Saturday, April 9, 2011

Saf solat. : AJK Masjid jangan tidur lagi..

Entah apa yang tidak kena dengan berbagai kemudahan dan keselesaan masjid yang sentiasa dititik berat oleh kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara. Peruntukan demi peruntukan setiap tahun tidak pernah berkurang, dari madrasah tempat anak- anak belajar Al-Quran, kemudian dibantu pula untuk berperanan sebagai surau dan seterusnya dinaik taraf sebagai masjid untuk membolehkan bantuan yang lebih banyak disalurkan, dari tak berkipas dipasang kipas setiap penjuru dan kini hingga ke kampung- kampung pun masjid beraircond tidak lagi menjadi asing. 

Dan kerana terbuai keselesaan ditambah dengan pembesaran ruang solat mungkin menjadi faktor utama saf berjemaah terutama hari jumaat tidak lagi mengikut saranan agama dan sunah. Kerana keselesaanlah para jemaah  melongarkan saf dan seolah sengaja tidak mahu jemaah mencelah dengan alasan masjid masih punya ruang lagi untuk jemaah lain. Ada yang tidak kena bila bahu ke bahu tidak bersentuhan malahan rakan jemaah cepat cepat menyelesakan posisi dengan harapan tiada lagi ruang untuk jemaah lain. Sungguh kerugianlah bila setiap kali solat jumaat, rahsia kekuatan Islam itu tidak lagi diberi perhatian dan diamalkan.  Sebagaimana Sabda Rasulullah saw : Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).  

Dalam memikirkan tentang kebangkitan Islam dan keagungannya kita melihat ada ruang yang sentiasa terbentang untuk mereka yang tahu kelebihan merapatkan saf dalam sembahyang. Solat Jumaat boleh menjadi sebagai tempat yang mula- mula untuk diamalkan.. yakin peranan Imam dan AJK masjid paling berkesan dan ampuh untuk mendisiplinkan jemaah. Kita cadangkan agar setiap kali hari jumaat mohon diserahkan tugas kepada setiap AJK agar mereka mesti berada di setiap saf sembahyang guna untuk memeriksa dan menguruskan jemaah agar dapat melurus dan merapatkan saf seperti mana yang disaran oleh nabi saw.  Sekadar memakan masa tidak sampai 10 minit sebelum Iman mengangkat takbir, ia tidaklah  sampai membantut perjalanan solat jumaat itu, juga tidak mahu solat menjadi tidak sempurna sebagaimana Sabda Rasulullah saw lagi : Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

Imam boleh juga menetapkan kepada siapa tugas tersebut hendak diberi dan seeloknya setiap minggu adalah AJK yang berlainan untuk membolehkan AJK masjid bekerjasama menjaga saf- saf yang ditugaskan. Memanglah cadangan ini agak tidak digemari tetapi bolehkah kita jamin bahawa selama ini AJK masjid tahu akan tugas- tugas mereka atau sekadar mengisi ruangan AJK sahaja. Mungkin dengan cara tersebut dengan sendirinya dapat memperkenalkan barisan orang kuat di sesebuah masjid disamping menghidupkan peranan AJK yang selama ini tidak begitu disedari oleh makmum dan kariah mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment