Ketika melangkah masuk ke kedai ikan hiasan, saya terfikir bilakah agaknya ikan Kelisa atau dalam bahasa Inggrisnya di panggil Arowana menjadi sangat popular dan bernilai tinggi. Sebagai peminat ikan yang sangat kurang mahir akan nilai spesis ini saya pantas akan rasa harga puluhan ringgit itu adalah mahal manakala harga ratusan untuk seekor ikan itu terlalu mahal manakala ada yang mencecah ribuan ringgit itu pula adalah tidak masuk akal dan hanya orang yang tidak menghargai wang sahaja yang sanggup membeli seekor makhluk bernyawa yang hayatnya tidak menentu itu. Tapi itulah yang saya terpaksa terima hakikat bahawa harga ikan kelisa menyamai peruntukan membeli ikan kembung untuk makanan harian keluarga berbulan - bulan lamanya.
Ikan Kelisa yang dikategorikan dengan pelbagai nama seperti Green Tail, Red chili, Red Blood, Golden Indonesian atau yang paling bernilai adalah Golden Malaysian membuatkan saya tak berani untuk mendekati atau menyentuh kaca akuariumnya bila melihatkan harga yang dilekatkan. Bimbang pula kalau- kalau kebetulan apa- apa terjadi kepada ikan atau akuariumnya depan mata kita tak pasal- pasal jadi susah nak menjawab dengan tauke kedai.
Biarpun harganya yang tinggi hanya saya sedari dewasa ini tetapi ikan jenis ini sebenarnya saya sudah kenali sejak lama dulu iaitu masa sekolah rendah lagi, waktu itu saya sering mengikuti saudara- mara membersih semula tanah hutan pusaka keluarga pengikut orang Kaya Dato' Bahaman (Asal usul penduduk Kg Pemberian) di Kuala Relai berhampiran Taman Negara. Kerja meneroka semula tanah belantara para hulubalang Semantan itu sering memakan masa berhari- hari dan kami tinggal di pondok -pondok kecil di tepi sungai dengan membawa bekalan asas seperti beras, garam, kopi manakala untuk lauknya pula kami tangkap ikan di sungai yang airnya sangat jernih hingga dapat lihat ke dasarnya. Seringkali juga ikan kelisa yang jenisnya tidak dipastikan tapi ia memang ikan kelisa yang sihat, cantik dan biasanya sebesar betis.. kami masak bersama buah kantan yang diperolehi di hutan dan masakan sebegitu sangat sedap dan tersendiri hingga kini saya masih tak berpeluang kecapi semula.
Bila mengingatkan itu, fikiran saya terdetik.. 'oh mengapakan kami tidak tahu nilai ikan itu atau waktu itu ikan kelisa tidak bernilai seperti sekarang atau mungkin kami tidak hiraukan pasarannya kerana mendapatkan makanan menjadi keutamaan waktu itu'. Tapi yang jelasnya perkara sebegitu bukan berlaku sekali tapi berkali- kali.
Dan akhirnya sewaktu saya melihat seorang pembeli membayar ikan kelisa dalam jumlah yang besar saya tersenyum sendiri dan berkata dalam hati "walaupun kamu mempunyai wang yang banyak dan seorang yang kaya yang mampu membeli seekor ikan lebih mahal daripada motosikal cabuk aku tapi sudah pastinya kamu tidak mampu dan tidak pernah makan ikan Kelisa"....
No comments:
Post a Comment