Selasa, 17 Oktober 2017

Siti Nurbaya dan Teluk Bayur

Mungkin ramai yang pernah dengar nama Siti Nurbaya, sama ada dalam puisi, novel, pementasan atau filem. Siti Nurbaya adalah watak Lagenda seorang wanita di Sumatera Barat yang hidup di zaman Penjajahan Belanda, ia kisah cinta yang tak kesampaian, Siti Nurbaya yang terpaksa berkahwin dengan Datuk Maringgih demi melangsaikan hutang perniagaan ayahnya Baginda Sulaiman, Siti Nurbayah mengalami pelbagai kesusahan sebelum akhirnya mati dan di kuburkan di Gunung Padang.

         
Teluk Bayur pula adalah sebuah teluk yang dibina Pelabuhan yang sibuk. Pelabuhan Teluk Bayur dibina secara paksa oleh pemerintah dengan menggunakan banduan yang diikat kaki, tanpa kebajikan dan makanan yang berkhasiat menjadikan setiap hari memakan airmata dan nyawa para banduan. Teluk Bayur inilah tempat Siti Nurbaya menghantar kekasihnya Samsul Bahri menyambung pelajaran ke Batavia (Jakarta) dengan penuh kasih dan berharap akan bertemu lagi. Samsul Bahri menerima surat yang menyedihkan dari kekasihnya, bermula dari itulah kesengsaraan Siti Nurbaya dan Samsul Bahri bermula. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku hingga membawa kepada kematian Siti Nurbayah. Setelah tamat belajar Samsul Bahri menjadi Leftenan Tentera. Tugasan sebagai menjaga keamanan negara telah mempertemukan Samsul Bahri dengan Datuk Maringgih yang ketika itu membuat kekacauan di Padang. Samsul Bahri berjaya membunuh Datuk Maringgih tetapi dia juga tercedera dan akhirnya meninggal dunia dan mewasiatkan kepada ayahnya Sutan Mahmud Syah agar dikuburkan bersebelahan dengan kubur Siti Nurbaya di Gunung Padang tepi Teluk Bayur..


Jambatan Siti Nurbayah dan Teluk Bayur akan dikunjungi pada lawatan kali kedua saya ke Minangkabau nanti.. Insyaallah.

 Syair Surat Rindu Samsul Bahri kepada Sitti Nurbaya
(Sepucuk surat, Jakarta, 10 Agustus 1896)

Awal bermula berjejak kalam
Pukul sebelas suatu malam
Bulan bercaya mengedar alam
Bintang bersinar laksana nilam

Langit jernih cuaca terang
Kota bersinar terang benderang
Angin bertiup serang-menyerang
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak berganti-ganti
Cepat melayang tiada berhenti
Menuju selatan tempat yang pasti
Sampai ke gunung lalu berhenti

Udara tenang hari pun terang
Sunyi senyap bukan sebarang
Murai berkicau di kayu arang
Merayu hati dagang seorang

Guntur menderu mendayu-dayu
Pungguk merindu di atas kayu
Hati yang riang menjadi sayu
Pikiran melayang ke tanah Melayu

Angin bertiup bertalu-talu
Kalbu yang rawan bertambah pilu
Hati dan jantung berasa ngilu
Bagai diiris dengan sembilu

Tatkala angin berembus tenang
Adik yang jauh terkenang-kenang
Air mata jatuh berlinang
Lautan Hindia hendak direnang

Jika dipikir diingat-ingat
Arwah melayang terbang semangat
Tubuh gemetar terlalu sangat
Kepala yang sejuk berasa angat

Betapa tidak jadi begini
Ayam berkokok di sana-sini
Disangka jiwa permata seni
Datang menjelang kakanda ini

Disangka adik datang melayang
Mengobat kakanda mabuk kepayang
Hati yang sedih berasa riang
Kalbu yang tetap rasa bergoyang

Lipur segala susah di hati
Melihat adikku emas sekati
Datang menjelang abang menanti
Dagang merindu bagaikan mati

Silakan gusti emas tempawan
Sila mengobat dagang yang rawan
Penyakit hebat tidak berlawan
Sebagai kayu penuh cendawan

Silalah adik, silalah gusti
Sila mengobat luka di hati
Jika lambat adik obati
Tentulah abang fana dan mati

Tatkala sadar hilang ketawa
Dagang seorang di tanah Jawa
Rasakan hancur badan dan nyawa
Nasib rupanya berbuat kecewa

Di sana teringat badan seorang
Jauh di rantau di tanah seberang
Sedih hati bukan sebarang
Sebagai manik putus pengarang

Tunduk menangis tercita-cita
Jatuh mencucur air mata
Lemah segala sendi anggota
Rindukan adik emas juita

