Thursday, March 31, 2011

Utusan Malaysia, suara Keadilan kepada kerajaan dan rakyat..

Melihat satu- satunya akhbar yang masih bersaiz besar Utusan / Mingguan Malaysia membuatkan kita rasa hairan kenapa musuh parti memerintah terlalu bencikan akhbar ini. Tidak cukupkah pengorbanan akhbar perintis ini kepada rakyat. Memanglah jika dibandingkan dengan akhbar tabloid atau akhbar suara parti politik yang diedarkan seminggu atau dua minggu sekali sudah tentulah akhbar harian ini tidak akan menjadi pisang panas.
Walaupun selalu ada suara yang terancam dengan gaya tulisan yang mengikut polisi kerajaan, namun dari segi harga, akhbar ini sememangnya tetap murah jika dibandingkan akhbar lain yang harga sama atau lebih mahal tetapi  isi yang  boleh dibaca terlalu sedikit, pembacaan boleh dihabiskan hanya dalam sepuluh minit namun kesannya hanyalah marah, meluat atau pun kosong dan merugikan ringgit.
Akhbar yang mementingkan mendidik ini juga sanggup tidak untung semata- mata mempertahankan versi huruf Melayu (jawi). Ia terlalu banyak menempuh pengalaman dalam mendidik rakyat sejak dari Singapura hinggalah ke Jalan Chan Sow Lin, amat pelik jika ada yang merasakan diri cukup bijak hingga tak pasal- pasal akhbar ini dimarahi atas alasan sentiasa menyampaikan suara yang membina pemikiran.
Namun tidakkah kita terfikir bahawa akhbar ini sebenarnya terlalu mementingkan kestabilan rakyat, tidak selalu melaporkan yang tepat tetapi masih tidak berbohong untuk menjaga keharmonian kaum di Malaysia. Bijak menyelesaikan ketegangan biarpun melibatkan puak yang sama sekali tidak membantu kerajaan. Akhbar ini masih telus kerana melaporkan apa saja kejadian biarpun melibatkan pihak kerajaan. Amatlah dungu jika sebuah kerajaan tidak mempunyai lidah rasmi seperti Utusan, adakah adil kepada pemerintah jika semua media cetak tidak menyalurkan agenda kerajaan yang dipilih oleh rakyat terbanyak.
Barangkali parti politik pembangkang ingin melihat Utusan akan menjadi seperti akhbar caca marba tiada pendirian jelas sebagaimana Sinar Harian. Juga ada yang mengigau untuk melihat  utusan Malaysia mesti meniru Tamil Nesan, Nanyang Siang Pau dan akhbar etnik yang lain. Utusan Malaysia tidak akan hilang jati diri untuk menyertai akhbar totok seperti Harakah atau Keadilan, dan mungkin ramai yang tidak nampak bahawa tulisan Utusan Malaysia juga selalu menegur dan membimbing kerajaan, ia menjadi penasihat atau sempadan kepada dasar- dasar yang perlu diambil kerajaan.
Disamping membaca akhbar picisan atau suara rasmi parti politik Kita tidak boleh melupakan longgokan ilmu yang ada dalam akhbar ini terutama hari ahad.. Mingguan Malaysia pasti habis. Apa yang paling ketara walaupun dicemuh oleh parti pembangkang tetapi akuilah bahawa masih tiada akhbar lain yang menjadi tempat untuk rakyat mendapatkan info berilmu dengan keterangan yang baik dan bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia.

Thursday, March 24, 2011

DAFTAR PENGUNDI BIJAK..

