Saturday, March 30, 2013

Kerana Sayangkan Sabah.. Lupakan simpati kepada Sulu.

Selain negara Yaman yang selalunya menarik perhatian saya, negeri Sabah adalah sebuah negeri yang unik sebagaimana Kelantan, apa yang berlaku di Sabah kebiasaanya cepat menyentuh hati saya ini kerana bukan sahaja kerana ia adalah tanah tumpah darah dua anak saya dan ibunya tetapi ia juga adalah negeri paling nyaman, paling cantik, penuh budaya warna- warni yang telah menarik perhatian saya sejak zaman bujang lagi dan sekiranya diberi pilihan saya teringin memilih Sabah sebagai tempat kediaman saya. 
Serangan gerila yang dihantar oleh keluarga Kiram telah menyentak pihak keselamatan Malaysia daripada sikap tunggu dan lihat kepada waspada tahap tinggi. Toleransi kerajaan kepada pendatang dan sikap mudah simpati kepada pendatang akhirnya memberi pengajaran berguna buat kerajaan. Mana- mana kerajaan di dunia ini telah banyak mendapat pengajaran daripada sifat tolak ansur mereka kepada pendatang yang akhirnya memberi masalah kepada negara sendiri. Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Peru adalah antara contoh negara yang terpaksa berdepan dengan karenah pendatang yang kadangkala membawa kemusnahan. Negara -negara yang kurang memberi muka kepada orang asing seperti Russia, Jepun,  Scandinavia dan suatu waktu dahulu China adalah kurang menghadapi masalah dengan pendatang yang rata- ratanya atas faktor ekonomi dan politik negara asal.
Setelah operasi yang dinamakan 'Ops Daulat' hampir selesai sepenuhnya rakyat malaysia didedahkan dengan kesan peperangan yang sungguh dahsyat yang selama ini hanya berlaku di negara bergolak dan dalam filem sahaja. Rakyat Malaysia tidak perlu melihat negara timur tengah atau keganasan di benua Afrika untuk melihat kesan perang yang dikatakan 'Kalah jadi abu, menang jadi arang' lihatlah kemusnahan di Lahad Datu.. cukup menginsafkan dan begitu mahal harga yang terpaksa dibayar dengan harta dan nyawa bila apa yang dinamakan perang berlaku. Dibandingkan dengan ancaman komunis berpuluh tahun, sudah cukup untuk menyamai kemusnahan di pantai timur Sabah hanya dalam beberapa hari sahaja kerana 'lanun kepulauan sulu' itu mempunyai pengalaman perang yang panjang dan kelengkapan senjata perang gerila yang mencukupi.
Sedar atau tidak sebenarnya kesilapan dan kealpaan adalah juga datang dari Kerajaan Malaysia sendiri. punca terdetiknya niat Sultan Sulu adalah disebabkan kerajaan Malaysia masih lagi membayar pampasan penyerahan Borneo Utara kepada kesultanan Sulu sebanyak RM5,300 setahun, ini sudah boleh diandaikan bahawa Sultan Sulu adalah tuan asal bumi Sabah, dan kini sudah sampai masanya Sultan Sulu meminta kembali miliknya walaupun sebenarnya mereka telah dengan jelas menyerahkan tanah sendiri kepada pihak lain sebagaimana yang berlaku kepada sempadan politik diseluruh dunia sebagai contoh Iraq menuntut Kuwait sebagai haknya dan akibatnya Iraq yang musnah, begitu juga tuntutan Argentina keatas Falkland dan tuntutan yang tak pernah padam rakyat palestin kepada negara Israel, Itu semua adalah tuntutan yang berstatus kerajaan dan berdaulat bukannya tuntutan keluarga yang tak pernah diiktiraf sebagai kerajaan sebagaimana Kesultanan Sulu yang kini hanya tinggal sejarah silamnya sahaja. Kesilapan lain yang menyumbang kepada peluang keganasan di Sabah adalah kerana mengambil mudah status kerakyatan sebagaimana telah saya utarakan kerisaun pada posting yang lalu di Status kewarganegaraan pelajar asing yang mana itulah punca kepada apa yang terjadi di Sabah dan ianya mudah juga berlaku di negeri- negeri bersempadan dengan negara jiran. Faktor lain adalah kerajaan Filipina sendiri sehingga zaman Presiden Arroyo tidak pernah merujuk Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Dan satu teori yang munasabah adalah dalam apa jua pencerobohan oleh orang luar pasti didalangi oleh seseorang dalam negara tersebut, amat mustahil dalam berdekad dekad termasuklah era konfrontasi sekalipun tidak pernah ada serangan daripada Filipina apatah lagi kumpulan tentera semut dari masyarakat Sulu ke atas Sabah.. sudah terang lagi bersuluh adalah Anwar Ibrahim sudah mengetahui dari awal lagi akan tragedi bakal berlaku di Sabah. Mustahil Jamalul Kiram yang mendakwa sebagai Sultan Sulu itu yang juga dikatakan antara sultan paling miskin di dunia dapat membiayai ekspedisi pencerobohan nekad tersebut tanpa bantuan pihak lain.
Walaupun begitu kerugian paling terkesan akan berlaku kepada rakyat Filipina sendiri yang mana penduduk di kepulauan selatan bergantung hampir sepenuhnya keperluan harian mereka dari Sabah. Kebiadaban dan sikap tidak mengenang budi pemimpin Islam Nur Misuari juga telah mengguris hati masyarakat dan pemimpin Islam Malaysia dan Sabah yang selama ini atas sifat kemanusiaan dan agama menjadi tempat perlindungan sewaktu diburu oleh tentera Filipina, dengan apa yang dilakukan oleh pengikut Kiram ini, perjuangan panjang gerila selatan Filipina sudah 'Check Mate' mereka sudah tersepit dan jalan terbaik adalah mengikut langkah MILF yang telah meletak senjata dan membina pentadbiran atas bimbingan Kerajaan Malaysia dan direstui oleh Manila.


Original Sabahan