Thursday, September 5, 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan : Kampus Tingkatan Enam di setiap Parlimen.. ?

Pada Jumaat 6 September 2013, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 akan dilancarkan Insyallah oleh Menteri Pendidikan Malaysia. Sejak laporan demi laporan dibentangkan, akan bermulalah wajah baru dalam pendidikan negara merangkumi 8 pelan utama iaitu Konteks dan Pendekatan, Visi dan Inspirasi, Prestasi Semasa, Pembelajaran Murid, Guru dan Pemimpin Sekolah, Transformasi Kementerian, Struktur Sistem dan Pelaksanaan Pelan Tindakan. Di dalam pelan tersebut boleh dikatakan apa sahaja yang menjadi harapan dan persoalan dalam pendidikan sudah termasuk dalam pelan tersebut, termasuklah apa yang ingin di perkatakan di ruang ini.
Pada mulanya kita menjangkakan bahawa dalam pelan tersebut, kemungkinan para perancang akan terlepas pandang kepada pelajar Tingkatan Enam, nyata sekali sangkaan itu tidak betul dan dalam pelan struktur, dimana Tingkatan Enam akan dijenamakan semula yang mana ia adalah setanding dengan program pra universiti di institusi swasta, penyediaan pelbagai inisiatif bagi sekolah yang menawarkan tingkatan enam, kelonggaran syarat pakaian seragam dan mengadakan program kendiri atau berpasukan dalam program tertentu.
Hebat... seperti ada perubahan yang baru. Tetapi dapatkah kita menerima dengan teruja akan pelan tersebut ? . Pada pandangan kita apa yang ditawarkan itu sebenarnya seperti pelengkap kepada lonjakan menyeluruh pembangunan pendidikan tetapi sebagaimana yang diketahui ramai, selama ini pun Tingkatan Enam memanglah dikatakan setanding dengan pra universiti malah sijil STPM pun sentiasa sebaris dengan diploma dalam ruangan iklan jawatan kosong, manakala inisiatif, kelonggaran pakaian seragam dan program kendiri pula bukan sahaja tidak asing kepada pelajar Tingkatan Enam tetapi juga tidak asing kepada semua pelajar sekolah  malahan sekolah Tabika juga memupuk pembelajaran seperti itu.
Jika terus begitu sehingga 2025, Tingkatan Enam tidak ke mana dan mungkin ia dilihat sebagai satu pembelajaran yang sia- sia dan merugikan masa. Tingkatan enam sepatutnya diberikan taraf pendidikan yang khusus dan tersendiri sebagaimana peluang pelajar yang memasuki sekolah aliran Kemahiran dan Vokasional yang kini telah dinaik taraf kepada kolej. Tingkatan Enam sepatutnya mempunyai Kampus sendiri yang mana mereka mempunyai standard dan piawaian tersendiri yang menjadikan lulusan Tingkatan Enam punya kebangaan dan pasaran tersendiri. Tingkatan Enam tidak boleh lagi menjadi tangga hanya untuk masuk Universiti semata. Barangkali mereka yang berada di kementerian termasuk menteri adalah dikalangan mereka yang tidak memijakkan kaki di Tingkatan Enam, mereka terus ke Universiti dengan menggunakan SPM sahaja dan memperolehi diploma atau Ijazah dan seterusnya mendapat kedoktoran, dengan itu alam mereka tidak merasai rakan- rakan yang terpaksa melalui saringan di Tingkatan Enam sebelum bersaing pula memasuki Universiti.

Walaupun pelajar tingkatan enam lebih beruntung jika berjaya ke Universiti tetapi Tingkatan Enam itu sendiri perlu mempunyai Institusi berbeza dengan sekolah menengah. Pelajar Tingkatan enam sudah tidak mempunyai pemikiran Tingkatan Lima, mereka belajar dan bercampur dalam kalangan mereka sahaja, punya pandangan dan emosi diluar daripada kebiasaan pelajar di sekolah menengah. Alangkah baiknya jika Tingkatan enam mempunyai satu Kampus di setiap Parlimen, punyai tenaga pengajar khusus dan terlatih, lepasan Tingkatan Enam mempunyai mutu tersendiri dan Tingkatan Enam boleh menjadi pesaing yang benar- benar di pandang setaraf dengan pemegang diploma.  


No comments:

Post a Comment