Ada baik dan buruknya jika pengundi tidak perlu lagi mendaftar dengan SPR atau dengan kata lain setiap warganegara yang berumur 21 tahun ke atas secara automatik layak untuk menjadi pemilih dalam pilihanraya. Sekali fikir cara ini nampak senang mudah dan adil kepada semua, parti politik tidak perlu lagi dibebankan dengan kesibukan mendaftar penyokong masing- masing dan SPR pula tidak dibeban dengan kerja proses menerima pendaftar, pamer, bantah dan menerima atau menolak permohonan kerana semuanya akan menjadi sebahagian kerja pejabat Pendaftaran Negara, setiap kali ada kekosongan DUN atau Parlimen SPR hanya perlu menyediakan kertas undi berdasarkan nama yang dikeluarkan oleh JPN.
Walaupun cara ini sangat disenangi oleh mereka yang inginkan kerja mudah dan hanya beranggapan bahawa tanggungjawab memilih pemimpin itu adalah perkara biasa seperti menukar fesyen dan trend mengikut musim dan kehendak semasa, tanpa memikirkan keperluan kepada pemimpin yang 'mencipta zaman bukan pengikut zaman'. Dalam kehendak agama pemimpin itu mestilah mempunyai ciri- ciri kebaikan diri juga boleh mencipta kebaikan kepada orang yang dipimpin. Untuk mencari calon yang sebegitu rupa sudah tentulah majoriti rakyat mempunyai keinginan berbuat baik sahaja yang akan memenangkan calon membawa kebaikan kepada diri dan orang yang dipimpin. Amatlah rugi sekiranya kuasa memilih dibuka seluas- luasnya sedangkan peratus kesedaran mencari pemimpin berkualiti masih belum mencapai peratus yang akan memenangkan kumpulan baik. Sesebuah negeri atau kawasan yang dikuasai kemungkaran sudah tentunya akan menolak calon yang akan menegah kegiatan tidak baik mereka, suatu negeri yang masih terikat dengan cara tradisi tidak akan bersetuju dengan calon yang berkempen untuk merubah cara hidup mereka. 
Sebagai contoh negara Bahrain terpaksa bertindak dengan kekerasan dan meminta bantuan Arab saudi untuk mengekang pengaruh Syiah yang menjadi majoriti rakyatnya demi menjaga maruah dan ajaran Sunni yang bilangannya lebih kecil. Begitu juga tindakan beberapa negara Arab yang tidak mahu menurut kehendak para pendemonstrasi yang dipercayai golongan lebih kecil dibandingkan rakyat banyak yang hanya diam sahaja. Ketakutan tentang campurtangan musuh nyata Islam iaitu Nasrani dan Yahudi telah berlaku di Libya kesan daripada tindakan rakyatnya sendiri yang mengambil risiko membinasakan negara sedangkan mereka berhadapan dengan pemimpin yang masih lagi kuat dan berkuasa. Rakyat Libya yang memberontak perlu menyesal kerana tindakan mereka telah merugi dan menggadai maruah agama pula. Dalam Islam sekiranya penentang tidak cukup kuat untuk melawan pemerintah yang dikatakan zalim, mereka seharusnya melengkapkan kekuatan diri terlebih dahulu dan mesti menang jika berlawan dan sekiranya kalah hendaklah redha, jangan menjemput musuh sebagai sekutu. Dalam hal Libya ini kita mengharapkan muammar Gaddafi dapat berundur dan menyerahkan kuasa kepada orang yang tidak menyokong kumpulan yang mengundang campur tangan luar. Dalam Islam juga dibolehkan menggunakan kekerasan bahkan menjadi wajib untuk membunuh orang yang mengancam keselamatan negara hingga boleh meruntuhkan kepimpinan pemerintah Islam sendiri.
Dengan kata lain negara kita masih belum bersedia untuk mendaftar pemilih secara automatik selagi rakyat yang menjadi pengundi masih leka dengan keutamaan diri dan keluarga, tidak merasai kesakitan paha kiri bila paha kanan sebangsa dicubit. Dan negara juga usahlah dipertaruhkan oleh tangan - tangan jahil menconteng kertas pilihanraya untuk memenuhi kehendak sementara. Oleh itu jika sesiapa yang mempunyai kesedaran untuk memilih pemimpin yang baik dan membawa kemakmuran dan kestabilan mendaftarlah kerana anda pengundi yang bijak. 

Monday, March 21, 2011

MENUNGGU KIAMAT 21 DISEMBER 2012

Membaca akhbar Mingguan Malaysia yang berwajah baru, kertas lebih kualiti, percetakan lebih kemas dan menarik pada hari ini membuatkannya berbaloi dengan harga yang masih murah iaitu RM2.00 paparan yang berilmu membuatkan saya rasa bangga menjadi penggemarnya sejak jualannya dengan harga RM0.60 lagi. Antara banyak berita yang terdapat salah satunya artikel ‘Dunia di penghujung zaman’ menarik perhatian saya.  seperti mana yang kita ketahui sejak akhir- akhir ini semakin ramai yang memberi perhatian  bahawa tarikh 21.12.2012 adalah hari kehancuran yang bersamaan juga hari jumaat iaitu hari yang di percayai oleh orang Islam sebagai hari kiamat.

