Selepas berbuka dan menunggu waktu solat insyak pada bulan puasa ini adalah waktu amat berharga kepada orang yang berpuasa, yang mana waktu inilah semua mahu cepat dan segera.. bagi yang hatinya melekat di masjid sudah tentu solat maghrib dapat melupakan makanan dan minuman yang masih berbaki, bagi yang sembahyang maghrib di rumah pula mereka masih punya kesempatan untuk makan dan mencicip lagi makanan hingga kadangkala sampai sendawa dan akhirnya solat maghrib dihujung waktu. Selepas mengerjakan solat maghrib jika tidak beriktikaf menunggu insya di masjid mereka akan kembali ke rumah dan makan lagi.. disudahi dengan merokok sekiranya mereka penghisap rokok. Mereka yang terlebih kenyang barangkali akan lewat atau tidak sampai ke masjid untuk solat Insya dan seterusnya berjemaah mengerjakan sunat terawih. Dikebanyakan masjid dan surau yang sederhana mereka biasanya hanya melakukan solat terawih lapan rakaat sahaja dan disambung dengan solat sunat witir sebanyak tiga rakaat pula.. Solat yang sekejap itu tetap menuntut kekuatan semangat dan tumpuan jika tidak pasti ada yang keluar saf sebelum selesai. Seperti kebanyakan masjid lazimnya selepas empat rakaat, Imam memberi tazkirah sekejap.. sebelum meneruskan solat, ada satu pelajaran yang baik yang dapat dikutip antaranya Imam tempat saya yang bernama Ustaz Ismail, seorang pensyarah yang lama menetap di Madinah beliau berkata...
Anas ibn Malih dari Abu Musa al-Asy'ari berkata :
Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran bagaikan buah Utrujah (sejenis buah di tanah Arab) rasanya enak dan baunya wangi. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran bagaikan buah kurma rasanya enak tetapi tidak berbau, Orang munafik yakni orang yang menunjuk- nunjuk membaca Al-Quran bagai buah Raihanah baunya wangi tapi rasanya pahit, Manakala perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran pula bagaikan buah Hanzalah, rasanya pahit dan baunya tidak enak.
Melalui perumpamaan di atas kita dapat mengenal golongan yang manakah kita berada. Begitulah setiap malam makmun dan hadirin diberikan pelajaran dan bimbingan di bulan ramadhan penuh berkat ini, semoga kita terutamanya saya akan tergolong dalam kalangan orang- orang yang mencintai masjid dan terhindar dari nafsu berlebihan dalam menikmati juadah berbuka puasa hingga menghalang kita dari mendapat ganjaran di bulan mulia.