Tuesday, July 8, 2014

Tunggu Sekejap... Teh Perasa Apple- Cinnamon



Alhamdulillah sudah malam ke sembilan mengharungi bulan Ramadhan..  seperti biasa bersendirian di 'The Cottage' dalam cahaya malap lampu, berazam malam ini akan cuba merayu dan meminta lagi kepada tuhan, sementara menunggu waktu yang baik. Menonton saluran Bintang 'Indo Pek' berkenaan puasa dan permasalahannya, biarpun rancangan 'Bukan Empat Mata' ini adalah rancangan hiburan tetapi kita tertarik dengan pendekatan dan cara oleh penerbit, dalam hiburan ada hiba dan pengajaran. Kita menyambung semula kisah MELODI KASIH ALLY untuk melodi atau rangkap berikutnya.. Kadang- kadang rasa malas dan putus asa untuk mengetip dashboard, rasa bersendirian dan untuk apa meneruskan kisah ini yang barangkali hanya kita sahaja yang membacanya. Kalau mengingatkan itu mahu sahaja kita tamatkan kisah ini dan biarkan ia berterbangan tanpa dihiraukan di media maya.

Kita kembali menginsafi bahawa tulisan ini bukanlah untuk tujuan komersial atau ditujukan kepada sesiapa tetapi cukuplah untuk kepuasan diri disamping merakam apa sahaja yang masih ada dalam ingatan. Secara jujurnya tulisan itu sudah bertahun diusahakan tetapi dengan penceritaan yang sangat lambat dan pendek- pendek. Pertamanya kita bukanlah penulis sepenuh masa tetapi hanya berusaha untuk terus menulis agar pengakhirannya menjadi jelas. Kita tidak merakam daripada mana- mana tulisan, carilah di mana ada kesamaan dengan kisah Ally..Sebahagian besar kisahnya adalah benar- benar berlaku.... dan ianya akan mengiringi hidup kita,  sementara itu dihirup dulu Teh perasa Apple- Cinnamon tanpa gula.. ya, kita tidak pernah masukkan gula dalam minuman.