Friday, October 27, 2017

Ibu segala bajet : Belanjawan 2018





Jumlah peruntukan bajet sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8 bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM26.34 bilion, sektor sosial (RM11.72 bilion), keselamatan (RM5.22 bilion) dan sektor pentadbiran am (RM2.72 bilion).
Defisit fiskal dijangka terus mengecil kepada 2.8 peratus pada 2018 daripada 3 peratus pada 2017.
Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2018 dijangka meningkat kepada RM239.86 bilion pada 2018 atau daripada RM219.7 bilion pada 2017.
Jumlah pelaburan dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018.
Pelaburan swasta dijangka dijangka meningkat kepada RM260 bilion pada 2018 daripada RM230 bilion pada 2017.
*Hasil Kerajaan Persekutuan 2018 dijangka mencecah RM239.86 bilion.
*Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7 bilion yang memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.
*Peruntukan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.
*Tahun 2020 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM.
*RM2 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus.
*Menambah RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah.
*Peruntukan RM30 juta disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan beberapa perkara termasuk mempromosi Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan, termasuk IVF dan Kardiologi Asia dan memperkenalkan program Flagship Medical Tourism Hospital.
*Pembinaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan bermula Januari 2018.
*Mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
*Pulau Pangkor, Perak diisytiharkan Pulau Bebas Cukai, tetapi tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.
*Membangunkan Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara.
*Peruntukan RM1 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi.
*RM45 juta peruntukan untuk mewujudkan satu sistem kawalan biometrik bagi memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres.
*Menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
*Pembinaan baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.
*Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) diperkenalkan dengan memberi Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham PNB kepada anak Malaysia yang lahir mulai 1 Jan 2018 sehingga 2022.
*Sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mempertingkatkan modul Computer Science termasuk program Coding dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21.
*Peruntukan RM2.2 bilion bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.
*Membina 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dengan kos RM112 juta.
*Peruntukan RM61.6 bilion disediakan untuk sektor pendidikan termasuk RM654 juta bagi membina empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme, 48 sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional serta sebuah pusat matrikulasi.
*Pelanjutan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018.
*Peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.
*Peruntukan RM6.5 bilion untuk penyediaan infrastruktur asas terutama di luar bandar.
*Peruntukan RM1 bilion melalui SKMM bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.
*Peruntukan RM300 juta untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township dan Mobile CTC.
*Mengembalikan wang ses yang telah dibayar peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit, dari 2010 hingga 2016.
*Peruntukan RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia dan lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
*Peruntukan RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan.
*Peruntukan RM720 juta bagi pembinaan 11,000 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.
*Pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM (PPA1M-PDRM)
*Peruntukan RM250 juta kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.
*Peruntukan RM2.5 bilion, iaitu yang tertinggi pernah diberikan untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.
*PNB membuat pengagihan khas sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.
*Bantuan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi.
*Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.
*Peruntukan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
*50 Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan diperluaskan kepada 3,000 KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.
*Mulai 1 Januari 2018, kutipan tol di Batu Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau, Selangor, tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol di Eastern Dispersal Link, Johor dimansuhkan.
*Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan, memberi pilihan kepada majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.
*Peruntukan RM2.2 bilion untuk merancakkan usaha pemilikan rumah untuk rakyat termasuk membina Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan program PR1MA yang berharga RM250,000 ke bawah.
*Peruntukan RM27 bilion untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
*Peruntukan geran sepadan RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.
* Peruntukan RM5 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau.
*Melaksanakan Program Non-Revenue Water untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos RM1.4 bilion.
*Peruntukan RM1.7 bilion kepada warga emas, OKU dan kanak-kanak.
*Untuk penjawat awam, kenaikan pangkat time-based kali kedua untuk kumpulan pelaksana bagi tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.
*Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan berbuat demikian dengan syarat suami dan isteri bekerja di lokasi berdekatan.
*Bayaran khas one-off RM1,500 kepada 9,800 ketua kampung dan Tok Batin dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya sebelum Aidilfitri.
*Lebih 65,000 imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok siak mendapat bayaran khas RM1,500 dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.
*Bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 menjelang Aidilfitri.
*Pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750 iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri. - BERNAMA

Tuesday, October 17, 2017

Siti Nurbaya dan Teluk Bayur

Mungkin ramai yang pernah dengar nama Siti Nurbaya, sama ada dalam puisi, novel, pementasan atau filem. Siti Nurbaya adalah watak Lagenda seorang wanita di Sumatera Barat yang hidup di zaman Penjajahan Belanda, ia kisah cinta yang tak kesampaian, Siti Nurbaya yang terpaksa berkahwin dengan Datuk Maringgih demi melangsaikan hutang perniagaan ayahnya Baginda Sulaiman, Siti Nurbayah mengalami pelbagai kesusahan sebelum akhirnya mati dan di kuburkan di Gunung Padang.