Teringat adik emas sekati
Kanda mengeluh tidak berhenti
Rindu menyesak ke hulu hati
Rasa mencabut nyawa yang sakti

Terkenang kepada masa dahulu
Tiga bulan yang telah lalu
Bergurau senda dapat selalu
Dengan adikku yang banyak malu

Sekarang kakanda seorang diri
Jauh kampung halaman negeri
Duduk bercinta sehari-hari
Kerja lain tidak dipikiri

Tetapi apa hendak dikata
Sudah takdir Tuhan semesta
Sebilang waktu duduk bercinta
Kepada adikku emas juita

Setelah jauh sudahlah malam
Kakanda tertidur di atas tilam
Bermimpi adik permata nilam
Datang melipur gundah di dalam

Datanglah itu seorang diri
Tidur berbaring di sebelah kiri
Kakanda memeluk intan baiduri
Dicium pipi kanan dan kiri

Tiada berapa lama antara
Dilihat badan sebatang kara
Abang terbangun dengan segera
Hati yang rindu bertambah lara

Guling kiranya berbuat olah
Lalu mengucap astagfirullah
Begitulah takdir kehendak Allah
Badan yang sakit bertambah lelah

Memang apa hendak dibilang
Sudahlah nasib untung yang malang
Petang dan pagi berhati walang
Menanggung rindu beremuk tulang

Walaupun sudah nasib begitu
Tiada kanda berhati mutu
Gerak takdir Tuhan yang satu
Duduk bercinta sebilang waktu

Jauh malam hampirkan siang
Mataku tidak hendak melayang
Di ruang mata adik terbayang
Hati dan jantung rasa bergoyang

Ayam berkokok bersahut-sahutan
Di sebelah barat, timur, selatan
Hatiku rindu bukan buatan
Kepada adikku permata intan

Di situ terkenang ibu dan bapa
Adik dan kakak segala rupa
Handai dan tolan kaya dan papa
Timbul di kalbu tiada lupa

Begitulah nasib di rantau orang
Susah ditanggung badan seorang
Sakit bertenggang bukan sebarang
Sebagai terpijak duri di karang

Setelah siang sudahlah hari
Berjalan kakanda kian kemari
Tak tahu apa akan dicari
Bertemu tidak kehendak diri

Diambil kertas ditulis surat
Ganti tubuh badan yang larat
Kesan nasib untung melarat
Kepada adikku di Sumatra Barat

Dawat dan kalam dipilih jari
Dikarang surat di dinihari
Ganti kakanda datang sendiri
Ke pangkuan adik wajah berseri

Wahai adikku indra bangsawan
Salam kakanda dagang yang rawan
Sepucuk surat jadi haluan
Ke atas ribaan emas tempawan

Mendapatkan adik paduka suri
Cantik manis intai baiduri
Di padang konon namanya negeri
Duduk berdiam di rumah sendiri

Jika kakanda peri dan mambang
Tentulah segera melayang terbang
Menyeberang lautan menyongsong gelombang
Mendapatkan adik kekasih abang

Menyerahkan diri kepada adinda
Tulus dan ikhlas di dalam dada
Harapan kakanda jangan tiada
Mati di pangkuan bangsawan muda

Adikku Nurbaya permata delima
Dengan berahi sudahlah lama
Hasrat di hati hendak bersama
Dengan adikku mahkota lima

Hendak bersama rasanya cita
Dengan adikku emas juita
Jika ditolong sang dewata
Di dadalah jadi tajuk mahkota

Tajuk mahkota jadilah tuan
Putih kuning sangat cumbuan
Menjadikan abang rindu dan rawan
Laksana orang mabuk cendawan

Karena menurut cinta di hati
Asyik berahi punya pekerti
Sungguhpun hidup rasakan mati
Baru sekarang kanda mengerti

Dendam berahi sudahlah pasti
Tuhan yang tahu rahasia hati
Kakanda bercinta rasakan mati
Tidak mengindahkan raksasa sakti

Siang dan malam duduk bercinta
Kepada adikku emas juita
Tiada hilang di hati beta
Adik selalu di dalam cipta

Jiwaku manis Nurbaya Sitti
Putih kuning emas sekati
Tempat melipur gundah di hati
Ingin berdua sampaikan mati

Tidaklah belas dewa kencana
Memandang kanda dagang yang hina
Makan tak kenyang tidur tak lena
Bercintakan adik muda teruna

Rindukan adik paras yang gombang
Siang dan malam berhati bimbang
Cinta di hati selalu mengembang
Laksana perahu diayun gelombang

Setiap hari berdukacita
Terkenang adinda emas juita
Sakit tak dapat lagi dikata
Sebagai bisul tidak bermata

Tiada dapat kakanda katakan
Asyik berahi tak terperikan
Adik seorang kakanda idamkan
Tiada putus kakanda rindukan

Rusaklah hati kanda seorang
Rindukan paras intan di karang
Dari dahulu sampai sekarang
Sebarang kerja rasa terlarang

Pekerjaan lain tidak dipikiri
Karena rindu sehari-hari
Tiada lain keinginan diri
Hendak bersama intan baiduri

Ayuhai adik Sitti Nurani
Teruslah baca suratku ini
Ilmu mengarang sudahlah fani
Disambung syair surat begini

(dalam bab VII. Surat Samsul Bahri kepada Nurbaya)

Ahad, 21 Mei 2017

Kurasai... deman denggi.

