Selepas seminggu kita merayakan Eidul Fitri, kemeriahan itu kian pergi.. yang masih menghangatkan suasana raya adalah baner dan sepanduk selunak bahasa yang semakin menyembah bumi di tepi- tepi jalanraya, disamping masih ada rumah- rumah terbuka oleh kumpulan tertentu. Anjuran rumah terbuka yang dirangkai pula bersama kenduri kahwin kebelakangan ini semakin menjadi ikutan dan berlanjutan hingga ke penghujung bulan syawal.
Bagi keluarga atau ibu- bapa yang mempunyai anak dan kaum kerabat di perantauan, mereka telah semakin menyesuaikan semula kebiasaan harian. Sebelum ini keluarga telah terubat kerinduan mereka dengan kepulangan orang yang jauh dimata biarpun begitu masih tetap ada ibu- bapa dan keluarga terpaksa beraya dalam berduka kerana kepulangan yang ditunggu tidak tiba. Maka tahun hadapan dan hari Raya Haji lah yang menjadi harapan seterusnya.
Selepas beberapa hari melupakan kerja pejabat dan tuntutan mencari rezeki, anak kota kembali ke kota jalanraya di bandar besar kembali bingit dan padat. Ayah- ibu, adik abang dan ipar duai melepaskan semula perpisahan dengan air mata nan syahdu yang berbeza sekali sewaktu menyambt kepulangan. Dan selepas pemergian mereka keluarga khasnya dikampung mula mengemaskan rumah, mengutip sisa bunga api dan mercun dihalaman, membersih bilik air, mengemas bilik tidur mahupun menjengah semula kebun dan ladang.
Biarpun sebahagian besar keluarga masih terasa kegembiraan di hari raya, kita masih mendengar ada derita kesan kemeriahan syawal seperti kemalangan jalanraya, kemalangan mercun (walaupun insiden meriam buluh sudah tidak kedengaran) mahupun ahli keluarga yang terlantar sakit dan berehat di hospital kesan juadah hari raya.
Paling meninggalkan kesan kepada perantau adalah kesan kewangan kerana berhabisan untuk bergaya dan beraya sakan.. hutang kad kredit, hutang rakan, pinjaman bank dan bayaran ansuran rumah dan kereta sudah tentunya kembali mengejar seiring dengan habisnya biskut raya dan ketupat.