Monday, December 3, 2012

Dasar PIBG perlu diubah

Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau PIBG atau orang Sabahan memanggilnya PIBAGU seperti mana lain- lain persatuan memperuntukkan mesyuarat dan pemilihan dalam mesyuarat agongnya. PIBG adalah pertemuan terbesar warga sekolah bersama ibu- bapa kepada murid dan pelajar sekolah. PIBG digunakan dengan secara meluas untuk menghubungkan persekitaran sekolah dengan masyarakat luar. Sekiranya PIBG bergerak aktif dan kreatif menggunakan persatuan ia boleh menjadi satu sumber kewangan untuk tabung sekolah bagi manfaat murid- murid dan kakitangan sekolah. Terdapat PIBG yang begitu berjaya menganjurkan program yang besar seperti karnival, makan malam perdana malahan lawatan ke luar negara.
Sungguhpun begitu dalam pemerhatian kita PIBG secara meluasnya digunakan dalam agenda siasah yang mana tempat terbaik untuk pertemuan dengan ibu- bapa secara menyeluruh.
PIBG adalah persatuan yang sangat berkesan untuk menyebar luaskan maklumat dan aspirasi kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran, banyak manfaat dan kebaikan yang diperolehi melalui hubungan secara langsung antara pemimpin dan PIBG. 
Cuma satu yang dilihat perlu diperbetul dan perlu diterima secara adil dan saksama iaitu pemilihan Yang Dipertuanya yang mana ia dilihat langsung tidak munasabah yang mungkin melucukan bagi pemahaman sesetengah orang kepada PIBG. PIBG walaupun dalam klausanya membenarkan orang tertentu menjadi YDP tetapi jika difikir secara logik kepada warga ibu- bapa dan guru ia sangatlah tidak adil dan hampir diperbodohkan oleh dasar yang mempunyai maksud tersirat tersebut. Jika ditanya mengapa kebanyakan  PIBG mencalonkan wakil rakyat atau orang tertentu terutamanya penjawat parti menjadi YDP kita dengan pantas boleh menjawab bahawa itulah agenda kerajaan, menguasai PIBG untuk politik dan pengaruh tokoh tersebut.
Sebagai orang yang sentiasa ingin bercakap tentang kebenaran, saya tidak bersetuju dengan dasar tersebut, walaupun sekiranya YDP PIBG tidak dipegang oleh orang politik tetapi yang menyenlenggara program dan menjemput orang kenamaan biasanya adalah pihak sekolah yang sudah tentunya pengurusan PIBG atau mastermine nya adalah guru besar atau pengetua sekolah berkenaan, YDP hanyalah sebagai simbol dan alat yang selalunya tidak perlu berfikir tentang arah tuju dan matlamat sekolah dan kecemerlangan pelajar. Jarang sekali YDP PIBG memikirkan untuk murid sekolah apa yang menjadi tujuan utama adalah mempopularkan diri dikalangan ibu- bapa untuk sokongan moral dalam perebutan jawatan parti atau calon pilihanraya. Sekiranya begitu apa rasionalnya YDP dikuasai oleh VIP.
Kita amat kesal kerana Ibu- Bapa yang anaknya belajar disekolah berkenaan tidak berpeluang ataupun tertutup peluangnya untuk diangkat sebagai YDP atau hanya sebagai Ahli Jawatankuasa kerana telah dibayangi calon- calon yang ada nama, punyai kelebihan kewangan dan dikenali oleh pihak sekolah. 
Tidak mengapa jika calon- calon VIP tersebut mempunyai anak yang belajar di sekolah berkenaan atau calon tersebut adalah kakitangan sekolah tetapi amat dikesal adalah YDP PIBG tidak pun mempunyai anak yang belajar di sekolah berkenaan lebih tertipu lagi YDP berkenaan tidak tinggal di daerah berdekatan. 
Memanglah pemilihan adalah secara demokrasi dan dipersetujui dalam mesyuarat, namun cara mesyuarat dijalankan, cara memperkenalkan calon dan perancangan awal oleh pihak sekolah seolah- olah hanya membuka ruang kepada individu tertentu.
Sekiranya PIBG ingin dilihat sebenar- benar mewakili Ibu Bapa dan Guru, peraturan PIBG mestilah diperbetulkan dan dirombak semula agar hanya mereka yang mempunyai anak- anak atau menjadi kakitangan sekolah berkenaan sahaja diberi peluang menjawat jawatan dalam PIBG kerana itulah erti sebenar Persatuan Ibu Bapa dan Guru, jika tidak bersetuju ubahlah PIBG menjadi Persatuan Sokongan Ibu-Bapa dan Guru atau PSIBG sahaja.