Saya tinggal di tepi perbukitan dan setiap malam berhadapan dengan nyamuk sememannya saya sentiasa ada bekalan air Isotonik di dalam peti ais dan itulah senjata saya mengekalkan kelangsungan dan tidak takut dengan gigitan nyamuk. saya selesa dengan hidup dikelilingi naungan pokok pokok yang menyejukkan mata.


Tapi malang dan sakit tidak pernah memberi salam untuk menghinggapi diri sesiapa sahaja, lebih kurang seminggu selepas majlis perkahwinan, saya  mengalami deman yang teruk, suntikan dan ubat selama dua minggu masih tidak dapat meredakan deman. saya mula mengesyaki bukan deman biasa yang dialami, bila tiba waktu petang saya terlantar, isteri jerang kepala dan lap badan dengan air sejuk, gejala sakit kepala yang teruk, bahagian belakang mata serta otot otot sendi serta tulang menjadi sakit, muntah yang kerap dan kurang selera makan. Tetapi yang membuatkan saya masih percaya deman yang saya alami adalah deman biasa kerana tiadanya ruam dan merah merah dikulit saya. 

Tetapi kerana ingin kepastian saya membuat pemeriksaan darah. Selepas 20 minit dianalisa, sah saya kena denggi. saya dinasihat ke hospital tetapi saya memilih rawat sendiri, makan sup ketam nipah, minum air perahan daun betik dan banyak minum air 100 plus.


Dalam badan masih lagi tidak sihat saya dan isteri terbang ke Kuching, makan ketam.. dan rehat disana seperti perancangan awal, pun begitu deman denggi sangat berlarutan, berjalan sekejap sudah letih, makan sedikit sudah tak selera. Dengan kepayahan itu saya dapat merasai betapa teruk dan peritnya bagi sesiapa yang mengalami deman denggi.

Semoga denggi tidak menyapa kita semua.. "Tiada Aedes Tiada Denggi"


Isnin, 24 April 2017

Israk Mikraj... Penawar kedukaan.

24 April 2017 adalah hari memperingati peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah - Madinah - Bukit Tur Sinai - Baitul Laham - Langit 1,2,3,4,5,6 &7 - Sidratul Muntaha. Suatu peristiwa yang sangat Agung sangat luarbiasa tetapi benar. Kisah yang sangat menarik yang mengesahkan ketinggian darjat Nabi Muhammad s.a.w yang mengatasi seluruh makhluk termasuk malaikat disisi Allah swt. Peristiwa yang sangat penting kepada umat Nabi s.a.w ini juga dijadikan tarikh Pertabalan SPB Yang Dipertuan Agong Malaysia dan cuti umum seluruh negara.
Israk dan mikraj ini juga boleh dikatakan kehendak Allah s.w.t untuk menghibur hati kekasihnya yang mana sebelum kejadian itu terjadi Rasulullah s.a.w mengalami dua kedukaan iaitu kematian isteri tercinta Siti Khadijah dan juga bapa saudara yang sentiasa melindunginya iaitu Abu Talib pada malam 27 Rajab, Allah s.w.t memberikan wahyu kepada Malaikat Jibril a.s., "Janganlah engkau (Jibril) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini." Malaikat Jibril a.s. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" Allah s.w.t berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibril. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Sangat hebat dan menginsafkan apa yang berlaku pada peristiwa tersebut. Tidak ada bandingannya dengan apa sahaja peristiwa hebat lain yang terjadi sepanjang kehidupan anak cucu nabi Adam a.s. 

Dalam kehidupan ini, pelbagai cara yang Allah s.w.t boleh berikan kepada sesiapa jua yang diinginkan. Alhamdulillah 3 hari yang lalu Allah s.w.t juga telah mencampakkan suatu kegembiraan dan hijrah ke arah yang lebih bermakna dalam hidup saya. Hampir tiada cerita lagi, hanya rasa syukur dan penerimaan dengan ketentuan, kegagalan, kekecewaan, pahit, manis menjalani dan merasai hidup dalam kesepian, keriangan, harapan dan keseorangan akhirnya takdir dan ketentuan menoktahkan perjalanan hidup yang lalu.
                                      
Alhamdulillah penyatuan kami mendapat restu dan sokongan kuat dari semua anak pihak Isteri seramai 5 orang dan 6 orang cucu.

