikan cuti kepada jururawat.
13 Mei pula adalah hari yang ingin dihindar oleh rakyat Malaysia, tarikh yang berlaku pada 1969 ini sebolehnya ingin dilupakan dan dihapuskan dari diperkatakan oleh rakyat. Peristiwa berdarah negara akibat pergaduhan kaum ini menjadi episod yang boleh berulang sekiranya setiap kelompok terlalu membicarakan soal politik dan menghina kaum yang lain, tarikh ini seeloknya jangan dirai dan apatah lagi membangkitkan kemarahan kaum.
14 Mei pula adalah hari tragedi yang mesti diingat dan dijadikan pengajaran juga hari membakar semangat seluruh umat Islam di muka bumi, pada tarikh ini genaplah 63 tahun terbinanya negara Yahudi di bumi Palestin. Bukan hanya kepada orang Islam, tahun 1948 itu sewajarnya dikutuk oleh semua bangsa tanpa sentimen agama. Tarikh tercalarnya seluruh dunia Arab ini diharap dijadikan teks khutbah oleh seluruh masjid di seluruh dunia untuk mengutuk pencerobohan bangsa yang sombong dan hina itu.

Tuesday, May 10, 2011

Bahaya kepala air boleh diatasi

Kebelakangan ini kita kerap kali dikejutkan dengan kematian pengunjung atau kanak- kanak yang lemas di kawasan perkelahan air terjun atau hutan lipur disebabkan kepala air. Kepala air adalah limpahan air yang turun secara mendadak disebabkan hujan yang lebat secara serta merta dihulu sungai, jika ia berlaku dipantai ia samalah dengan apa yang dikatakan ombak besar atau tsunami.
Keadaan air deras yang melimpah, hadir tanpa amaran ini melibatkan beribu gelen air yang hanyut bersama sampah sarap atau lumpur, kekuatan manusia jarang yang dapat bertahan dengan hempasan yang mengejut ini seperti mana dalam rancangan 'wipeout' di rangkaian Astro AXN, hampir kesemua peserta yang bersedia melawan hempasan ombak itu terpelanting jatuh ke dalam kolam.
Kepala Air yang menghantui ibu- bapa ketika berkelah di jeram- jeram atau anak sungai menjadi kerisauan utama, pengunjung berhadapan dengan risiko kehilangan orang yang tersayang. Tempat- tempat yang popular ini sudah tiba masanya untuk bertindak dan berbuat sesuatu, tidak hanya dengan langkah menyediakan penyelamat dan pemerhati tetapi pihak pengurusan kawasan reakreasi mestilah memasang alat pengesan kepala air dan siren amaran sendiri. 
Alat pengesan mini yang berfungsi sebagaimana mengesan tsunami barangkali boleh diletakkan satu kilometer atau jarak yang sesuai di hulu sungai. Sekiranya tempat kunjungan itu tidak mampu mengadakan peralatan yang canggih kaedah konvensional seperti merentang tali yang berloceng boleh digunakan dengan pengawasan setiap masa atau hanya pada waktu kawasan perkelahan dibuka. 
Amatlah tidak munasabah untuk kita terus diberitakan tentang mangsa ke seterusnya menjadi korban kepala air sedangkan kita boleh dan mampu lakukan sesuatu sekiranya kita benar- benar ingin menjadi negara maju, selamat, makmur dan menghargai nyawa. 

Friday, May 6, 2011

Kasihnya Ibu Membawa Ke Syurga..