Antara yang mempengaruhi kegusaran mereka adalah penemuan planet ke 10 dalam sistem suria iaitu planet x atau Nibiru yang dikatakan planet terbesar dengan saiznya 100 kali ukuran bumi dan mempunyai daya graviti yang hebat, mampu membuatkan kestabilan bumi kucar- kacir bila pada hari tersebut bumi akan berkedudukan paling hampir dengan planet raksasa itu. Diramalkan juga pada tarikh 21-23.12.2012 semua planet dalam sistem suria akan sebaris dengan galaksi yang menyebabkan aksi perang tolak dan tarik graviti antara planet akan berlaku.
Dalam Injil Perjanjian lama malapetaka akhir zaman adalah disebabkan perlanggaran planet @ komet. Perkaitan dengan hari pengakhiran kehidupan tersebut juga menaikkan semula kepercayaan selepas menarik nafas lega dengan ancaman komet Halley yang tak menjadi pada tahun 1996 dulu.
Walaupun saya sering rasa hairan dan ragu- ragu dengan ramalan pakar tersohor yang telah banyak membuktikan kebenaran isyaratnya tetapi Nostradamus belum menjadi kegerunan kepada saya, tambahan pula ramalannya tidak memperincikan tarikh yang tepat biarpun kadangkala nama tempat dan individu terlibat hampir menyamai peringatannya, ini kerana saya percaya semuanya adalah kebetulan dan selari dengan ilmu ramalan yang diselidiki. Namun begitu tetap ada yang percaya kiamat berlaku pada 2012 walaupun catatan ramalan Nostradamus meramalkan sehingga tahun 3797 iaitu abad ke 38.
Kepercayaan paling meluas adalah disebabkan Kalendar kaum yang seolah datang dari langit dan lenyap dengan misteri dari kawasan tamadunnya di selatan Mexico atau Yucatan iaitu kaum Maya yang juga telah difilemkan oleh Hollywood dengan tajuk ‘2012’. Saya kira dengan perkongsian tentang Kalendar suku Maya di bawah ini akan dapat membantu kita untuk berfikir dan mencari keyakinan kita yang bergoncang ;

Fakta Suku Maya Dan Penciptaan Kalendar
Sebagai kaum yang mengamati langit , bangsa Maya Kuno mencari jalan bagaimana untuk mengenal pasti bilakah musim hujan akan tiba dan memerhatikan keadaan tumbuhan, haiwan juga langit. Pastinya musim hujan boleh ditanda berpandukan gerak matahari, bulan dan bintang dengan teliti menggunakan mata kasar sahaja. Antara kalendar kegunaan kaum Maya adalah;

Haab
Bangsa Maya Kuno mengira bilakah waktunya matahari tepat di atas kepala. Hasilnya adalah 365 hari. Sejak itu Bangsa Maya Kuno memiliki kalendar. Kalender ini disebut kalender pertanian atau kalender Haab. Haab adalah kalendar civil Maya yang terdiri dari 18 bulan masing-masing 20 hari, diikuti 5 hari tambahan yang disebut Uayeb. Sehingga 18 x 20 + 5 = 365 hari. Jika sudah mencapai 365 hari, maka Bangsa Maya Kuno akan memasuki kalender Haab yang baru.

Tzolkin
Kalender Tzolkin mengandungi 260 hari. Kalender ini diguna untuk menentukan ibadat Bangsa Maya Kuno. Kalender menggunakan dua perkiraan minggu. ada yang 13 hari seminggu dan ada yang sampai 20 hari. Sehingga didapat 13 x 20 = 260 hari. Kalender Tzolkin mengabaikan kiraan Tahun.




