Tuesday, March 10, 2020

Kabinet Perang Dingin

Hari ini 10hb Mac 2020 barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong akan mengangkat sumpah perjawatan di Istana Negara. Bermulalah pentadbiran baru di bawah Perdana Menteri Malaysia ke 8 Tan Sri Muhyiddin Yassin

Umumnya sudah faham apa yang berlaku sehingga kerajaan Pakatan Harapan yang menang selesa dalam pilihanraya lalu boleh runtuh disebabkan strategi luar biasa yang sebenarnya untuk memperkukuh kedudukan Tun Dr Mahathir.

Selepas usaha mendapatkan semula kepercayaan Ketua Negara iaitu YDP Agong dan Ahli Parlimen gagal, ada suara yang mempertikaikan keputusan YDP Agong yang telah bersetuju melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Hujahan Tun M bahawa ahli Parlimen dari PPBM tidak semuanya menyokong Tan Sri Muhyiddin, ada sekurang kurangnya 6 ahli YB Parlimen tidak menyokong, kenyataan ini sudah cukup untuk menafikan 116 ahli parlimen yang dikatakan menyokong Pagoh sebagai Perdana Menteri, namun perlembagaan tidak mengikat budi bicara YDPA untuk melantik sesiapa sahaja di kalangan ahli dewan rakyat dan sokongan kepada Perdana Menteri boleh diperolehi kemudian. Secara ironinya YDP Agong adalah ketuanan yang dihormati serta masih dipercayai oleh itu ahli dewan rakyat tidak ada sebab untuk memberi sokongan setelah Perdana Menteri dipilih oleh YDP Agong sebagaimana terbukti kini semakin ramai ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin. 

Kepercayaan dan harapan rakyat kepada kabinet baru ini amatlah tinggi, rakyat sudah didedahkan kerosakan dalam ekonomi dan sosial kesan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan, orang Melayu bumiputera khasnya banyak mengalami kerugian. Kerugian dan kehilangan yang dikecapi semasa pemerintahan BN diharap dapat dikembalikan oleh kerajaan baru Perikatan Nasional. Tetapi rakyat mesti sedar bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah salah seorang Menteri kanan dalam pentadbiran PH. sebahagian lagi lantikan oleh Muhyiddin ini juga membawa bersama menteri menteri PH yang dulunya dikatakan tidak membela Melayu dan Bumiputera serta ada yang terpalit dengan kes integriti dan moral, ada yang melompat ke PH hanya bertujuan mengelakkan dikenakan tindakan dan pendakwaan. Walaupun Umno / BN turut membentuk kerajaan bersama PN tetapi kuasa dan keputusan tidak lagi mutlak di tangan Umno, inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti selain PPBM. 

Percayakah anda bahawa kabinet kini adalah kabinet perang dingin antara parti bekas Kerajaan PH dan Muafakat Nasional serta blok BN sendiri. Bersatu (Muhyiddin) PKR (Azmin) di satu pihak. Muafakat Nasional dan BN di satu pihak, manakala GPS dan Parti Sabah di pihak sentiasa beruntung. Menteri- menteri yang dilantik memperlihatkan strategi Perdana Menteri untuk mengukuhkan kedudukan politik yang pada masa sama perlu mendapatkan kepercayaan kepada kerajaan yang diterajuinya, kegagalan mengembalikan pentadbiran kerajaan ke landasan sebenar adalah kegagalan Perdana Menteri kerana itulah PPBM mengemukakan pemimpin terbaik mereka ke dalam kabinet. Tan Sri Muhyiddin juga tidak mengambil risiko dengan individu yang dirasa akan menyainginya 

Melihat kepada senarai menteri wakil Muafakat Nasional di dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin kita akan lihat bahawa pengisiannya bukan oleh hardcore atau panglima perang sebenar Umno dan PAS walaupun ada pemimpin Umno seperti Tan Sri Annuar Musa tetapi seperti yang boleh difahami Annuar Musa adalah panglima versetile yang boleh berperang di pelbagai posisi dan beliau bukanlah tokoh yang terikat dengan satu satu cara serangan, perlu dikhuatiri strateginya sentiasa dikongsi bersama Dato Takiyuddin Hasan yang juga berada dalam kabinet. Ketiadaan Presiden Umno dan PAS dalam kabinet semacam disengajakan, Dato Sri Ismail Sabri dan Tuan Ibrahim Tuan Man pula adalah wakil parti yang tidak mudah dipengaruhi serta setia mendahulukan matlamat parti, mereka merancang untuk persaingan sebenar iaitu PRU15. wakil wakil parti yang mengisi jawatan kabinet adalah mereka yang sesuai berada di kementerian, mesti sanggup dan cekap mendapatkan sumber dan perancangan dari dalam kerajaan, sementara think tank sebenar bermain di lapangan politik seperti pengerusi perhubungan dan mereka yang vokal. Umno tidak akan selesa jika bersama dengan bekas rakan parti yang menikam dan membebankan mereka seperti Tok Pa, Ikhmal Hisham, Hamzah Zainuddin, Mas Ermiyanti juga duri dalam daging H20 dan KJ. Seperti ungkapan mereka yang sering diucap "Lebih baik mati bergalang tanah daripada hidup menanggung malu"

Tan Sri Muhyiddin mungkin tidak banyak agenda untuk parti tetapi lebih memikirkan sisa- sisa hidup dalam politik, dia sudah berada di kemuncak karier namun penyudah politiknya tidak akan memberi muka kepada Muafakat Nasional terutama pemimpin daripada Umno, Tan Sri Muhyiddin lebih menghargai team Azmin Ali dan Tun Mahathir yang dikira menyokongnya secara tersirat, kebarangkalian untuk memberi ruang kepada Mukhris Mahathir  membuat lonjakan dalam kerajaan masih tetap terbuka berbanding memberi ruang kepada MN yang dikira hanya menyokongnya atas dasar ingin membuang DAP serta kepatuhan kepada Yang Dipertuan Agong semata.

Perlantikan menteri kabinet jika dilihat dalam bahasa politik ia satu percaturan melemahkan Umno serta Pas. namun sebenarnya kedua- dua pihak menyedarinya, apa yang ingin dipertontonkan kepada rakyat tidak sama dengan matlamat politik. Perikatan Nasional sukar untuk bertahan walaupun selama 22 bulan sebagaimana Pakatan Harapan. 

No comments:

Post a Comment