Saya juga tidak menghadapi masalah dengan penerimaan yang sangat baik dari 2 orang anak perempuan dan buat pertama kali anak kedua sanggup terbang berseorangan semata mata untuk hadir ke majlis kami. 
Majlis sederhana dengan dihadiri saudara mara terdekat dan sebahagian kecil rakan rakan seharian ini amat meriah dengan kemesraan dan rasa syukur. 

Alhamdulillah.. sedikit benar yang dirancang namun ketentuan Allah memudahkan penyatuan saya dan isteri, pandangan dan kata- kata yang sebahagiannya memberi kebaikan dan keyakinan kepada kami, atas suratan dan ketentuan bahawa yang terbaik itu adalah rahsia dan kehendaknya jua. Semoga hijrah ini lebh bermakna kepada kami, keluarga, rakan- rakan dan semua yang pernah mengenali saya dan isteri...




Jumaat, 13 Januari 2017

Fenomena masih ku ingat..


Terima mesej daripada anak... "Baba, tahun baru cina ni,, nak ke tempat adik, tiket flight murah.." Ohh.. rupanya dah dekat setahun kakak tak ke sana. "Tak payahlah baru saja jumpa adik di KL haritu... tiket murah apanya musim perayaan.. balik Kelantanlah.. cuti pun bukan lama sangat.." mengimbau tentang adik, Baba masih ingat macam mana berbelas tahun dulu Baba dan adik yang waktu itu berumur 4 tahun jadi teman Baba bekerja membuat corak dinding di rumah- rumah kawasan sekitar Hulu Langat, Selangor. Habis bekerja kami mandi di Sungai Congkak.. adik main daun daun kayu dalam air dan berkata.. "payung..payung.." dan meletakkan daun besar di kepalanya, gelagat itu masih segar diingatan dan watak itulah yang masih Baba anggap penghujung musim musim bersama adik, walaupun kini adik dah besar tapi Baba masih melihat adik yang dulu adalah yang paling dirindu.. dan watak waktu itulah yang sering menjelma dalam mimpi mimpi walaupun hakikatnya adik dah remaja dah tidak lagi bergantung dengan Baba...

Waktu itu adik menemani Baba ke lembah Kelang dan Kakak pula darjah 1. Tanpa rasa penat berulang alik dengan V6 plat WGB20 mencari rezeki. Satu yang paling adik suka dan adik akan menyanyi bila Baba pasang CD lagu fenomena... adik akan ikut ikut dengan kuat.. kami berdua alunkan korus "....suuulitnyaa memikirkan perasaan ini datangg...." haha..
Bila dah berumur dan anak- anak sudah semakin berdikari ibu- bapa hanya boleh mengenang dan bernostalgia, saat yang tak akan berulang lagi. Hargailah apa yang ada.. alunkan Fenomena.


Isnin, 26 Disember 2016

Damailah di sana Mama..

Hari ini.. Isnin yang muram dalam bulan Disember yang kelabu, pada awalnya saya hendak menulis dan mencatatkan suasana riang dan meriah dalam pertemuan semula rakan rakan Sekolah yang diadakan di Pantai Sri Telong, Bachok kelantan. Namun kesedihan yang menimpa pengasas kumpulan kami Pn Maliza Sidek sangat tersentuh, Maliza yang tidak sempat bersama di pantai Sri Telong akhirnya ditakdirkan masih sempat bersama ibunya yang mana di hari ia sampai ke Bachok dan pada malam itu ibunya kena strok dan keesokan harinya iaitu hari ini telah mengadap ilahi. 

Saya terus disapa sayu bila mana di dalam masjid, saya melihat wajah rakan itu dalam kepenatan, lesu, seharian semalaman di hospital dan masih menyapa kami yang bersama di majlis solat jenazah dan pengkebumian ibunya.. Al Fatihah.

Saya menyorot bagaimana sepinya terasa, lebih lebih lagi kepulangan yang pada awalnya ingin bersama riang ria bersama rakan Reunion tetapi akhirnya menjadi kepulangan untuk bersama ibu buat kali terakhir di dunia ini. Saya mungkin orang yang senang tersentuh lebih lagi saya juga telah melalui kehilangan Adik yang satu ketika dulu dialah satu satunya adik yang selalu bersama saya ke sekolah, mandi sungai dan bermain main di kampung, selepas itu saya leka untuk membalas budi Abah hingga kematian mudah dan mengejutnya sangat membuat saya terkilan sekali lagi, saya juga menyaksikan kematian nenek di rumah kami dan seorang lagi Adik lelaki pergi meninggalkan kami.. kematian yang saya kira menjadi tahun tahun kesedihan membuatkan saya mudah menyoroti perasaan sesiapa yang kehilangan orang tersayang lebih lebih lagi ketika kita tidak menjangkakan.

