Thursday, November 28, 2019

Tahlil rumah Cik Ma


Sebetulnya sejak kebelakangan saya lihat Cik Ma kerap upload telatah anak tunggalnya dalam media sosial, saya perasan dan dapat mengagak mungkin Cik Ma sedang menghadapi kesukaran atau sesuatu yang dia tidak mahu orang tahu, memang saya tidak tahu kerana saya jarang balik ke kampung, rupanya suaminya sakit yang membawa kepada kematian. Allah menjemput suaminya dahulu dan anak comel itu akan sentiasa menjadi ingatan kepada si ayah sampai bila bila. 

Duduk bersila di ruang tamu rumah ini mengingatkan saya waktu kanak - kanak dulu, rumah ini antara rumah orang yang disegani di dalam kampung kami, waktu itu saya selalu teruja bila sesekali bermain di tangga simen rumah ini bersama adiknya yang merupakan anak bongsu keluarga mereka. Adiknya mempunyai banyak permainan yang saya kira waktu itu permainan seperti kereta, askar serta patung watak hero adalah permainan yang kanak kanak seperti saya tidak mampu memiliki.

Keluarga besar Cik Ma juga sebenarnya mempunyai talian kekeluargaan sebelah bapa saya. Sejak dulu hubungan orang tua kami memang rapat,, apa apa perbincangan berkenaan dengan program di dalam kampung atau berkaitan dengan siasah, bapa kami akan sentiasa saling memberi sokongan.

Malam ini dalam hujan lebat, saya balik ke kampung dengan tujuan ingin bertahlil serta mewakili juga rakan rakan bagi menzahirkan simpati dan takziah. Semua orang merasai kehilangan dan suka ingin dinyatakan bahawa Cik Ma masih boleh berlapang dada dengan takdir tuhan, Cik Ma bertuah kerana sebelum kehilangan suami di depan mata, Cik Ma berkesempatan berbakti dan mendapat restu suami sebelum melepaskannya pergi, ada ramai isteri yang terus menderita hingga menganggu kehidupan harian disebabkan perpisahan dengan suami. Berpisah kerana kecurangan, bercerai kerana tidak mahu bermadu, ditinggalkan kerana suami dipenjara, sengsara dan sunyi bila suami berada jauh entah di mana atau makan hati kerana digantung tak bertali. Cik Ma boleh memulakan hidup dengan baik dan redho di depan hari., berbanding orang yang hidupnya mati dengan badan masih bernyawa.

Persandingan Abadi

Suatu yang saya yakin adalah ujian tuhan disediakan untuk hambanya yang mampu menanggung.. percayalah setiap kesedihan tidak akan selamanya suatu ketika ia akan berganti pula dengan kegembiraan.

Saturday, November 16, 2019

NOVEMBER RAIN .... datang lagi




November Rain oleh band Guns And Roses sebuah lagu yang dikatakan dicipta oleh Axl Roses sewaktu hubungan dengan kekasihnya terputus versi awal diiringi piano selepas itu diolah semula dengan memasukkan elemen gitar oleh Slash, dalam lagu ini digambarkan bagaimana perkahwinan tidak dapat diteruskan apabila dengan tiba - tiba pengantin perempuan jatuh sakit dan meninggal dunia ia berlaku pada hari hujan di bulan november.

Bulan november lazimnya bulan yang menerima banyak hujan.. bulan ini adalah persediaan untuk masuk ke bulan disember yang biasanya akan berlaku banjir di pantai timur seperti catatan blog di.bukit hanyut dalam kenangan Kebiasaan bulan november akan ada peluh dan air mata tumpah melihat kediaman basah dimasuki air kerana tempias dan bumbung bocor, bila november datang akan bermula kerja mencuci parit agar air akan lancar tidak melencong ke tempat kita, tapi sudah difahami ramai walau parit diselenggara air tetap melimpah dan masuk juga.. bulan ini akan menjadi bulan basah kuyup, bertukang dan menampal bumbung yang bocor sudah semesti.. pakaian menjadi lembab, bahagian dapur licin dan basah selalu kena mop dan pakai selipar jepun, begitu juga berbasahan ke tempat kerja dengan motosikal sudah menjadi kebiasaan,

Waktu lagu November Rain dimainkan tidak semena mena hujan turun dengan lebat berserta angin kuat.. rasa bergegar rumah, saya memohon kepada tuhan agar pokok kelapa yang tinggi di sekeliling The Cottage tetap teguh dan jika hendak menyembah bumi hendaknya ke arah lain, pasrah kepada tuhan agar tiada kejadian buruk menimpa, risau juga kerana ia hanya kediaman kecil yang tidak kuat, rumah yang dulunya menjadi tempat tinggal.. kini ibulah yang menjaga bersama adik bongsu, agar tuhan melindungi The Cottage dan penghuninya..  melihat di jendela rasa ingin berlari ke sana.. setelah hujan berhenti... terkejut melihat stor kereta di belakang rumah bumbungnya diterbangkan angin, adakah tuhan mendengar kegusaran ini lalu di sini pula  angin yang kuat dialihkan.. november engkau datang lagii.