Long-Count Calendar
Inilah Kalendar yang dipercayai ramai sebagai tarikh kiamat. Dalam kepercayaan Bangsa Maya Kuno, tarikh 13 adalah hari terciptanya alam semesta. Pada tarikh tersebut, Galaxy Milky Way (Bima Sakti) kelihatan di langit. Sehingga bermulanya kiraan kalender ini adalah pada tarikh 13, atau dapat ditulis 13.0.0.0.0 sistem pengiraan kalendar ini adalah rumit. Asasnya adalah Kin (hari), dan pengiraannya adalah:


1. Uinal (1 uinal = 20 kin = 20 hari)
2. Tun (1 tun = 18 uinal = 360 hari = ~ 1 tahun)
3. Katun (1 katun = 20 tun = 7,200 hari = ~ 20 tahun)
4. Baktun (1 baktun = 20 katun = 144,000 hari = ~ 394 tahun)
--> misal 12.14.15.4.2
   • 2 adalah Kin (nombor ditanda dari 1-19)
   • 4 adalah Uinal (nombor ditanda dari 1-17)
   • 15 adalah Tun (nombor ditanda dari 1-19)
   • 14 adalah Katun (nombor ditanda dari 1-19)
   • dan 12 adalah Baktun (nombor ditanda dari 1-13)
Jadi pada tanggal 21 atau 23 desember 2012 lah kalender Long-Count ini akan habis.
sumber pertama mengatakan, Bangsa Maya Kuno percaya saat kalender Long-Count ini habis, maka dunia
juga akan kiamat dan akan digantikan dengan dunia yang baru dengan kalender Long-Count yang baru juga
Sumber kedua mengatakan, Bangsa Maya Kuno percaya saat kalender Long-Count ini habis, matahari selesai melintasi Galaxy Milky Way yang terbentuk seperti Ular Putih. maka kalender Long-Count ini akan berakhir dan memasuki Kalender Long-Count yang baru. Bangsa Maya Kuno percaya pada tahun baru kalender Long-Count, kehidupan akan jauh lebih baik. Karena matahari akan meninggalkan Ular Putih atau dunia Kegelapan.
Kalau difikirkan tanpa rasa resah, maka kenyataan kedua lebih meyakinkan saya tambahan pula menjadi amat sukar jika Kalendar Long Count dicipta terlalu besar, tiada penghujungnya. Kalendar yang terlalu jauh ke masa hadapan tidak berguna untuk jangka hayat mereka lebih- lebih lagi Kalendar Haab dan Tzolkin juga boleh diulangi jadi Kalendar Long Count juga boleh terus digunakan untuk ribuan tahun lagi.

Kepercayaan Tentang Kalendar Long-Count Yang Merisaukan
1. Pada 21 Desember 2012 matahari berada satu garis lurus dengan galaxy milky way. Akibatnya, matahari
    akan bergejolak, planet bumi pun akan terganggu.
2. Planet Nibiru akan menghampiri Bumi dan mengganggu orbit Bumi pada tahun 2012
3. Matahari akan mengalami erupsi besar-besaran pada tahun 2012 (badai matahari)
4. Pada tanggal 21 Desember 2012 planet-planet di tata surya akan berada pada satu garis
5. Pola Medan Magnetik Bumi akan mengalami pembalikan (magnetic reversal) pada tahun 2012

Apakah Bumi Hancur Pada Tahun 2012 ?
1. Bumi tetap bertahan hingga saat ini, meskipun planet bumi selalu disembur badai matahari dari dulu.
2. Bumi tetep aman selama memiliki selimut Atmosfer dan Magnetosfer.
3. Jaringan telepon akan mati, elektrik akan padam, bumi akan dihujani sampah satelit setiap hari (karena
    badai matahari dapat menyebabkan molekul bermuatan listrik di atmosfer lebih padat. Akibatnya, kecpa-
    tan satelit akan melambat dan boleh jatuh ke bumi), cuaca dan iklim bumi akan berubah.
4. Astronomi dan lembaga pengkaji angkasa sentiasa memantau Matahari. Data ledakan matahari dapat di
    paparkan teleskop dalam waktu lapan minit, sedangkan badai matahari akan terjadi dua hari kemudian.
    Kita boleh siap-siap dan menyelamatkan peralatan yang menggunakan teknologi satelit pada waktu itu.
5. Dan pegangan terakhir untuk orang mukmin adalah berdasarkan rukun iman yang mempercayai hari kiamat
    adalah rahsia Allah, tidak ada ilmu di alam ini yang boleh menentukan tarikh sebenar hari kiamat melainkan
    Allah tuhan semesta alam.

