Wednesday, May 25, 2011

musim cuti sekolah untuk nikah kahwin..

Cuti penggal sekolah menjelang lagi.. murid- murid sekolah keriangan menanti hari akhir sekolah, mereka dah ada perancangan sendiri, ada yang akan menghabiskan minggu cuti dengan bermain dengan kawan- kawan sekampung, ada yang akan melancong bersama keluarga, ada yang hanya mengisi waktu yang panjang itu hanya duduk dirumah, ada yang melekat sahaja depan televisyen menonton rancangan kesukaan, ada yang masih terpaksa ke kelas tambahan seperti biasa, ada yang pulang ke kampung berjumpa atuk dan nenek dan pelbagai lagi aktiviti bagi mengisi kebiasaan hari persekolahan.
Kalau diingatkan pasal cuti sekolah ramai yang irihati dengan kerjaya sebagai guru yang mempunyai banyak kelapangan walaupun tidak dinafikan cikgu masih perlu membuat kerja- kerja yang berkaitan dengan persekolahan ketika musim cuti, pun begitu seorang guru tetap boleh berbangga kerana mempunyai hari cuti mengatasi kerjaya lain.
Musim cuti persekolahan juga sentiasa dinanti oleh mereka yang tidak bekerja sebagai guru kerana musim inilah yang menadi pilihan untuk membuat kerja kahwin atau boleh juga dipanggil musim kenduri. Ramailah kaum keluarga dan ipar duai yang bertandang untuk membantu menguruskan kerja besar ini. Bermula dengan menjenguk bakal pengantin hinggalah aktiviti sembang, bergosip dan memperaga penampilan diri.
Keluarga dan bakal pengantin masing- masing tak kalah dalam urusan menyempurnakan majlis, duit simpanan mengalir keluar seperti air, habis duit simpanan saham amanah pula dikorek jika masih tidak cukup juga terpaksa pula berhutang kerana tidak mahu malu depan bakal mertua dan ipar. Saudara mara pula jenuh dengan pelbagai cerita yang juga tidak mahu kalah dalam soal pendapatan, rumah besar dan kereta baru, jadilah musim cuti sekolah juga sebagai musim membanggakan diri dan keluarga.
Kerja kenduri kahwin boleh ditemui di mana saja, penunjuk arah bukan lagi ditanda bunga manggar di simpang jalan tetapi dalam zaman ini banting, banner dan sepanduk menjadi pelengkap dalam hebahan seiring dengan undangan melalui rangkaian sosial di internet.
Dalam zaman duit mudah dicari ini, keluarga pengantin tidak terfikir untuk mengadakan majlis kecil – kecilan dan sederhana, tiada lagi kedengaran buat majlis ringkas dan cukup syarat, inilah masanya untuk mengedar seberapa banyak kad undangan kahwin hingga kepada orang yang tak kenal batang hidung pun diberi kad undangan, ada pula terpaksalah tebal muka mengajak jiran sekampung yang selama ini tidak dijenguk dan tidak bertegur sapa.
Masih ramai yang tak nak fikirkan pasal kesusahan yang bakal ditanggung oleh si suami bila selesai majlis perkahwinan, sudahlah wajib menanggung nafkah isteri, terpaksa pula memikirkan pembayaran yang pelbagai untuk menyempurnakan majlis mereka. Ditambah lagi episod pengenalan peribadi adik beradik dan keluarga mertua yang sudak mula bercakap tentang keluarga baru mereka, jika keluarga baru itu bukanlah orang senang tersipu- sipulah jadinya, tambah sedih jika saudara- mara palingkan muka kerana takut kena bantu meringankan beban pengantin baru.
Kita bukanlah berniat untuk mengajar bakal pengantin dan keluarga mereka yang sedang ghairah menyediakan hari bersejarah dalam hidup itu tetapi dalam negara yang mewah ini apalah kiranya kita kembali kepada saranan agama yang sebenar.. majlis mulia yang bakal diadakan akan lebih bermakna dan membawa kita kembali menginsafi diri jika kerja kahwin itu dilakukan dengan bersederhana, hindarkan daripada majlis yang menyebabkan timbul perasaan riak dan bangga diri, hebahan akan lebih mudah sekiranya mengundang masyarakat setempat dan orang- orang yang dekat dengan kita sahaja, usahlah risau takut rakan jauh kecil hati kerana mereka sebenarnya sudah berkira- kira tentang undangan yang banyak dan bertindih lagi pula bukan semua majlis hari itu majlis kesyukuran, sebahagian wang gaji tentu hilang.
Walaupun banyak ruang untuk anak- anak di musim cuti sekolah seeloknya biarlah cuti ini memberi kesempatan untuk diisi dengan benda yang bermanfaat, memberi  tauladan kepada anak- anak sekolah Dan bagi mereka yang memanfaatkan cuti untuk mengadakan kenduri kahwin pula mungkin ada benarnya kata jenaka “kalau kahwin satu dunia hendak diheboh kalau......... hendak disorok” apa pun semoga majlis kerja kahwin cuti sekolah ini akan diberkati Allah dan tidak mencampakkan kita ke dalam kerja- kerja yang membawa kepada ‘bidaah’

No comments:

Post a Comment