Memperkatakan tentang Dato Seri Mustapha Mohamad, En Zawawi Othman dan Datuk Awang Adek Hussin tentunya banyak tanggapan dan tafsiran mengikut apa yang difahami dan diketahui oleh orang yang berada dekat dan berhubung terus dengan kegiatan harian dengan tiga orang tokoh tersebut. Apa yang menariknya mereka menerajui anak buah di Bahagian UMNO masing- masing dengan cara tersendiri.
Di Jeli, dengan masyarakatnya yang masih bersemangat untuk kemajuan dan merebut peluang ekonomi menjadikan kebanyakan pengundi masih setia kepada Dato Seri Mustapha biarpun pada suatu ketika beliau pernah tewas dan merasai kemenangan di Dun Air Lanas dengan majoriti yang sangat tipis, tidak setanding dengan nama besar dan kebolehan yang dimiliki. Sekiranya individu lain yang berada di tempat Dato Seri Mustapha di Jeli, ia tentulah akan mengikut jejak apa yang berlaku di Kuala Krai yang mana kekalahan lebih terjamin di pihak BN. Dato Seri Mustapa dengan gerak kerja dari dinihari hingga jauh malam menemui rakyat, disamping keterampilan yang mampu menjadi rakyat biasa dan kekampungan apabila berada di kampong dan ceruk daerah, Dato Seri Mustapha juga akan menjadi pintar dan disegani apabila berurusan dengan kerajaan luar dan masyarakat korporat inilah kekuatan teras beliau di mata pengundi dan rakyat. Sebagai seorang Menteri dan mewakili Parlimen yang memihak kepada kerajaan pusat, masalah kewangan dan pembiayaan untuk kempen piihanraya tidak menjadi isu di Jeli, Hasilnya Parlimen dan semua DUN di Jeli mampu dipertahankan oleh BN/UMNO.
Manakala Pasir Puteh yang pada awalnya tidak mendapat perhatian dan tidak memberi keyakinan yang baik akhirnya mengejutkan rakan dan lawan. En Zawawi yang tidak berstatus Datuk bukanlah seorang usahawan atau tokoh korporat berjaya, beliau hanya seorang bekas guru biasa yang mungkin sentiasa merasa terpinggir dan kecil bila berada di barisan ketua- ketua UMNO Bahagian yang lain. Kekuatan En Zawawi boleh dikatakan dari keazaman beliau sendiri, umum mengetahui betapa sukar menguruskan UMNO Bahagian Pasir Puteh yang dikelilingi oleh tokoh tokoh hebat yang kadangkala menenggelamkan En Zawawi sendiri. Pendekatan keras dan provokasi yang diamalkan oleh En Zawawi bersama orang kuatnya biarpun tanpa kewangan yang cukup membuatkan beliau menjadi kreatif dalam menarik sokongan rakyat. En Zawawi dan Pasir Puteh boleh tersenyum apabila PRU13 memberi jawapan kepada kerja kerasnya apabila beliau menang di Dun Semerak bersama Dun Selising dan berjaya menjadi YB sekaligus mengukuhkan kedudukan dan menafikan skeptikal rakan dan lawan di Pasir Puteh.
Sekiranya bukan Jeli, Bachoklah yang menjadi Bahagian UMNO yang paling aktif dan meriah dalam tahun- tahun kempen pilihanraya, Bachok bukan sahaja menumpang tuah dengan peruntukan kepada Timbalan Menteri tetapi ia juga sentiasa dirujuk sebagai Parlimen harapan dan kawasan bakal Menteri, seluruh tumpuan dan kewangan mengalir tanpa had ke Bachok, hampir tidak ada rakyat yang tidak merasai kesan sentuhan yang di bawa oleh Datuk Awang Adek, pembawaan gaya kepimpinan moden bergaya dengan harapan kemodenan untuk Bachok rupanya tidak menepati kehendak rakyat Bachok sendiri, pelbagai projek dan penyaluran kewangan kurang berhemah menjadi antara sebab mengapa perpecahan antara orang UMNO sendiri berlaku, ruang untuk merasa limpahan penyaluran kewangan dari kerajaan pusat dan manfaat kepada parti tersasar. Akhirnya 0-4 menjadi milik UMNO Bachok.
Kini Parlimen Jeli masih boleh tersenyum bila mereka boleh meneruskan agenda apabila masih ada Menteri ditempat mereka bersama Adun yang boleh mengambil kira sedikit sebanyak peluang dari kerajaan negeri dan Pengerusi UMNO / BN negeri.
Pasir Puteh pula bolehlah dikatakan menang dalam pahit, ini kerana mereka tiada wakil Parlimen untuk menjadi saluran peruntukan kerajaan BN dan Adun mereka adalah pembangkang dalam negeri yang tentunya tidak mendapat kelebihan dari kerajaan negeri. Dan Bachok adalah paling malang kerana mereka hanya melihat peruntukan kerajaan negeri yang hanya memenuhi kehendak penyokong PAS sahaja, orang UMNO / BN berputih mata tambahan pula ketua UMNO Bachok berada jauh di Washington sementara Timbalan Ketua yang memangku tugas berhadapan dengan kekangan kewangan dan kata putus yang sukar.