Saturday, March 19, 2011

Nuklear... Kuasa Pintar Makan Tuan..

Kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986), Tokai Mura, Jepun (1999), United Kingdom (2000) di Sweden (2007) dan terkini di Fukushima Jepun yang belum di ketahui kesudahannya. Dalam senarai kes kebocoran tersebut boleh dikatakan kebanyakan tragedi yang berlaku adalah disebabkan kecuaian dan kelemahan manusia sendiri.

Kebocoran di Chernobyl adalah yang paling trajik kerana melibatkan ratusan kematian dan kesan radiasi menyebabkan kanser kepada ribuan rakyatnya. Sebagai bekas sebuah persekutuan Rusia yang mempunyai kepakaran dan sejarah penyelidikan yang jauh ke hadapan, tetapi faktor penyelenggaraan yang tidak sempurna telah mengundang bencana begitu juga sekirannya ia dibangunkan di sebuah negara yang bergerak maju, ancaman alam sudah dijangka dan diambil kira ditambah pula dengan disiplin rakyat yang tinggi pun ia tetap tidak terlepas daripada kebocoran disebabkan kuasa alam.
Bukan menafikan keberkesanan dan manfaat yang besar dari sumber tenaga nuklear, tetapi sebagai manusia yang sememangnya mesti melakukan kesilapan tugas menjaga bahan yang sensitif dengan sempurna hampir mustahil dapat dikekalkan selama lamanya.. disebabkan itu manusia dan hidupan sekeliling akan hidup dalam ancaman dan ketakutan. 
Sebagai seorang yang dangkal untuk membahas bahan yang saintifik ini, kita cukup kagum dan menyokong penggunakan nuklear dalam pembangunan pertanian dan kesihatan tetapi akan rasa gerun bila nuklear dihebohkan juga sebagai bahan tenaga baru, bersih dan paling cekap. Kita tidak mahu sumber tenaga ini akhirnya menjadi bahan untuk menamatkan kehidupan dan memendekkan jangka hayat bumi bersama seluruh hidupan, sebagai manusia yang sentiasa disogokkan dengan ketakutan radioaktif, radiasi, bahan kimia dan pelbagai sinaran hasil dari penemuan ahli sains, kita turut tidak mahu gen- gen dan keturunan kita menjadi cacat atau terlebih sempurna daripada fizikal kita hari ini.
Sekali lagi pandangan kita agar kerajaan manfaatkan dulu sumber percuma dan tiada risiko yang hingga kini tidak dimanfaatkan sepenuhnya di negara kita seperti, tenaga solar yang baik dan sentiasa menyilau, tenaga ombak yang disia-siakan ketika menghempas pantai, tenaga angin yang sentiasa bersedia menggerakkan generator dan boleh dibina di sepanjang pantai negara kita, untuk warga KL, mereka boleh menggerakkan turbin dengan menggunakan tayar kenderaan yang sentiasa bergerak di bandaraya siang dan malam dan kita percaya sampah sarap adalah bahan yang dipersetujui oleh seluruh Negara untuk dijadikan bahan asas menghasilkan tenaga elektrik.