Hari Ibu yang disambut di negara seluruh dunia adalah berbeza dan berubah- ubah pada setiap tahun. Bagi negara kita Malaysia, hari ibu disambut pada hari ahad minggu kedua dalam bulan Mei.. pada tahun ini hari ibu jatuh pada tarikh 8 Mei 2011. 
Betapa tingginya status seorang ibu hinggakan dalam agama Islam taraf seorang anak itu serendah tapak kaki para ibu, taraf tinggi seorang ibu yang bersabung nyawa mengandung dan melahirkan anak adalah umpama nyawa dihujung tanduk, biarpun selepas bersalin, sang anak diabai dan diserah kepada penjagaan orang lain namun syurga anak itu masih dibawah kaki seorang ibu. 
Berita tentang anak derhaka, mengugut mencedera dan melukakan hati seorang ibu tidak dapat diterima oleh mereka yang menganggap diri mereka manusia. Banyak kisah tentang bencana yang ditimpakan kepada manusia angkara airmata seorang ibu, kisah Si Tanggang dan Batu belah batu bertangkup adalah contoh mitos yang menyanjung tinggi kedudukan seorang ibu.
Bertuahnya seorang anak yang berpeluang merasai dan membesar dengan kasih seorang ibu, seorang ibu berupaya merangkap tugas seorang bapa tetapi amat payah untuk mendapat seorang bapa yang menjadi ibu kepada anaknya. sebagai seorang anak yang tidak diuji Allah untuk menjadi yatim atau terasing dari belaian seorang ibu, hargailah dan bersyukurlah dengan anugerah tuhan yang amat besar itu.. berbakti dan jagalah hati mereka sebelum kita hanya meratap di batu nesan mereka.
Hari ini ramai ibu yang berjaya membesar dan menghantar anak ke menara gading hingga menjawat jawatan yang disegani tetapi amat sedikit seorang anak yang telah berjaya yang sanggup korbankan sedikit masa mereka untuk bersama ibu di kampung, seorang ibu yang telah tua dan nyanyuk sebolehnya ingin disembunyikan di kampung apa lagi jika ibu tua itu tidak mempunyai harta untuk diwariskan. Anak menantu boleh menjadi penawar dan racun kepada si ibu, ada isteri atau suami yang berjaya mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak tetapi tidak kurang juga ada menantu yang memupuk rasa jijik anak kepada ibunya.
Lupakan tentang kerenah ibu yang dirasakan tidak adil kepada anak- anak, usahlah merajuk hingga tidak menjenguk ibu yang sebatang kara, janganlah jadi sombong dengan membiarkan adik - beradik yang tidak berkerjaya yang kita perlekeh untuk mengasuh ibu tua sementalah mereka ada di kampung. 
Lihatlah wajah anak kita yang comel dan bayangkan jika kita telah tua anak yang kita tatang itu suatu hari nanti akan menghantar kita ke rumah orang tua atau membiarkan kita terbiar kesunyian sedangkan anak yang kita banggakan sibuk di luar negara atau tiada masa bermesra bersama kita. Orang tua pernah berkata seorang ibu dapat membesar dan menjaga sepuluh orang anaknya tetapi sepuluh orang anaknya belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Sebagai meresapi rasa sayang kepada ibu kita dengarkan lagu menusuk kalbu nyanyian lagenda P.Ramlee dan hayati seni kata lagu http://www.youtube.com/watch?v=uAKDGL1Go48  ini.



Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyniari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu



Wednesday, May 4, 2011

Singapura yang dikagumi..

Mengikut tafsiran Wikipedia Singapura merupakan sebuah republik berparlimen. Perlembagaan Singapura berdasarkan sistem Westminster kerana Singapura merupakan bekas jajahan United kingdom. Jawatan Presiden adalah simbolik dan kuasa memerintah berada di tangan Perdana Menteri yang merupakan ketua parti politik yang memiliki kedudukan majoriti di Parlimen. Arena politik dikuasai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah memerintah sejak Singapura merdeka. Pemerintah PAP sering dikatakan memperkenalkan undang-undang yang tidak memberi kesempatan untuk parti-parti pembangkang tumbuh dengan efektif. Cara pemerintahan PAP dikatakan lebih cenderung kepada autoritarian daripada demokrasi yang sebenarnya. Namun, cara pemerintahan tersebut berhasil menjadikan Singapura sebuah negara yang maju, bebas daripada rasuah dan memiliki pasaran ekonomi yang terbuka. Para ahli politik menganggap Singapura sebuah negara yang berfahaman 'Demokrasi Sosialis'.

