Wednesday, October 12, 2016

Zaman Kaset dan Pensil

Sesiapa yang membesar di zaman kaset atau dipanggil tali kaset, sudah tentu tidak lupa akan pengaruhnya dalam mengiringi perjalanan hidup dan siulan anak remaja yang sezaman. Saya juga antara yang membesar di era tersebut. Peranan kaset bertambah dalam hidup.. dengan cintan cintun, frust menonggeng dan iringan lagu pop membuatkan kaset seiring dalam kehidupan harian tambahan pula tinggal di rumah sewa dengan pelbagai gaya rock kapak. Di era 80an dan 90an banyak kumpulan Rock lentok meleleh muncul yang mana ada yang masih bertahan sehingga ke hari ini antaranya seperti Search, Wing, Bumiputera Rockers, Alleycats, May.. ada juga antara kumpulan yang dulunya popular tapi kini sudah hilang seperti Junction, G.E.T, Massa, Fotograf, Zabarjad, Gersang, Vagrant, Mega.. waktu itu berpuluh puluh kumpulan band muncul silih berganti.
Sesiapa yang punya minat mendalam pula akan membeli walkman namun satu yang pasti dan tidak dapat dipisahkan adalah kaset dan pencil... guna pensil atau pen yang sepadan untuk rewind dan forward yang lebih baik daripada menggunakan kaset recorder untuk mengelakkan tali kaset kusut atau rosak. Satu yang biasa dibuat adalah merakam lagu daripada radio, satu rancangan yang ditunggu tunggu adalah Pujaan 10 Nescafe, jari bersedia menekan serentak butang Play + Record. Saya juga pernah meghadiahkan lagu yang diulang ulang kepada seseorang iaitu "Pertama dan Terakhir" oleh GET.