Monday, March 14, 2011

Tsunami di negara Ultraman

Bencana terburuk dalam 140 tahun.. Musibah kedua selepas perang dunia kedua di Jepun.  Sebagai sebuah negara yang terletak dalam lingkaran api pasifik rakyat Jepun sememangnya sudah tidak asing lagi dengan gegaran dan gempa. Rakyat Jepun yang rajin dan inovatif sudah sekian lama berdepan dengan kemusnahan bangunan disebabkan gempa bumi dan tsunami, sebagai sebuah negara yang maju kerajaan Jepun telah berjaya membina bangunan yang tahan gegaran. Sudah terbiasa dengan siren amaran, rakyat Jepun tidak terkejut dengan tsunami yang  selama ini tidak mampu menggugat aktiviti harian mereka. 
Tetapi kali ini Tsunami yang jauh merantau ke serata dunia telah kembali ke Jepun, tempat  gelombang raksasa mendapat nama. Tsunami kembali dengan ganas dan meranapkan apa yang ada didepannya. Biarpun kemusnahan tidak sehebat Aceh tetapi ia tetap dapat menghanyutkan rumah, kenderaan juga membawa kapal naik ke darat. Bagaikan diserang raksasa, warga Jepun gagal diselamatkan oleh Ultraman mahupun keajaiban Doraemon, Sendai lumpuh bersama Miyagi, Awate dan Amore.
Apa yang dilaporkan oleh media sebenarnya tidak memperlihatkan situasi sebenar yang berlaku di Jepun... Rakyat Jepun sudah terperangkap di zon bencana. Laluan bawah tanah tersekat, jalanraya terputus dan lapangan terbang dipenuhi air, keperluan harian tidak dapat diperolehi. Penduduk tidak dapat lari ke mana- mana, ada yang terpaksa menumpang di rumah rakan- rakan kerana kediaman sendiri sudah rosak, yang mendiami tingkat 10 pangsapuri sekalipun tidak terlepas dimasuki air.
 Dalam suhu yang sejuk, kediaman penduduk memerlukan gas untuk memanaskan rumah dan air untuk mandian, dalam ura- ura gangguan gas akan berlaku rakyat Jepun terpaksa berdepan dengan ancaman loji tenaga yang diketahui sudah dua buah yang bocor, kawasan 10 km dikosongkan untuk mengelakkan kesan radiasi. Keadaan di Jepun masih kelam kabut, kebakaran di di sana sini, pelajar asing tidak tahu ke mana hendak dituju.. ramai yang kecewa dan bertindak bunuh diri kerana tidak sanggup meratapi kemusnahan rumah, perniagaan dan kehilangan ahli keluarga.
Trauma yang dihadapi oleh mangsa tsunami Jepun sebenarnya melebihi daripada apa yang dilaporkan oleh kedutaan asing.. dengan sinis kawan di Jepun berkata “seandainya lapangan terbang boleh digunakan, pihak kedutaan asinglah orang pertama yang meninggalkan Jepun”.

Wednesday, March 9, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

10 Mac 2011 akan menjadi sejarah kepada industri perfileman tanah air sebagai tarikh penayangan sebuah filem epik yang menelan belanja RM 8 juta, iaitu satu angka yang mungkin termahal oleh penerbit Malaysia yang kebiasaannya membuat filem dengan bajet bawah RM 1 juta malahan ada penerbit yang boleh buat filem dengan perbelanjaan RM200 ribu sahaja. Dengan belanja paling murah dimata Hollywood tetapi dapat dilayar perakkan sebagai sebuah filem bertaraf Antarabangsa. Jangka masa untuk menyiapkan filem Hikayat Merong mahawangsa (HMM) adalah selama 2 tahun termasuk kerja- kerja studio, akhirnya ia dapat di tayangkan kepada umum.
Biarpun tidak melihat previewnya bersama karyawan dan artis tanah air tetapi hanya melihat iklan, sedutan dan wawancara dengan pihak- pihak tertentu, cukuplah kita merumuskan nama judulnya sahaja buat kita rasa gerun dan tabik kepada mereka yang sanggup memfilemkannya.
Jika diingat waktu kecil dulu kita pernah terjumpa sebuah buku lama dengan gambar burung garuda mengeluarkan api dari mulutnya menyerang sebuah kapal dan dari situ keterujaan untuk terus membaca buku dengan bahasa klasik yang memerlukan kita berfikir menyebabkan kita tidak meneruskan membaca buku tebal itu hingga akhir.
Tetapi di tangan karyawan yang serius setelah dibuat kajian dan perbincangan dengan pelbagai pihak maka seluruh isi cerita dongeng dan mitos yang terdapat dalam HMM telah berjaya di tafsir sebagai benar dan logik.
Sebenarnya kisah seperti ini sentiasa menjadi idaman dan cita- cita seorang pengarah yang bersemangat nasionalis atau yang bertanggungjawab terhadap apa yang divisual untuk ditonton oleh masyarakat. Tidak semua pengarah yang bertuah untuk mendapat tawaran dari penerbit yang sealiran tambahan pula filem seumpama itu adalah rumit, memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak sepadan dengan punggutan tiket yang terjual menyebabkan kebarangkalian penerbit akan rugi besar dan gulung tikar.
Jika disorot kepada perjalanan filem di negara kita sebenarnya telah ada usaha memfilemkan sejarah kegemilangan tokoh juga kerajaan lampau sebagaimana dizaman filem hitam putih yang menayangkan filem Hang Tuah, Sultan Mahmud mangkat dijulang, Tun Fatimah, Singapura dilanggar todak dan banyak lagi. Begitu peranan pemimpin negara telah berjaya memberi ruang untuk filem yang baik seperti Raja Bersiong, Bukit Kepong, Mat Salleh Pahlawan Sabah dan beberapa buah filem lagi yang membangkitkan semangat kebangsaan
HMM telah melegakan pencinta khazanah negara bangsa, sejarah Langkasuka telah kembali menjadi milik tempatan setelah tercalar diusik penerbit Thailand yang membuat filem tentang kerajaan Melayu Pattani dengan judul "Langkasuka"
Dengan kreativiti dan rancangan perniagaan yang baik oleh KRU Productions, filem sejarah tentang kehebatan bangsa tidak lagi berkisar tentang penonton tempatan sahaja, HMM turut ditayangkan di 72 negara dan ia memberi kredit yang cukup memberangsankan untuk filem Malaysia. HMM memartabatkan kesultanan Kedah setaraf dengan kerajaan hebat yang pernah wujud iaitu Rom dan China.. Begitu berjayanya propaganda melalui filem yang bermutu dan semoga kerajaan terus menyokong usaha karyawan negara yang memberi impak positif kepada agama, bangsa dan negara.

