Ketka ini sedang memerhatikan pihak keselamatan dan orang ramai sedang berusaha mencari dan menunggu khabar berita seorang bapa dan anaknya yang berumur 4 tahun dipercayai lemas dalam sungai Kemasin yang tidak jauh dari kediaman saya. Mangsa dikatakan hilang ketika bermain jetski miliknya. Dapat dibayangkan betapa risau dan berdebarnya keluarga yang menunggu berita pencarian itu, sehingga tulisan ini ditaip, mangsa masih belum ditemui dan semoga keajaiban boleh berlaku.
Sekitar jam 4 petang tadi saya mendengar suara perempuan bertempik di tepi sungai, saya menjengah melalui beranda dan melihat seorang wanita sedang berlari ke arah jalanraya kemudia berpatah semula ke sungai, saya menjangkakan wanita itu bertempik kerana mengejar anaknya yang berlari ke jalanraya, tapi pada jam 6 petang orang ramai bersama polis dan bomba datang, tahulah saya bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku.
Petang tadi juga, saya membaca satu reply dari FB yang menyatakan rasa bertuahnya kerana saya bersama kakak (ilah) telah menyelamatkan nyawanya sewaktu kami mandi di sungai sewaktu kecil dahulu, saya sebenarnya sudah tidak mengingati lagi kisah itu dan apabila saya memanggil semula memori mandi sungai barulah terlintas kejadian yang dikatakan oleh rakan itu, saya kira itu adalah perkara biasa yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berada di tempat saya dan kakak, selamatkan kawan lemas.
Waktu ini jam sudah hampir 10 malam, saya juga terfikir betapa sukarnya hendak mencari mangsa walaupun di sungai yang arus tidak deras. Kesukaran ini mengingatkan saya bagaimana atok saya dulu dikatakan menggunakan petua dan ayat ayat Al Quran untuk mencari mangsa lemas, dengan izin Allah swt mayat mangsa seolah bergerak ke tangan atok untuk diangkat dari air, kejadian ini berlaku sewaktu saya kanak- kanak ( Tentang atok ada juga saya sentuh, boleh baca di tulisan blog Pengalaman Jadi Berani ) yang mana waktu itu setiap tahun kampung kami akan menjadi tumpuan nelayan darat memasang pukat dan menjala ikan bila musim banjir, bah menjadikan tempat kami dikelilingi air yang melaut.
Bila mengingatkan kisah kawan yang lemas dan keahlian atok, saya akan rasa bertuah kerana saya membesar di rumah yang agak berjauhan daripada rumah orang orang kampung, rumah kami berdekatan dengan sungai dan setiap kali banjir rumah kami menjadi seperti rakit, kami akan risau takut hanyut, kesusahan itu menjadikan saya dan kakak tahu berenang, kehidupan dan ruang bermain kami adalah berkait dengan sungai.
Kini kelebihan atas kesusahan itu tidak lagi berlaku ditempat kami, kerana saliran diperbaiki tiada lagi banjir yang merisaukan, sungai juga telah menjadi parit, anak - anak tidak lagi menjadikan sungai tempat bermain, saya percaya anak- anak saya juga tidak tahu berenang walaupun mempunyai tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri. Dan atok juga telah tiada, saya pun tiada kepandaian seperti atok yang boleh saya bantu dalam pencarian mangsa lemas yang berlaku berhampiran rumah.