Monday, December 26, 2016

Damailah di sana Mama..

Hari ini.. Isnin yang muram dalam bulan Disember yang kelabu, pada awalnya saya hendak menulis dan mencatatkan suasana riang dan meriah dalam pertemuan semula rakan rakan Sekolah yang diadakan di Pantai Sri Telong, Bachok kelantan. Namun kesedihan yang menimpa pengasas kumpulan kami Pn Maliza Sidek sangat tersentuh, Maliza yang tidak sempat bersama di pantai Sri Telong akhirnya ditakdirkan masih sempat bersama ibunya yang mana di hari ia sampai ke Bachok dan pada malam itu ibunya kena strok dan keesokan harinya iaitu hari ini telah mengadap ilahi. 

Saya terus disapa sayu bila mana di dalam masjid, saya melihat wajah rakan itu dalam kepenatan, lesu, seharian semalaman di hospital dan masih menyapa kami yang bersama di majlis solat jenazah dan pengkebumian ibunya.. Al Fatihah.

Saya menyorot bagaimana sepinya terasa, lebih lebih lagi kepulangan yang pada awalnya ingin bersama riang ria bersama rakan Reunion tetapi akhirnya menjadi kepulangan untuk bersama ibu buat kali terakhir di dunia ini. Saya mungkin orang yang senang tersentuh lebih lagi saya juga telah melalui kehilangan Adik yang satu ketika dulu dialah satu satunya adik yang selalu bersama saya ke sekolah, mandi sungai dan bermain main di kampung, selepas itu saya leka untuk membalas budi Abah hingga kematian mudah dan mengejutnya sangat membuat saya terkilan sekali lagi, saya juga menyaksikan kematian nenek di rumah kami dan seorang lagi Adik lelaki pergi meninggalkan kami.. kematian yang saya kira menjadi tahun tahun kesedihan membuatkan saya mudah menyoroti perasaan sesiapa yang kehilangan orang tersayang lebih lebih lagi ketika kita tidak menjangkakan.

Semoga rakan kami Pn Maliza Sidek tabah dan redha.. itu yang terbaik untuk Ibu... Mawar Putih Untuk Mama..




Thursday, December 8, 2016

Rohingya..

Himpunan solidariti Ummah untuk Rohingya telah berjaya membuka mata negara negara Islam dan dunia, rentetan daripada himpunan puluhan ribu ummat yang diadakan di Stadium Titiwangsa menyebabkan O.I.C segera merencanakan pertemuan peringkat menteri luar negara- negara Islam. Himpunan tersebut juga telah menyebabkan pelbagai pihak dari negara Indonesia turut menggesa pemimpin mereka mengambil tindakan sebagaimana dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak bersama presiden PAS Dato seri Hadi Awang turut memberi tamparan dan sinis kepada pembangkang yang terpaksa mengakui kebenaran dan kesan positif kepada pihak yang mengatur himpunan tersebut.

Perbualan dengan seorang yang menyokong himpunan tersebut. Dia terkenang seorang kawan muslim dari Myanmar yang lama bekerja di Malaysia, sudah mempunyai kereta dan kewangan yang agak baik tetapi telah menjual semua asetnya untuk pulang ke Arakan disebabkan percaya Junta tidak akan dapat bertindak sewenangnya setelah Aung San Su Kyi mendominasi dan memenangi politik Myanmar. Dia percaya rakannya itu berkemungkinan menerima nasib malang di sana.
Sejarah orang Rohingya dikatakan bertarikh dari awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah sedikit.
Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal. Ketika itu mereka lebih berpengetahuan berbanding orang tempatan di Burma dan kepakaran mereka diperlukan oleh pemerintah di situ.
Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang kaya dan berpengaruh, merupakan setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah juga ahli-ahli parlimen dalam kabinet U Nu.
Permulaan kesengsaraan etnik Rohingya di Arakan adalah apabila Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Benggali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke- 19 ketika pemerintahan Britain.
Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara. Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.
Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak.
Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.
Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran.
Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan.
Ethnik Rohingya adalah beragama Islam sunni, orang Islam mesti merasai kesukaran mereka kerana ia adalah saudara mara kita apalagi raut wajah dan kesukaran mereka tidak jauh bezanya dengan orang Melayu era 70an dan 80an.