Sunday, March 6, 2011

"Senjakala" telah tiada di N28 Kerdau..

Kalau tidak kerana pilihanraya kecil N28 Kerdau, tak mungkin kita menjejakkan kaki ke daerah yang begitu terkesan di hati setiap orang yang membaca Novel berjudul 'Senjakala' hasil dari penulis Baharuddin Kahar yang pernah memenangi hadiah karya sastera 1976, sayembara cerpen Esso-Gapena 1982 dan penerima "Zamalah Sastera"1985.
Ketika berada di Kg Batu Sawar berhampiran Gunung Senyum kita tertanya sendiri dimanakah ruang penceritaan 'Senjakala' yang kita kira satu tempat berkisar kisah kegigihan kinto, seorang pemburu tua yang turun berburu selama lebih seratus hari kerana ingin mendapatkan daging rusa untuk anak gadisnya Dasima yang sedang sakit. Dalam novel ini dilukiskan kecekalan hati seorang manusia yang tidak mahu menerima kekalahan, tentang harga diri dan kasih sayang. ia juga mencakup hubungan manusia dengan tuhannya, alam dan sesama manusia. Di atas segala- galanya tersimpan falsafah tentang proses pencarian diri, tentang kewujudan kita yang perlu menerima erti kekalahan bersandarkan kesedaran pada keagungan tuhan. Cinta yang patah dengan segala macam kompleksitinya, rendah diri seorang lelaki dengan rindu dan cintanya yang tak sampai. 
Kemanakah menghilangnya landskap perlukisan dalam novel itu, di manakah belantara luas  hingga menghampiri kota Gelanggi dan Jerantut, apa yang melegakan sedikit adalah pengisahannya juga dimasukkan tentang pembukaan tanah yang tak terhalang dan ia direalisasikan dengan terbentangnya tanah ladang kelapa sawit oleh FELDA, sedarlah kita bahawa lokasi novel 'Senjakala' tetap disitu, ianya menjadi rekod yang mungkin boleh dibuat rujukan oleh penduduk daerah Kuala Krau.
Dalam masa sesingkat berada di daerah antara paling pedalaman di Semenanjung ini, kita tertanya- tanya masih adakah binatang buruan seperti dalam novel indah itu... segalanya terjawab apabila seorang peneroka yang mengusahakan sawit menunjukkan gambar kancil dan pelanduk di skrin telefonnya yang baru ditembak cuma dia mengakui amat sukar untuk menemui rusa sebagaimana sukarnya perburuan oleh Kinto.
Barangkali novel Senjakala juga bolehlah membawa mesej kepada parti politik yang bertanding bahawa menang dan kalah adalah lumrah hidup... dan kekalahan lebih memeritkan bagi parti yang ego dan taksub untuk mendapat kemenangan... dihari terakhir kita dapat melihat Gunung Senyum yang di dalam novel adalah sentiasa berkabus dan tidak selalunya dapat dilihat dengan jelas tetapi kini di tepi jalanraya berhampiran stesyen minyak Petronas Gunung Senyum dapat dilihat oleh sesiapa sahaja dengan jelas sekali.... hingga ada rakan yang berkata gunung ini tidak senyum lagi tetapi lebih dilihat sedang ternganga atau meraung......