Semoga rakan kami Pn Maliza Sidek tabah dan redha.. itu yang terbaik untuk Ibu... Mawar Putih Untuk Mama..




Khamis, 8 Disember 2016

Rohingya..

Himpunan solidariti Ummah untuk Rohingya telah berjaya membuka mata negara negara Islam dan dunia, rentetan daripada himpunan puluhan ribu ummat yang diadakan di Stadium Titiwangsa menyebabkan O.I.C segera merencanakan pertemuan peringkat menteri luar negara- negara Islam. Himpunan tersebut juga telah menyebabkan pelbagai pihak dari negara Indonesia turut menggesa pemimpin mereka mengambil tindakan sebagaimana dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak bersama presiden PAS Dato seri Hadi Awang turut memberi tamparan dan sinis kepada pembangkang yang terpaksa mengakui kebenaran dan kesan positif kepada pihak yang mengatur himpunan tersebut.

Perbualan dengan seorang yang menyokong himpunan tersebut. Dia terkenang seorang kawan muslim dari Myanmar yang lama bekerja di Malaysia, sudah mempunyai kereta dan kewangan yang agak baik tetapi telah menjual semua asetnya untuk pulang ke Arakan disebabkan percaya Junta tidak akan dapat bertindak sewenangnya setelah Aung San Su Kyi mendominasi dan memenangi politik Myanmar. Dia percaya rakannya itu berkemungkinan menerima nasib malang di sana.
Sejarah orang Rohingya dikatakan bertarikh dari awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah sedikit.
Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal. Ketika itu mereka lebih berpengetahuan berbanding orang tempatan di Burma dan kepakaran mereka diperlukan oleh pemerintah di situ.
Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang kaya dan berpengaruh, merupakan setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah juga ahli-ahli parlimen dalam kabinet U Nu.
Permulaan kesengsaraan etnik Rohingya di Arakan adalah apabila Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Benggali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke- 19 ketika pemerintahan Britain.
Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara. Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.
Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak.
Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.
Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran.
Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan.
Ethnik Rohingya adalah beragama Islam sunni, orang Islam mesti merasai kesukaran mereka kerana ia adalah saudara mara kita apalagi raut wajah dan kesukaran mereka tidak jauh bezanya dengan orang Melayu era 70an dan 80an. 

Rabu, 12 Oktober 2016

Zaman Kaset dan Pensil

Sesiapa yang membesar di zaman kaset atau dipanggil tali kaset, sudah tentu tidak lupa akan pengaruhnya dalam mengiringi perjalanan hidup dan siulan anak remaja yang sezaman. Saya juga antara yang membesar di era tersebut. Peranan kaset bertambah dalam hidup.. dengan cintan cintun, frust menonggeng dan iringan lagu pop membuatkan kaset seiring dalam kehidupan harian tambahan pula tinggal di rumah sewa dengan pelbagai gaya rock kapak. Di era 80an dan 90an banyak kumpulan Rock lentok meleleh muncul yang mana ada yang masih bertahan sehingga ke hari ini antaranya seperti Search, Wing, Bumiputera Rockers, Alleycats, May.. ada juga antara kumpulan yang dulunya popular tapi kini sudah hilang seperti Junction, G.E.T, Massa, Fotograf, Zabarjad, Gersang, Vagrant, Mega.. waktu itu berpuluh puluh kumpulan band muncul silih berganti.
Sesiapa yang punya minat mendalam pula akan membeli walkman namun satu yang pasti dan tidak dapat dipisahkan adalah kaset dan pencil... guna pensil atau pen yang sepadan untuk rewind dan forward yang lebih baik daripada menggunakan kaset recorder untuk mengelakkan tali kaset kusut atau rosak. Satu yang biasa dibuat adalah merakam lagu daripada radio, satu rancangan yang ditunggu tunggu adalah Pujaan 10 Nescafe, jari bersedia menekan serentak butang Play + Record. Saya juga pernah meghadiahkan lagu yang diulang ulang kepada seseorang iaitu "Pertama dan Terakhir" oleh GET.


Khamis, 22 September 2016

Lada Pahit yang banyak khasiat..