         
Teluk Bayur pula adalah sebuah teluk yang dibina Pelabuhan yang sibuk. Pelabuhan Teluk Bayur dibina secara paksa oleh pemerintah dengan menggunakan banduan yang diikat kaki, tanpa kebajikan dan makanan yang berkhasiat menjadikan setiap hari memakan airmata dan nyawa para banduan. Teluk Bayur inilah tempat Siti Nurbaya menghantar kekasihnya Samsul Bahri menyambung pelajaran ke Batavia (Jakarta) dengan penuh kasih dan berharap akan bertemu lagi. Samsul Bahri menerima surat yang menyedihkan dari kekasihnya, bermula dari itulah kesengsaraan Siti Nurbaya dan Samsul Bahri bermula. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku hingga membawa kepada kematian Siti Nurbayah. Setelah tamat belajar Samsul Bahri menjadi Leftenan Tentera. Tugasan sebagai menjaga keamanan negara telah mempertemukan Samsul Bahri dengan Datuk Maringgih yang ketika itu membuat kekacauan di Padang. Samsul Bahri berjaya membunuh Datuk Maringgih tetapi dia juga tercedera dan akhirnya meninggal dunia dan mewasiatkan kepada ayahnya Sutan Mahmud Syah agar dikuburkan bersebelahan dengan kubur Siti Nurbaya di Gunung Padang tepi Teluk Bayur..


Jambatan Siti Nurbayah dan Teluk Bayur akan dikunjungi pada lawatan kali kedua saya ke Minangkabau nanti.. Insyaallah.

 Syair Surat Rindu Samsul Bahri kepada Sitti Nurbaya
(Sepucuk surat, Jakarta, 10 Agustus 1896)

Awal bermula berjejak kalam
Pukul sebelas suatu malam
Bulan bercaya mengedar alam
Bintang bersinar laksana nilam

Langit jernih cuaca terang
Kota bersinar terang benderang
Angin bertiup serang-menyerang
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak berganti-ganti
Cepat melayang tiada berhenti
Menuju selatan tempat yang pasti
Sampai ke gunung lalu berhenti

Udara tenang hari pun terang
Sunyi senyap bukan sebarang
Murai berkicau di kayu arang
Merayu hati dagang seorang

Guntur menderu mendayu-dayu
Pungguk merindu di atas kayu
Hati yang riang menjadi sayu
Pikiran melayang ke tanah Melayu

Angin bertiup bertalu-talu
Kalbu yang rawan bertambah pilu
Hati dan jantung berasa ngilu
Bagai diiris dengan sembilu

Tatkala angin berembus tenang
Adik yang jauh terkenang-kenang
Air mata jatuh berlinang
Lautan Hindia hendak direnang

Jika dipikir diingat-ingat
Arwah melayang terbang semangat
Tubuh gemetar terlalu sangat
Kepala yang sejuk berasa angat

Betapa tidak jadi begini
Ayam berkokok di sana-sini
Disangka jiwa permata seni
Datang menjelang kakanda ini

Disangka adik datang melayang
Mengobat kakanda mabuk kepayang
Hati yang sedih berasa riang
Kalbu yang tetap rasa bergoyang

Lipur segala susah di hati
Melihat adikku emas sekati
Datang menjelang abang menanti
Dagang merindu bagaikan mati

Silakan gusti emas tempawan
Sila mengobat dagang yang rawan
Penyakit hebat tidak berlawan
Sebagai kayu penuh cendawan

Silalah adik, silalah gusti
Sila mengobat luka di hati
Jika lambat adik obati
Tentulah abang fana dan mati

Tatkala sadar hilang ketawa
Dagang seorang di tanah Jawa
Rasakan hancur badan dan nyawa
Nasib rupanya berbuat kecewa

Di sana teringat badan seorang
Jauh di rantau di tanah seberang
Sedih hati bukan sebarang
Sebagai manik putus pengarang

Tunduk menangis tercita-cita
Jatuh mencucur air mata
Lemah segala sendi anggota
Rindukan adik emas juita

Teringat adik emas sekati
Kanda mengeluh tidak berhenti
Rindu menyesak ke hulu hati
Rasa mencabut nyawa yang sakti

Terkenang kepada masa dahulu
Tiga bulan yang telah lalu
Bergurau senda dapat selalu
Dengan adikku yang banyak malu

Sekarang kakanda seorang diri
Jauh kampung halaman negeri
Duduk bercinta sehari-hari
Kerja lain tidak dipikiri

Tetapi apa hendak dikata
Sudah takdir Tuhan semesta
Sebilang waktu duduk bercinta
Kepada adikku emas juita