Friday, March 4, 2011

Pertandingan Keceriaan Tandas Negara..

Walaupun tandas diketahui sudah digunakan sejak tahun 4000sm di Rom tetapi penciptaan tandas yang berkesan adalah lebih terkemudian daripada terbinanya Istana yang Indah di England yang menyebabkan ketika itu pewangi yang banyak digunakan untuk melawan bau yang tidak menyenangkan dari tandas Istana hinggalah terciptanya bentuk 'S' yang menghalang bau daripada keluar dari tempat perkumuhan dihantar. hari ini permasalahan tempat pembuangan sudah tidak menjadi masalah, tetapi sikap bertanggungjawab kepada kebersihan tandas masih lagi rendah dan kerana itulah kita terdetik untuk perkatakan sedikit tentang ruang kecil ini.
Kita tidak pasti adakah pernah dibuat pertandingan keceriaan tandas atau bilik air di peringkat daerah, negeri ataupun negara. Terlintasnya apa yang dimaksudkan adalah apabila terfikirkan kenapa masih berlaku orang yang lebih selesa membuang air kecil di belakang tandas atau dipangkal pokok tepi- tepi jalan, ianya dilakukan oleh orang lelaki dan seingat kita belum lagi melihat wanita yang berbuat demikian. Perkara ini berlaku adakah kerana sikap pengotor si pelaku ataupun keadaan tandas yang tidak tergamak untuk dimasuki. kita lupakan tentang pelbagai gambaran yang menjijikkan di dalam tandas awam dan kita bayangkan bilik air yang terdapat dibilik hotel berbintang... wahh tentunya nyaman dan melegakan berada di dalamnya.
Kita cadangkan agar Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengadakan pertandingan keceriaan bilik air dan tandas di semua peringkat pentadbiran dan bolehlah di kategorikan untuk menyertai pertandingan yang dikelaskan mengikut kediaman, pejabat, pasar raya, rumah ibadat, tempat awam, hotel dan lain lain kategori yang sesuai. Penganjur juga hendaklah menyediakan hadiah yang bukan sahaja menarik tetapi juga boleh mendorong penjagaan yang berterusan seperti tawaran kewangan untuk menjaga kebersihan, pembekalan alatan mencuci bilik air percuma untuk masa yang lama dan ganjaran- ganjaran yang difikirkan bersesuaian.
Sebagai tempat yang paling penting dan menjadi keperluan wajib bagi setiap manusia, tandas seharusnya menjadi tempat hentian rehat atau melepas tekanan, ia juga boleh menjadi tempat menukar emosi yang negatif menjadi positif selepas keluar dari bilik air. Tandas atau dalam bahasa Inggrisnya popular dengan panggilan rest room boleh juga menjadi tempat membaca yang selesa sementara menunggu giliran untuk menggunakannya. Kerajaan juga boleh memperkenalkan tindakan denda atau meroboh tandas dan bilik air yang terlalu kotor dan menyebarkan penyakit dengan cara ini tuan punya bank pelaburan akan sentiasa memberi perhatian kepada penjagaannya.
Agak tidak kena dan sedikit terguris hati sekiranya tandas tempat ibadat menjadi buah mulut sebagai tempat paling kotor dan tidak selesa, kita juga tidak mahu menjadi juara dalam pembangunan kemudahan awam tetapi masih lemah dalam menguruskan penjagaan tandas awam, disamping itu juga penganjur boleh menyediakan imbuhan kepada pengguna yang membantu kepada kebersihan tandas untuk dijadikan role model kepada pengguna kemudahan tandas awam. Selari dengan tuntutan agama kebersihan tandas masjid ini sebenarnya memberi kelebihan pahala yang banyak kepada orang yang menjaganya dan bertepatan juga dengan tips dari Dr Fadzilah Kamsan yang mengatakan bahawa hati yang keras boleh dilembutkan dengan membiasakan diri mencuci bilik air.