Dulu nya kecil.. tiba tiba tengok hari ni dah tinggi,, berbuah dah pokok ni, tumbuh dicelah pokok hujan- hujan kat penjuru pagar.. pada mulanya kita menyangka kegunaanya untuk luaran sahaja iaitu kegunaan daun untuk kulit bermasalah. tapi rupanya buah lebih bermanfaat dalam mencegah dan menyembuhkan pelbagai masalah dalaman badan yang antara lain boleh dijumpai dalam Internet yang mana khasiat "Lada Pahit" antaranya adalah daunnya, bijinya boleh dimakan (mengikut dos tertentu) sebagai penawar kepada banyak penyakit seperti berikut:

1. Kencing manis atau diabetes
2. Darah tinggi
3. Sakit jantung
4. Lelah (asthma)
5. Sakit sendi
6. Gout
7. Resdung
8. Tiriod
9. Sembelit/buasir
10. Senggugut wanita
11. Masalah penglihatan
12. Mencegah pembentukan batu karang
13. Melancarkan darah & mengawal kolestrol.


Pada tahun 1900 Dr Mouget dari Perancis telah bejaya menyembuhkan 871 dari 879 pesakit ' dysentery 'dengan mengunakan melada pahit di sebabkan orang orang cina mengunakannya.(English: In1900, a French doctor, Dr Mouget of Saigon had reported that he had cured 871 out of 879 cases of dysentery by using Brucea, because the Chinese used it.) Selain dari itu ia juga berupaya menambah tenaga dan anti pembiakan sel-sel kanser seperti daunnya. Lada pahit juga berkesan sebagai pencegah prostat dan penyakit batu karang yang selalu menjadi masalah terutamanya pada lelaki yang semakin lanjut usia. Pengambilan lada pahit secara berkala dan berterusan mampu mengawal penyakit dan mengekalkan tahap kesihatan sesiapa yang mengamalkan lada pahit.

Seorang yang ada penyakit kencing manis dan dia makan 5 biji pagi dan malam dari pokok yang ditanam dibelakang rumah, dia tidak pernah makan ubat moden yang banyak mempunyai kesan sampingan. Dia sangat aktif dan sihat dan tiada siapa tahu pun dia ada sakit kencing manis (English: My father had diabetes and he always take five fruits in the morning and evening, he never takes modern medicine and he is very active and healthy despite of his age).
Katanya sebelum zaman British, dahulu tidak ada orang kena potong kaki kerana kencing manis, mereka semua makan ubat tradisional yang tumbuh liar di kampong halaman.(English: According to my father, before the British came with modern medicine, people with diabetes and their leg been amputated is unheard off. They take traditional medicine from plants that grows wild in their village)

Pada zaman dahulu kaum wanita yang berpenyakit payudara bernanah (sekarang dipanggil kanser payudara) akan diberi makan buah melada pahit disebelah pagi dan malam. Zaman sekarang kebanyakkan orang telah meninggalkan terus ubat peninggalan nenek moyang kita ini.(English: Brucea javanica well known in rural areas as carbuncle medicine and it is proven very effective. Before the arrival of modern medicine women with breast cancer will be asked to eat the fruits in the morning and evening to cure the disease. Sadly, nowadays the tree has been forgotten and people depend solely on modern medicine).
Benarlah pepatah mengatakan bahawa yang pahit itu adalah penawar.. semakin pahit semakin banyak khasiat perubatan, selamat menjalani kepahitan untuk hidup yang sihat.

Sabtu, 3 September 2016

Kuasa Facebook

Sejujurnya sudah lama saya tidak membeli akhbar kegemaran iaitu Utusan Malaysia, bukan kerana bahanya tidak lagi digemari atau sudah ada akhbar lain menjadi pengganti, tetapi sejak menjadi pelanggan tetap akhbar berkenaan bermula dengan harga rm0.60 hinggalah saya hanya membeli akhbar Mingguan Malaysia pada hari ahad sahaja. Utusan memang banyak mempengaruhi pemikiran saya dan saya sememangnya gemar membaca terutama pengetahuan am sejak dari sekolah dan minat berkenaan membuatkan saya boleh menghafal ibu negara dunia hanya dengan menyebut nama negara di dunia ini. 
Kerenganan saya bersama media cetak atau akhbar adalah disebabkan munculnya penyebar berita paling pantas dan terkini iaitu Facebook. disini ingin saya kongsikan artikel berkenaan Facebook yang mungkin maklumatnya sudah sedikit terkebelakang tetapi masih sangat sesuai untuk diambil manfaatnya. artikel ini saya simpan berasinagn dan terupa untuk menyalin urlnya.

Cetusan revolusi Internet yang bermula sekitar tahun 1990-an telah berjaya mengubah landskap sosioekonomi dunia. Letusannya yang hebat bak gunung berapi di Iceland telah merubah cara kita bekerja, berkomunikasi, bersosial, malah berhibur. Daripada remaja berkulit putih di restoran Starbucks di Broadway, New York hinggalah remaja kulit sawo matang di makmal komputer sekolah di tanah tinggi Bario, Sarawak — kedua-dua kumpulan ini sama-sama merasai gegaran revolusi tersebut.

