Friday, September 30, 2011

Baling, Shah Alam dan Bachok.. Pejabat Pelajaran mana lebih hebat.

Tiga kisah tentang institusi pendidikan yang boleh dibuat renungan yang berlaku baru- baru ini.
Kisah Pertama adalah tentang lima orang murid dari sebuah sekolah di Baling, Kedah yang di tegah dari menduduki peperiksaan UPSR semata- mata untuk menjaga reputasi sekolah. Lima murid tersebut dimaklumkan supaya tidak menghadiri peperiksaan. Ini adalah cerita berkenaan strategi guru dan pihak sekolah untuk menjaga nama dan melonjakkan prestasi yang mungkin akan memberi peluang imbuhan pula apabila berjaya mencatat peratusan kelulusan yang tinggi. Strategi ini sebenarnya sudah lama berlaku dan ia hanya bertujuan untuk kepentingan pihak sekolah sahaja tanpa memikirkan cara itu juga akan menjadi sejarah hitam yang berpanjangan untuk murid yang terlibat. Strategi seperti mengamalkan taktik helah guru, mengelirukan pengawas peperiksaan dan mengajar cara menipu dalam peperiksaan sememangnya menjadi senjata akhir seseorang guru demi menjaga nama baik mereka. Kita tidak terperanjat jika itu dilakukan setelah berbagai cara dan usaha mengajar telah dipraktikkan tetapi kita tidak rela jika cara kotor digunakan setelah guru mengabaikan pengajaran dan didikan yang sepatutnya diberikan kepada murid- murid.
Kisah Kedua adalah berkenaan kekecohan yang berlaku di SMK Sri Muda, Shah Alam Selangor. Kes ini membuatkan kita terfikir adakah pihak sekolah telah gagal mendidik pelajarnya atau ia sememangnya mempunyai murid yang kurang ajar dan hilang perasaan menghormati disiplin sekolah. Berpunca daripada operasi memotong rambut pihak sekolah terpaksa mendapatkan bantuan polis bagi menahan pelajarnya yang lari ke luar kawasan sekolah. Selain memboloskan diri melalui ruang udara dalam tandas pelajar lelaki berambut panjang juga memaki dan membuat ugutan kepada guru. Namun akhirnya guru dan polis dapat mengawal huru hara di sekolah tersebut. Mungkin pihak sekolah dapat berbuat sesuatu agar perkara sebegini tidak berulang kerana ia seolah mengembalikan semula zaman di mana guru disiplin sentiasa membawa rotan, berwatak bengis dan berbahasa kasar untuk berdepan dengan pelajarnya.
Kisah ketiga pula adalah kecelaruan  identiti Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, Kelantan. Selain perlantikannya ke jawatan nombor 1 di PPD menjadi percakapan kurang elok dikalangan kakitangan sekolah dalam daerah tersebut, pegawai pelajaran itu seakan sudah membuat aku janji yang dia akan menukar hala tuju PPD menjadi seperti pejabat setiausaha Ketua UMNO Bahagian sekiranya mendapat jawatan yang dipohon. Tidak mengapalah jika dia mempraktikkan slogan 'parti menguasai kerajaan' tetapi sebenarnya tindakan pegawai tersebut semakin hari sudah menjadi seperti tikus membaiki labu yang mana tindak tanduk PPD bukan sahaja membuatkan warga pendidik marahkan UMNO tetapi juga dia sendiri dilihat lebih berpengaruh daripada J/kuasa UMNO Bahagian sendiri. Khabar terbaru yang dikaitkan dengan pegawai tersebut adalah program anjuran PPD membawa rakyat melawat ke Langkawi, yang tak sedap didengar adalah peranannya menjerumuskan ahli rombongan untuk menyokong seorang lagi tokoh pesaing dalam pencalonan pilihanraya. Sebelum terlambat eloklah pegawai PPD itu menghentikan peranan agresifnya dalam parti kerana ada yang tak kena dengan peranannya, kita tidak mahu dia menjadi alat pemecah belah kesepaduan dalam UMNO tetapi juga dengan jelas sudah mengabaikan tugas sebenarnya di PPD.

No comments:

Post a Comment