Ethnic composition (%) of resident population
Etnik197019801990200020062010
Cina77.078.377.776.875.274.1
Melayu14.814.414.113.913.613.4
India7.06.37.17.98.89.2
Lain1.21.01.11.42.4
3.3



Selepas kemerdekaan Singapura daripada Malaysia, Melayu di singapura mengalami malapetaka dalam sejarah bangsanya. Melayu di singapura kini sudah semakin susut berdasarkan carta diatas  peratus kaum Melayu semakin mengecil jika dibandingkan dengan kaum India.
Menjelang pilihanraya Singapura pada 7 Mei ini, ada baiknya kita melihat ruang- ruang yang semakin terdesak kepada orang melayu yang telah dibuang dan dihina selepas terhapusnya lambang ketuanan melayu yang pernah bertahan di Istana Kampung Gelam. Sejumlah 24 calon baru PAP, termasuk dua calon baru Melayu, antara proses pembaharuan terbesar yang dilaksanakan parti pemerintah itu. Sekurang-kurangnya lima daripada mereka dikatakan mempunyai potensi menjadi menteri. Pilihan raya umum kali ini dijalankan selepas perubahan dibuat pada sempadan pilihan raya, dengan 15 GRC berbanding 14 GRC sekarang ini dan 12 kawasan undi perseorangan (SMC) berbanding sembilan SMC sekarang. Jumlah kerusi keseluruhannya adalah 87, naik daripada 84 kerusi sekarang ini. Perubahan lain adalah pada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), dengan sehingga sembilan calon pembangkang yang menunjukkan prestasi paling baik semasa pilihan raya mendapatkan kerusi di Parlimen, berbanding enam kerusi kini. 
PAP kini menguasai 82 daripada 84 kerusi Parlimen. Dalam pilihan raya lalu pada 2006, PAP memenangi 45 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan dengan dua kerusi terus dipertahankan pembangkang - Encik Chiam See Tong di Potong Pasir dan Encik Low Thia Khiang di Hougang. Dalam pilihan raya tersebut, PAP meraih 66.6 peratus undi berbanding 75.3 peratusan undi pada pilihan raya 2001. Pilihan raya kali ini dilihat antara yang paling sengit dengan isu-isu seperti kos sara hidup yang tinggi dan pembanjiran pekerja asing dijangka mendapat perhatian. Sesetengah pengamat menganggap sentimen di kalangan pengundi kali ini mungkin kurang baik atas isu-isu tersebut.Parti Pekerja (WP) sebelum ini telah melahirkan hasrat bertanding di GRC Aljunied, East Coast, Moulmein-Kallang dan Nee Soon sementara Parti Perpaduan Nasional (NSP) pula dijangka bertanding di GRC Chua Chu Kang, Jurong, Tampines dan Marine Parade. 
Di Bishan-Toa Payoh, PAP juga akan berdepan dengan Parti Rakyat Singapura (SPP) yang dipimpin tokoh veteran, Encik Chiam See Tong, dengan dibantu bekas dua penerima biasiswa pemerintah, Encik Benjamin Pwee, 43 tahun, dan Encik Jimmy Lee, 35 tahun.Pertandingan lain pula akan melihat PAP berdepan dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) di Holland-Bukit Timah dan Sembawang, Parti Pembaharuan (RP) di West Coast dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) di Pasir Ris-Punggol.Deposit setiap calon yang ingin bertanding ditetapkan $16,000 - naik daripada hanya $13,500 pada pilihan raya yang lalu.
Sebagai renungan penduduk malaysia yang majoritinya Melayu beragama Islam eloklah sekiranya parti DAP diberi perhatian dan pertimbangan setiap kali menjelang pilihanraya, fakta ini adalah benar...ini kerana DAP mulanya adalah cabang Malaysia daripada People's Action Party (Parti Tindakan Rakyat), parti pemerintah di Singapura. Ketika pertikaian antara UMNO dan PAP mencapai puncaknya, Singapura dipaksa keluar dari federasi Malaysia pada tahun 1965. Sebagian anggota PAP menetap di Malaysia dan membentuk partai baru, DAP. DAP melanjutkan perjuangan Lee Kuan Yew, PM Singapura ketika itu, untuk memperjuangkan Malaysian Malaysia, persamaan hak di antara semua etnis/suku di Malaysia, yang jelas-jelas bertentangan dengan ideologi Ketuanan Melayu yang diusung oleh UMNO. Sampai saat ini, DAP tetap konsisten menjadi parti oposisi di Dewan Rakyat, parlimen Malaysia.