Namun tanpa disedari, gempa susulan daripada gegaran itu sedang dan bakal kita rasai. Gempa itu membawa satu lagi fenomena hasil kerja tangan pemain industri media versi 2.0 atau media sosial. Kini media sosial menjadi buah mulut, bermula dengan tarikan blog dan kini disusuli oleh magnet Facebook.
Malah dalam tempoh kurang tiga tahun kewujudannya, aktiviti bersosial secara maya berjaya menjadi aktiviti paling popular di Internet. Sebelum ini carta aktiviti Internet sekian lama telah diungguli aktiviti muat turun bahan pornografi. Jadi, apakah jampi yang ada pada media sosial yang menjadikannya senjata yang begitu ampuh?
Buktinya, lihatlah betapa bijaksana Presiden Barack Obama menjinakkan media sosial lalu mengenderainya ke Rumah Putih. Daripada seorang senator yang kurang popular pada 2004, kini beliau muncul menjadi antara ikon kulit hitam paling menonjol dalam sejarah dunia.
Sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden 2008, pengundi muda yang menghabiskan masa berjam-jam melayari blog dipukau supaya singgah ke blog parti Demokratik. Mereka disuntik dengan mesej retorik yang menjadi nadi kepada karisma dan pengaruh beliau.
Serentak dengan itu, entiti perniagaan mula berbondong-bondong terjun dalam lautan biru ciptaan Facebook. Dari segi sejarah, laman media sosial paling popular di dunia ini telah diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 2004. Beliau cuma merupakan seorang mahasiswa muda ketika itu.
Beliau pada mulanya menetapkan Facebook hanya bagi kegunaan eksklusif rakan-rakannya di Harvard University. Namun kemudian Facebook diluaskan penggunaannya ke universiti lain seperti di Yale University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Semenjak itu Facebook terus meletup lalu menaiki tangga populariti antara khidmat rangkaian sosial yang paling terkenal di Internet. Kesannya kini sudah melebihi 400 juta pengguna berdaftar Facebook di seluruh dunia, menandingi MySpace, Friendster dan LinkedIn. Malah jika Facebook disamakan sebagai sebuah negara, jumlah populasinya kini adalah yang ketiga paling banyak selepas China dan India. Sebagai perbandingan, laman sosial LinkedIn yang bersifat agak serius cuma mempunyai sekitar 8.5 juta pengguna. Di Malaysia pula, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh CheckFacebook.com, jumlah pengguna Facebook sudah mencecah satu juta orang.
Selain itu, jumlah laman di Facebook sudah mencecah tiga juta. Dari pasar raya besar (hypermarket) seperti TESCO, sehingga ke pasar peniaga ikan terubuk masin, semuanya berlumba-lumba menambah bilangan peminat setiap hari. Satu perkara yang pasti ialah media sosial menjadi jambatan yang menghubungkan pengeluar terus kepada prospek atau pelanggan.

Hal ini sekali gus menafikan peranan iklan dalam media tradisional seperti televisyen yang mencecah puluhan ribu ringgit kos masa siarannya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa Paul Dunay, Pengarah Urusan di syarikat Avaya, berpendapat bahawa Facebook telah mengubah keaslian proses pemasaran.
Di samping itu, berdasarkan penyelidikan terkini terhadap 1 700 orang responden oleh Dr. Utpal Dholakia dari Rice University, syarikat yang menggunakan Facebook didapati berjaya menaikkan jumlah jualan produk atau perkhidmatan.

Bukan itu sahaja, kajian yang diterbitkan dalam Harvard Business Review ini menyatakan bahawa Facebook mampu mempromosikan jenama dan yang lebih penting ialah mengekalkan kesetiaan pengguna.
Selain itu, perkembangan terkini terutama yang bersifat tempatan bagi sesuatu peristiwa boleh dibaca pada dinding umum (wall) di Facebook. Malah kadang-kadang hebahan ini mendahului ketangkasan wartawan akhbar bercetak.

Natijahnya berita sampai kepada kita tanpa perlu diminta. Malah disediakan oleh kenalan kita sendiri (tanpa perlu diupah). Keadaan ini memadamkan sejarah yang dahulunya kita terpaksa beratur bagi membeli akhbar bercetak. Senario ini juga mencetuskan persoalan berkaitan kemandirian media cetak dan majalah yang mungkin bakal berkubur lusa jika tidak esok.

Dari segi rangkuman pula, walaupun Facebook mengehadkan jumlah rakan cuma kepada 5 000 orang, apabila saling berangkai, jumlahnya jauh lebih tinggi. Hal ini adalah kerana setiap rakan mempunyai maksimum 5 000 orang rakan yang lain.