Setelah jauh sudahlah malam
Kakanda tertidur di atas tilam
Bermimpi adik permata nilam
Datang melipur gundah di dalam

Datanglah itu seorang diri
Tidur berbaring di sebelah kiri
Kakanda memeluk intan baiduri
Dicium pipi kanan dan kiri

Tiada berapa lama antara
Dilihat badan sebatang kara
Abang terbangun dengan segera
Hati yang rindu bertambah lara

Guling kiranya berbuat olah
Lalu mengucap astagfirullah
Begitulah takdir kehendak Allah
Badan yang sakit bertambah lelah

Memang apa hendak dibilang
Sudahlah nasib untung yang malang
Petang dan pagi berhati walang
Menanggung rindu beremuk tulang

Walaupun sudah nasib begitu
Tiada kanda berhati mutu
Gerak takdir Tuhan yang satu
Duduk bercinta sebilang waktu

Jauh malam hampirkan siang
Mataku tidak hendak melayang
Di ruang mata adik terbayang
Hati dan jantung rasa bergoyang

Ayam berkokok bersahut-sahutan
Di sebelah barat, timur, selatan
Hatiku rindu bukan buatan
Kepada adikku permata intan

Di situ terkenang ibu dan bapa
Adik dan kakak segala rupa
Handai dan tolan kaya dan papa
Timbul di kalbu tiada lupa

Begitulah nasib di rantau orang
Susah ditanggung badan seorang
Sakit bertenggang bukan sebarang
Sebagai terpijak duri di karang

Setelah siang sudahlah hari
Berjalan kakanda kian kemari
Tak tahu apa akan dicari
Bertemu tidak kehendak diri

Diambil kertas ditulis surat
Ganti tubuh badan yang larat
Kesan nasib untung melarat
Kepada adikku di Sumatra Barat

Dawat dan kalam dipilih jari
Dikarang surat di dinihari
Ganti kakanda datang sendiri
Ke pangkuan adik wajah berseri

Wahai adikku indra bangsawan
Salam kakanda dagang yang rawan
Sepucuk surat jadi haluan
Ke atas ribaan emas tempawan

Mendapatkan adik paduka suri
Cantik manis intai baiduri
Di padang konon namanya negeri
Duduk berdiam di rumah sendiri

Jika kakanda peri dan mambang
Tentulah segera melayang terbang
Menyeberang lautan menyongsong gelombang
Mendapatkan adik kekasih abang

Menyerahkan diri kepada adinda
Tulus dan ikhlas di dalam dada
Harapan kakanda jangan tiada
Mati di pangkuan bangsawan muda

Adikku Nurbaya permata delima
Dengan berahi sudahlah lama
Hasrat di hati hendak bersama
Dengan adikku mahkota lima

Hendak bersama rasanya cita
Dengan adikku emas juita
Jika ditolong sang dewata
Di dadalah jadi tajuk mahkota

Tajuk mahkota jadilah tuan
Putih kuning sangat cumbuan
Menjadikan abang rindu dan rawan
Laksana orang mabuk cendawan

Karena menurut cinta di hati
Asyik berahi punya pekerti
Sungguhpun hidup rasakan mati
Baru sekarang kanda mengerti

Dendam berahi sudahlah pasti
Tuhan yang tahu rahasia hati
Kakanda bercinta rasakan mati
Tidak mengindahkan raksasa sakti

Siang dan malam duduk bercinta
Kepada adikku emas juita
Tiada hilang di hati beta
Adik selalu di dalam cipta

Jiwaku manis Nurbaya Sitti
Putih kuning emas sekati
Tempat melipur gundah di hati
Ingin berdua sampaikan mati

Tidaklah belas dewa kencana
Memandang kanda dagang yang hina
Makan tak kenyang tidur tak lena
Bercintakan adik muda teruna

Rindukan adik paras yang gombang
Siang dan malam berhati bimbang
Cinta di hati selalu mengembang
Laksana perahu diayun gelombang

Setiap hari berdukacita
Terkenang adinda emas juita
Sakit tak dapat lagi dikata
Sebagai bisul tidak bermata

Tiada dapat kakanda katakan
Asyik berahi tak terperikan
Adik seorang kakanda idamkan
Tiada putus kakanda rindukan

Rusaklah hati kanda seorang
Rindukan paras intan di karang
Dari dahulu sampai sekarang
Sebarang kerja rasa terlarang

Pekerjaan lain tidak dipikiri
Karena rindu sehari-hari
Tiada lain keinginan diri
Hendak bersama intan baiduri

Ayuhai adik Sitti Nurani
Teruslah baca suratku ini
Ilmu mengarang sudahlah fani
Disambung syair surat begini

(dalam bab VII. Surat Samsul Bahri kepada Nurbaya)