Selain itu, kebergantungan kepada media tradisional seperti siaran televisyen percuma juga semakin terhakis. Kesannya pengendali stesen televisyen juga terpaksa tunduk, akur dengan kehebatan Facebook. Buktinya, kebanyakan rancangan televisyen terutama yang bersifat temu bual mengambil input daripada peminat lamannya melalui Facebook. Sebagai contoh, semasa majlis angkat sumpah Presiden Obama, laporan yang disiarkan langsung oleh Cable News Network (CNN) mendapat 8 500 komen dan bilangan kemas kini status bagi setiap minit di Facebook.
Walaupun secara umum Facebook berjaya menjadi tempat lepak maya rasmi bagi golongan remaja dan belia, statistik pada Februari 2009 pula menunjukkan media ini juga digemari golongan berumur. Buktinya salah satu segmen pengguna yang paling pantas berkembang ialah wanita berumur 55 tahun ke atas.

Selain itu, Facebook juga menawarkan platform pengiklanan percuma bagi mereka yang bijak menggunakannya. Fungsi fan page, group, event dan sebagainya sangat berkesan jika digunakan dengan betul. Namun, bagi mereka yang ingin menyerahkan kerja periklanan produk mereka kepada Facebook, mereka dikenakan bayaran berdasarkan bilangan kali iklan mereka diklik atau dipaparkan.

Justeru model niaga (business model) juga harus bergerak seiring kepantasan maklumat bergerak. Jika tidak, para pelanggan akan mengambil inisiatif sendiri bagi mendapatkan maklumat yang diingini mereka, hanya melalui media sosial. Sejurus dengan itu, Facebook juga bijak memanipulasi kewujudannya di alam maya. Laporan terkini oleh Reuters mencatatkan bahawa keuntungan hasil aktiviti perniagaan oleh Facebook mencecah AS$700 juta (RM2260.65 juta) bagi tahun kewangan 2009.

Selain itu, jelas sekali bahawa kita kini berada dalam era demokrasi dan sosial berbentuk digital. Sesiapa sahaja yang bijak mengurus kewujudannya dalam media sosial akan menjadi pemegang tampuk kuasa.

Kesimpulannya, media sosial kini sudah berjaya merasuk kehidupan kita. Malah ada yang terleka sehingga keutamaan tugas dan kewajipan lain terjejas akibat terminum racun Facebook. Bagaimana pula kadar ketagihan anda terhadap Facebook? Jika anda tidak senang duduk sepanjang hari selagi tidak dapat mengemas kini status di dinding umum, itu tandanya anda mungkin sudah tersihir dengan kuasa magis Facebook.

Khamis, 11 Februari 2016

Jadi Pencipta 'Games'

Dalam kita dan rakyat masih lagi terpukau dengan filem hindi Dilwale yang dikatakan mengutip tiket ratusan juta USD, ada yang sanggup menonton dua tiga kali filem tersebut. Bagi saya yang berada di negeri yang tidak mempunyai panggung wayang, saya tidak tahu macam mana kehebatan filem tersebut. Antara kutipan filem filem besar dunia adalah ;

1.Avatar(2009)-$2,782,275,172
2.Titanic(1997)-$2,186,772,302
3.The Avengers(2012)-$1,518,594,910
4.Harry Potter and the Deathly Hallows-Part 2(2011)-$1,341,511,219
5.Transformers:Dark of the Moon(2011)-$1,123,794,079
6.The Lords of the Rings:The Return of the King(2003)-$1,119,929,521
7.Pirates of the Caribbean:Dead Man's Chest(2006)-$1,066,179,725
8.Toy Story 3(2010)-$1,063,171,911
9.Pirates of the Caribbean:On Stranger Tides(2011)-$1,045,713,802
10.Star Wars Episode I:The Phantom Menace(1999)-$1,027,044,677

Hebat kan.. sekali buat filem, selamanya menjadi kaya raya, itulah kelebihan filem dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembuatan filem di negara barat. Tetapi bagi negara selain Amerika malahan Bollywood sendiri, industri mereka hanya memberi keuntungan kepada penerbit dan pelakon sahaja, tenaga kreatif dan belakang tabir tidak selalunya bernasib baik.

Beberapa hari lalu saya terfikir satu Industri yang seolah tidak terlintas difikiran walhal ia menghasilkan pulangan yang jauh lebih baik daripada filem. Ianya adalah industri permainan atas talian atau 'games'.  Saya tercuit macam mana anak anak kita yang menghabiskan masa berjam- jam dengan games tidak dipupuk mencipta satu games yang boleh digemari dan meletup di pasaran dunia. Setelah membuka laman laman tertentu saya dapati games ini boleh dicipta oleh sesiapa sahaja asalkan mempunyai ketekunan dan kreativiti bayangkan saja Candy Crush Saga yang anggaran kutipan sehari $632,867 cubalah memupuk anak anak untuk menjadi pencipta 'games'.